26 Mei 2024, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Buku kanak-kanak Yasmin dan Adam yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja merupakan “buah tangan” istimewa daripada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam menampilkan kesedaran ilmu tentang anak-anak autisme.

Cetusan idea asal buku tersebut merupakan idea YB Fadhlina sendiri manakala cerita dan ilustrasi buku oleh Puan Nurshuhada Abdullah bertujuan untuk memperkukuh budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak seawal usia di peringkat prasekolah, dan memberikan tumpuan terhadap isu penting, iaitu Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Barisan tetamu kehormat dalam sesi pelancaran buku Yasmin dan Adam.

Majlis Pelancaran Buku Yasmin dan Adam dan Sesi Ceritalah Lagi Bersama-sama YB Fadhlina Sidek telah berlangsung dengan meriahnya bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada pagi tadi.

YB Fadhlina menyifatkan buku ini sebagai penghargaan kepada murid MBK dan ciri-ciri buku ini sesuai untuk mereka melalui penggunaan bahasa, keserasian dan aktiviti serta pengenalan untuk meningkatkan kesedaran kepada anak-anak tentang mengapa rakan mereka berbeza dengan rakan lain.

YBhg. Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Menurut YBhg. Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail selaku perasmi majlis, beliau yakin dan percaya tentang kepentingan bersikap bijaksana dalam memilih, merancang dan menyediakan bahan bacaan yang berkualiti untuk santapan jiwa anak-anak.

 

 

Syabas YB Fadhlina Sidek yang berkongsi idea penulisan buku Yasmin dan Adam dan tahniah Puan Nurshuhada Abdullah kerana berjaya menyusun cerita dan menyediakan ilustrasinya.

Semoga buku ini dapat memudahkan para guru mengembangkan ilmu dan memberikan pengetahuan tentang daya kreativiti kanak-kanak autisme.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari merakamkan penghargaan buat YB Fadhlina Sidek dan Puan Norshuhada Abdullah atas kejayaan penghasilan buku ini.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari melalui ucapan alu-aluannya turut menyifatkan bahawa kejayaan penulis dan pelukis buku ini mewakili golongan anak muda yang gigih berkarya.

Kejayaan penulis menghasilkan  buku ini amat dibanggakan dan seharusnya menjadi pendorong kepada anak-anak muda lain untuk mengikut langkah yang sama.

Majlis pelancaran tersebut diserikan dengan kehadiran murid-murid tadika dan murid tahap satu dari sembilan buah sekolah sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang turut menerima sumbangan buku daripada YB Fadhlina Sidek.

Pelajar tadika dan sekolah rendah dalam Sesi Ceritalah Lagi Bersama-sama YB Fadhlina Sidek.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Encik Zainal Abas serta ketua bahagian dan pegawai dari KPM dan DBP.

Buku Yasmin dan Adam mengisahkan tentang Yasmin, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang hairan dengan rakannya, Adam, seorang pelajar autisme yang kreatif namun mempunyai tingkah laku yang unik, dan Yasmin belajar meraikan perbezaan kelakuan rakannya itu melalui penerangan oleh gurunya.

Buku Yasmin dan Adam boleh didapatkan di reruai DBP di Dewan Tun Hussein Onn sempena PBAKL 2024 yang berlangsung dari 24 Mei 2024 hingga 2 Jun 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.