26 Mei 2024, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar kerajaan negeri Perlis mewujudkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis untuk memastikan khazanah negara dan negeri ini terus terpelihara dan mengukuhkan lagi usaha pemeliharaan sumber biodiversiti negeri ini selain menjadi rujukan penting bagi wilayah utara negara.

Demikian titah baginda ketika menyempurnakan penanaman pokok yang kesejuta di Perlis sempena Majlis Perasmian Nakawan Rainforest Festival dan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat hari ini.

DYMM Pemangku Raja Perlis berkenan menyampaikan titah sempena Majlis Perasmian Nakawan Rainforest Festival dan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang turut disekalikan dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis yang ke-81 itu diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo a/l Ki; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa kesedaran orang awam tentang kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas dalam usaha pemeliharaan dan penjagaan ekosistem hutan batu kapur dan biodiversiti negara ini perlu dipertingkat.

Baginda juga bertitah,

Aktiviti penanaman pokok secara berterusan dapat menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi kemudian kelak.

Tuanku Pemangku Raja menzahirkan harapan agar Jabatan Perhutanan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab untuk mengurus khazanah hutan di negeri Perlis selari dengan visi jabatan, iaitu “Menjadi Agensi Terunggul dalam Pengurusan Hutan Tropika secara Berkekalan”.

Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan pelancaran Buku Mewah berjudul Orchids Of Perlis: The Matchless Gems of State Park serta pengurniaan sijil kepada rakan-rakan kolaborasi yang menjayakan program tersebut.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan pelancaran buku Orchids Of Perlis: The Matchless Gems of State Park.

Pelbagai jabatan dan rakan kolaborasi yang terlibat termasuklah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Perlis (KEMAS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Negeri Perlis, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis , Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pertubuhan Nadi Sihat, Malim Gunung Perhutanan Negeri Perlis, Tok Abah Outdoor Venture dan Malaysia Nature Society (MNS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.