19 Mei 2024, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap karya yang dihasilkan mempunyai motif atau tujuan yang tersendiri. Karya merupakan salah satu hasil cetusan idea seseorang pengarang atau pelukis bagi menghasilkan seni yang bermutu dan berguna kepada masyarakat. Perkara ini adalah berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang mendefinisikan karya sebagai suatu ciptaan individu itu sendiri. Hal ini memberikan tafsiran bahawa bentuk karya tersebut tidak semestinya berbentuk penulisan sahaja, tetapi turut berbentuk hasil lukisan khususnya lukisan kartun yang mempunyai dialog atau lukisan komik. Tidak dinafikan, karya yang sering diketengahkan kepada khalayak terdiri daripada penulis, pelukis dan sasterawan yang tersohor. Namun, bagaimanakah pula dengan sekelompok penggiat seni yang pengkhususannya dalam bidang komik atau dikenali sebagai kartunis? Adakah karya komik mereka hanya sekadar mencuit hati pembaca tetapi tidak diselitkan dengan mesej kepada masyarakat?

Terdapat dua kategori kartunis, iaitu kartunis yang berstatus dikenali ramai dan kurang dikenali ramai. Hal ini dikatakan demikian kerana sekelompok kartunis gemar menggunakan nama pena atau nama samaran ketika menghasilkan sesuatu karya. Perkara ini menjadi suatu tradisi lazim seseorang pengkarya dalam menggunakan nama pena untuk disematkan pada karya yang dihasilkan. Hal ini menyebabkan nama sebenar mereka tenggelam dalam dunia sebenar berbanding dengan nama pena mereka. Terdapat pelbagai jenis medium atau majalah yang menjadi ruangan untuk mereka berkarya, namun antara yang terkenal pada suatu ketika dahulu dan ada di antaranya masih lagi bertahan sehingga kini walaupun dicetak kembali dalam bentuk baharu ialah majalah Ujang, APO? dan Gila-Gila.

Pada suatu ketika dahulu, ketiga-tiga majalah ini  selalu didambakan oleh pelbagai pelosok umur baik yang muda mahupun tua, namun hal tersebut berubah pada masa kini. Walau bagaimanapun, ketiga-ketiga majalah ini sebenarnya telah berjaya menyampaikan beberapa mesej atau nasihat terhadap masyarakat.

Kritikan Sinis terhadap Trend Semasa Masyarakat

Masyarakat dan trend tidak akan dapat dipisahkan. Perkara tersebut umpama pepatah Melayu, iaitu bagai aur dengan tebing. Masyarakat akan sentiasa bergerak dengan trend semasa mengikut zaman. Ada kalanya, trend yang diikuti oleh masyarakat itu memberikan kesan yang buruk kepada mereka sendiri. Antaranya termasuklah trend memakai baju Melayu yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan memberikan isyarat yang jelas terhadap ancaman kepada kesopanan individu dan juga meruntuhkan nilai budaya masyarakat itu sendiri.

Acap kali teguran atau yang diberikan oleh sebilangan “warga siber yang prihatin”’ mendapat cemuhan sebahagian daripada pelaku. Tambahan lagi, pelbagai medium atau pelantar media digunakan bagi menghentikan trend kurang sopan tersebut daripada terus merebak. Kesempatan ini diambil oleh beberapa orang kartunis untuk dijadikan sebagai buah fikiran dalam menghasilkan karya lukisan kartun mereka untuk disiarkan. Mereka menjadikan beberapa trend semasa sebagai bahan lawak di samping menyampaikan mesej dan kritikan berbentuk sinis terhadap golongan tersebut. Hal ini membina naratif baharu bahawa lukisan atau “kartun” yang dihasilkan bukannya karya kosong tetapi mampu menyampaikan mesej dengan cara tersendiri.

