27 Mei 2024, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ebrahim Raisolsadati atau lebih dikenali sebagai Ebrahim Raisi, merupakan seorang tokoh politik konservatif Iran yang disegani dan ulama Syiah yang berwibawa. Dilahirkan pada 14 Disember 1960 di Mashhad, Iran, beliau telah meninggalkan legasi yang mendalam sebagai Presiden Kelapan Iran dari tahun 2021 hingga pemergian beliau yang mengejutkan pada 19 Mei 2024 akibat nahas helikopter di Hutan Dizmar, Wilayah Azerbaijanur, Iran. Kehidupannya ditandai dengan komitmen yang mendalam terhadap pendidikan agama, peningkatan mendadak melalui pegangan jawatan penting dalam badan kehakiman Iran, serta penyertaan dalam pilihan raya yang penuh dengan lalaun berliku telah membawanya ke jawatan tertinggi di bumi Persia itu.

Potret yang menjadi igauan ngeri pihak Barat.

Bermula daripada usia mudanya, kehidupan awal Ebrahim Raisi dicirikan oleh dedikasi yang kuat terhadap pengajian agama. Pada usia 15 tahun, beliau mula belajar di madrasah terkenal Qom dan mendapat didikan di bawah beberapa ulama Islam terkemuka pada masa itu. Pendidikan beliau dilanjutkan lagi di Universiti Shahid Motahari dengan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Undang-undang Swasta dan Perundangan Islam pada tahun 2013. Disertasi beliau menumpukan pada topik “Konflik antara Penampilan dan Prinsip dalam Perundangan Islam dan Undang-undang,” menunjukkan minat mendalam beliau dalam persilangan antara agama dan hal ehwal undang-undang.

Setelah menamatkan pengajian, Ebrahim Raisi memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman selama beberapa dekad selepas Revolusi Iran pada tahun 1979. Ketika usianya di penghujung 20-an, beliau telah dilantik sebagai pendakwa di Karaj dan di wilayah Hamedan. Bakat dan dedikasi beliau yang luar biasa terus mendapat pengiktirafan sehinggalah pada tahun 1985, beliau dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Tehran atas arahan Ketua Hakim Iran, Mohammad Yazdi yang menandakan bahawa satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya beliau pada ketika itu.

Kerjaya kehakiman Ebrahim Raisi terus melonjak naik dari tahun 90-an hingga awal millennial dengan beliau telah diberikan kepercayaan sebagai Ketua Pejabat Pemeriksaan Umum dan Timbalan Ketua Hakim Iran. Sepanjang tempoh ini, beliau turut memainkan peranan penting dalam institusi agama dan politik Iran sebagai ahli dan Pengerusi Perhimpunan Pakar dari Wilayah Khorasan Selatan sejak tahun 2006 serta ahli Majlis Expediensi Iran mulai tahun 2017. Selain itu, beliau turut diberikan kepercayaan untuk menerajui jawatan signifikan sebagai Penjaga Astan Quds Razavi, iaitu sebuah organisasi agama dan amal dibawah mandat pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Walaupun gagal dalam percubaan pertama untuk menjadi Presiden Iran pada pilihan raya 2017, kekalahan kepada Hassan Rouhani pada ketika itu bukanlah satu kekecewaan yang besar kepada Ebrahim Raisi. Hal ini demikian kerana kemampuan dan keupayaan kepimpinannya telah membawa beliau maju setapak ke depan dengan menjadi Ketua Hakim Iran pada tahun 2019, menggantikan Sadeq Amoli Larijani. Berkhidmat sebagai Ketua Hakim, Ebrahim Raisi memberikan tumpuan kepada pembaharuan sistem kehakiman apabila menghantar draf dokumen bertajuk “Transformasi Kehakiman” kepada pemimpin tertinggi Iran bagi menggariskan rancangan reformasi beliau. Inisiatif ini termasuklah mengadakan perbicaraan awam, memerangi rasuah ekonomi, mendakwa individu berprofil tinggi yang curang, membersihkan badan kehakiman daripada rasuah dan penyelewangan, menjalankan pemeriksaan di lapangan, menubuhkan mahkamah khas untuk jenayah ekonomi dan politik serta menguatkuasakan undang-undang lain bagi memantapkan institusi kehakiman Iran.

