23 Mei 2024, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kredit foto: Hanafi Mohd Yusof

Nilai – Lapan orang atlet muda yang bakatnya dicungkil melalui Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) antara individu yang menerima pengiktirafan selain beberapa tokoh sukan yang lain, dalam Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-MSSM-MILO 2023, pada hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Wong Kah Woh menyatakan bahawa sekolah menjadi institusi yang berpotensi melahirkan atlet muda untuk mewakili negara pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kita juga berasa amat bangga kerana pada hari ini, kebanyakan atlet kita merupakan hasil tajaan dan juga latihan dari sekolah sukan Malaysia khasnya Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Beliau berkata sedemikian semasa merasmikan majlis tersebut yang berlangsung pada petang ini, di Hotel Avante, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam ucapan yang sama, beliau berharap agar usaha warga KPM yang sentiasa komited untuk membangunkan anak tempatan dalam bidang sukan  dapat melahirkan lebih ramai atlet muda yang bakal mewakili negara dan mengharumkan nama negara.

YB Wong Kah Woh semasa merasmikan Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2023 yang berlangsung di Hotel Avante, Petaling Jaya, Selangor, pada hari ini.

Beliau percaya bahawa sukan dapat menjadi komponen yang menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Pada tahun ini, Anugerah Juara MSSM 2023 berjaya dirangkul oleh Majlis Sukan Sekolah Selangor dengan mata keseluruhan sebanyak 945 mata sekali gus mencatat kemenangan kali ke-21 bagi negeri tersebut dalam Kejohanan Sukan MSSM.

Anugerah lain yang turut disampaikan dalam majlis ini termasuklah Anugerah Tunas Harapan, Anugerah Pendidikan Khas, Anugerah Khas (Kejayaan Luar MSSM), Anugerah Guru Berjasa, Anugerah Jurulatih Sukan Cemerlang, Anugerah Tokoh Sukan Kepimpinan dan Anugerah Putera Puteri Khas.

Atlet muda, jurulatih dan beberapa tokoh sukan yang menerima pengiktirafan atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam bidang sukan.

Majlis ini yang diadakan secara tahunan bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan dan pencapaian atlet muda negara yang berbakat.

Potensi atlet muda ini dicungkil melalui Kejohanan Sukan MSSM yang mula dianjurkan sejak tahun 1958 dan merupakan satu daripada acara sukan peringkat sekolah terbesar di Malaysia.

Antara atlet negara yang dilahirkan melalui kejohanan ini termasuklah Sivasangari Subramaniam, pemain skuasy negara yang kini menduduki tempat ke-11 di bawah carta Persatuan Skuasy Profesional dan Bertrand Rodict Lises, penerjun negara yang bakal mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Tuan Haji Wan Hashim Wan Rahim; Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Teknologi Pendidikan KPM, Encik Zainal Abas yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) dan mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; dan Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO, Puan Ng Su Yen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.