 Hasil Karya Bersandarkan Pendekatan

Setiap hasil karya yang dilakukan akan bersandarkan kepada beberapa pendekatan agar khalayak dapat memahami simbol atau makna yang hendak disampaikan. Pendekatan yang dimaksudkan merupakan tema sesuatu karya tersebut dihasilkan. Dalam konteks kartunis, mereka melihat beberapa pendekatan yang ingin digunakan dalam merangka lukisan mereka. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan hasil lukisan mereka sering menggunakan pendekatan agama, pendekatan sosial, pendekatan ekonomi dan ada juga menggunakan pendekatan politik. Pemilihan pendekatan ini akan memperlihatkan bahawa hasil karya mereka mempunyai objektif dan tidak digelar “kosong” oleh generasi sekarang.

Sebagai contoh, majalah Ujang dan APO? pada setiap tahun akan mengeluarkan edisi “Bumper Raya” yakni komplikasi karya kartunis sama ada lama atau terbaharu untuk dimuatkan dalam suatu keluaran majalah. Sudah semestinya karya yang dihasilkan menekankan pendekatan agama sesuai dengan keluaran untuk hari raya. Yang menariknya, pendekatan ini seolah-olah bermatlamat untuk mendedahkan pembaca terhadap jenaka yang bersulamkan mesej terhadap isu-isu yang berlaku dalam bulan puasa dan hari raya. Selain itu, pendekatan yang berbeza akan disemai oleh para kartunis ini sekiranya memasuki bulan Ogos yakni bulan kemerdekaan serta bulan-bulan yang lain. Penerapan pendekatan inilah yang menjadikan sumbangan para kartunis ini sangat besar dalam mengambil bahagian untuk memperbaik cara hidup masyarakat khususnya kepada pelanggan majalah mereka.

Kejujuran dalam Berkarya

Aspek kejujuran amat dititikberatkan dalam kehidupan. Penghasilan karya turut tidak dapat lari daripada nilai murni tersebut. Kejujuran dalam penghasilan karya akan memberikan kefahaman kepada khalayak terhadap karya tersebut. Sesungguhnya aspek kejujuran merupakan perkara yang sangat sukar bagi segelintir pengkarya hatta kartunis atas dasar “menjaga hati” sesetengah pihak. Sebaliknya, banyak kartunis yang “kurang dikenali” lebih jujur dalam karya yang dihasilkan. Hal ini adalah berdasarkan beberapa buah lukisan atau anekdot mereka yang secara terus menyindir sesuatu perkara tanpa tapisan.

Antara contoh kartunis yang gemar menghasilkan karya sindiran secara terus yang memperlihatkan nilai kejujuran dalam berkarya ialah kartunis yang memakai nama pena “Lembu Rock” dalam majalah Komik Viral yang dikeluarkan oleh beliau sendiri. Segala lukisan atau anekdot yang dimuatkan oleh beliau mampu menusuk ke dalam hati sanubari sasarannya. Perkara ini adalah kerana kritikan yang dimuatkan sangat jujur dan dianggap “keras” oleh segelintir individu. Perkara ini mendapat pujian ramai kerana mesej yang hendak disampaikan itu jelas, padat serta mencuit hati pembaca. Oleh itu, kejujuran dalam berkarya menjadi pemangkin utama peranan mereka terhadap masyarakat.

Perkara yang dapat dirumuskan ialah kita tidak dapat menafikan lagi sumbangan kartunis terhadap masyarakat. Setiap penat lelah yang dihadapi bukan sahaja demi menyara periuk nasi semata-mata, malah turut berfungsi untuk menyampaikan pesanan kepada khalayak yakni masyarakat sekeliling. Walaupun karya yang dihasilkan tidak dikenali ramai, namun sumbangan yang dilakukan sangatlah besar dan perlu dihargai oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka tidak ingin dikenali ramai tetapi biarlah karya yang dihasilkan dalam majalah dan komik kekal segar dalam sanubari dan minda masyarakat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.