Rakyat Iran menangisi pemergian Presiden mereka yang terbabit dalam nahas helikopter di sempadan Azerbaijan.

Kemenangan bergaya pada pilihan raya pada tahun 2021 telah membuka lembaran baharu dalam perjalanan politik Ebrahim Raisi. Dengan sokongan rakyat yang jitu, beliau berjaya menerajui takhta Presiden Iran untuk tempoh empat tahun mendatang. Pemerintahan Raisi mempunyai tiga tonggak utama, iaitu menghapuskan bantahan di dalam negara; mencabar Barat dan memupuk hubungan yang lebih erat dengan Rusia dan China. Sepanjang pemerintahannya, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir, termasuklah ekonomi yang merudum, isu COVID-19 yang masih belum menampakkan noktahnya, serta hubungan diplomatik yang tegang dengan kuasa-kuasa Barat. Namun begitu, berbekalkan keazaman yang tinggi dan teguh, Ebrahim Raisi terus komited mengemudi Iran melalui zaman yang penuh dengan ketegangan serantau yang kian mencengkam dan pergolakan domestik yang tidak berkesudahan. Dalam mengharungi segala rintangan ini, Ebrahim Raisi membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang berwibawa dan kebijaksanaan yang tinggi, Iran mampu mengharungi segala cabaran dan ujian dengan penuh ketabahan dan kecekalan.

Ketegasan Ebrahim Raisi menentang Israel dalam isu Palestin memunculkan beliau sebagai “singa baharu” dunia Islam.

Tekad dan Iltizam Politik

Selain daripada pencapaian cemerlang dalam bidang kehakiman, Ebrahim Raisi juga mempamerkan tekad dan iltizam politik yang kukuh sepanjang pemerintahannya. Beliau muncul sebagai pejuang kuat untuk hak-hak rakyat Palestin yang tertindas dan menjadikan perjuangan mereka sebagai teras utama dasar luar Iran. Melalui ucapan-ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan forum antarabangsa, beliau secara konsisten mengecam pendudukan Israel sebagai ketidakadilan terbesar yang dihadapi oleh dunia Islam. Ebrahim Raisi membingkaikan isu ini dalam istilah moral yang jelas, melabelkan Israel sebagai penganjur keganasan terbesar dan mengutuk negara-negara Arab yang mengiktiraf dan menormalisasikan hubungan dengan Israel kerana menikam perjuangan rakyat Palestin.

Komitmen yang tidak berbelah bahagi oleh Ebrahim Raisi terhadap pembebasan tanah air Palestin adalah sejajar dengan prinsip-prinsip teras yang menjadi tunjang Revolusi Islam Iran. Beliau menyarankan satu referendum yang inklusif, melibatkan semua rakyat Palestin tanpa mengira latar belakang agama mereka – sama ada Muslim, Kristian, mahupun Yahudi – sebagai satu-satunya penyelesaian yang adil dan saksama. Beliau turut berjanji bahawa Iran akan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kumpulan pejuang Palestin sehinggalah kemenangan muktamad tercapai selari dengan slogan “Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka”. Pendirian yang tegas dan berani beliau ini menyatukan dan menggembleng kekuatan dunia Islam menjadi tulang belakang kekuatan perjuangan rakyat Palestin dengan Iran berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan nasib mereka yang tertindas.

Di samping itu, Ebrahim Raisi juga menzahirkan solidariti terhadap rakyat tertindas lain di rantau Asia Barat termasuklah di Syria, Lubnan dan Iraq dengan mengecam campur tangan asing sebagai punca utama tercetusnya konflik. Beliau sentiasa berusaha untuk menggerakkan barisan bersatu dalam kalangan negara Islam untuk menentang pengaruh Barat, terutamanya Amerika Syarikat (AS), di Timur Tengah. Ebrahim Raisi  mengkritik keras pengenaan dasar selektif dan berat sebelah AS seperti sekatan terhadap Iran sebagai manifestasi tatanan dunia yang tidak adil dan menggesa negara-negara Muslim untuk mengukuhkan keupayaan mereka sendiri dan membentuk satu jalan yang bebas.

Ebrahim Raisi mengasaskan agenda Timur Tengahnya dalam ideologi revolusi Islam dan kewajipan agama untuk menyokong golongan yang tertindas menentang pemerintah zalim. Acara seperti ziarah Arba’een digambarkan bukan sahaja sebagai manifestasi keimanan tetapi juga solidariti politik menentang Zionisme dan imperialisme. Retorik beliau yang berapi-api menyentuh nilai-nilai Islam yang dikongsi bersama untuk mewajarkan peranan Iran yang tegas di rantau Asia Barat dan global secara keseluruhannya.

Dari perspektif gaya kepimpinan, Ebrahim Raisi mempamerkan sikap yang tegas dalam menentang musuh-musuh yang dianggap sebagai ancaman kepada negara. Namun pada masa yang sama, beliau juga menunjukkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa atas dasar kesaksamaan dan saling menghormati. Dengan meletakkan isu Palestin sebagai keutamaan dalam dasar luar Iran, beliau berusaha untuk mengukuhkan legitimasi kepimpinannya di dalam negara dengan menonjolkan dirinya sebagai pembela yang teguh terhadap idea Revolusi Islam yang menjadi tunjang kepada sistem politik Iran.

Selain itu, kempen tekanan maksimum yang dijalankan oleh Ebrahim Raisi terhadap Israel serta sokongan yang diberikan kepada kumpulan pejuang di rantau Timur Tengah juga bertujuan untuk memenuhi kepentingan strategik Iran. Melalui tindakan ini, Iran berusaha untuk memposisikan dirinya sebagai sebuah kuasa yang berpengaruh dan sangat diperlukan di rantau tersebut. Pada masa yang sama, Iran juga ingin mempotretkan mereka sebagai benteng utama yang mampu menentang rancangan AS-Israel, yang dilihat sebagai ancaman terbesar kepada kepentingan nasional Iran. Dengan mengambil pendekatan yang agresif ini, Ebrahim Raisi berharap dapat meningkatkan prestij dan pengaruh Iran pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Meneliti perjalanan hidup Ebrahim Raisi yang penuh dengan dedikasi, komitmen dan pencapaian yang luar biasa telah menonjolkan beliau sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan berpendirian teguh. Tekad beliau dalam memperjuangkan nasib Palestin dan memartabatkan kedudukan Iran di pentas antarabangsa membuktikan keberanian dan ketajaman strategi politiknya. Namun, pemergian Ebrahim Raisi yang mengejutkan dalam nahas udara pada 19 Mei 2024 telah meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada rakyat Iran, tetapi juga kepada dunia Islam secara keseluruhannya. Kehilangan seorang pemimpin yang begitu komited dan berwibawa pastinya merupakan satu tamparan hebat kepada dunia antarabangsa.

Walau bagaimanapun, legasi dan semangat perjuangan yang dikobarkan oleh Ebrahim Raisi akan kekal abadi sebagai obor yang menerangi jalan bagi generasi pemimpin masa hadapan. Nilai murni yang diperjuangkan dengan penuh azam oleh beliau, seperti keadilan yang menjadi tunjang kestabilan, kedaulatan yang menjamin maruah negara serta perpaduan ummah yang menjadi benteng kekuatan, seharusnya terus dipertahankan dan diperjuangkan dengan penuh keberanian dan iltizam.

Mampukah pengganti Ebrahim Raisi kelak meneruskan tekad dan iltizam politik beliau dalam memperjuangkan nasib Palestin yang masih berdarah dan memartabatkan kedudukan Iran serta dunia Islam di persada antarabangsa? Hanya masa yang akan menjadi saksi, namun kita menaruh harapan yang tidak berbelah bahagi agar pemimpin yang bakal mengambil tampuk pemerintahan mampu menggalas amanah ini dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan keberanian setaraf beliau demi mengukir lembaran baharu yang gemilang bagi kesejahteraan rakyat Iran dan umat Islam seluruhnya.

Penulis, Penyelidik Falsafah Politik di Universiti Sains Malaysia yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik. Beliau berkelulusan dalam bidang Pentadbiran Awam dan pernah diundang sebagai Delegasi ke Sidang Kemuncak Keamanan Global 2024, PBB.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.