Oleh Syafwan Arshad
12 Mac 2021, 13:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepertimana takwim penggal dan cuti persekolahan tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut. Bagi sekolah menengah pula, pejajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama. Sementara itu, pejajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara pembelajaran di rumah (Home-based Learning) mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka dijangka hanya akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Ternyata pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah kebiasaan baharu dalam kaedah pembelajaran pelajar dan murid tetapi turut memberikan kesan kepada sesi persekolahan yang ternyata berbeza daripada sebelumnya. Persoalannya, bersediakah murid dan pelajar untuk mendepani sesi pembelajaran tahun 2021? Hal ini dikatakan demikian kerana mahu tidak mahu pendekatan menyeluruh pihak sekolah dalam memastikan keperluan emosi pelajar untuk kembali bersekolah dalam situasi normal baharu perlu diberikan keutamaan. Untuk itu, Dewan Masyarakat mewawancara Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Asmah Ismail, untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah persediaan dan sokongan yang sewajarnya dibekalkan kepada pelajar dan murid untuk menghadapi sesi persekolahan 2021.

Dewan Masyarakat: Sesi persekolahan akan bermula secara berperingkat dan sepenuhnya pada 8 Mac 2021, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh pelajar dan murid?

Dr. Asmah Ismail: Selepas hampir sembilan bulan sekolah ditutup, sesi persekolahan 2021 akan bermula secara berperingkat. Semua pelajar di sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara serentak, manakala pelajar di sekolah menengah secara berperingkat. Perkhabaran ini menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang melihatnya sebagai langkah positif tetapi ada juga yang bersikap skeptikal.

Walau apa-apa pun reaksi yang ditunjukkan oleh masyarakat, sesi persekolahan akan dikendalikan seperti biasa tetapi mengikut norma baharu. Sama ada dimulakan pada 20 Januari 2021 atau 8 Mac 2021, pelajar mengetahui bahawa mereka perlu kembali ke sekolah. Ada sekumpulan pelajar yang ternanti-nanti untuk kembali ke sekolah secepat yang mungkin. Mereka ingin mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah dengan dididik oleh guru secara bersemuka. Namun begitu, ada juga kumpulan pelajar yang tidak kisah sama ada pembelajaran dibuat di sekolah atau secara dalam talian. Bagi mereka, yang penting ialah mereka dapat belajar tanpa halangan. Ada pelajar yang berasa berat hendak kembali ke sekolah kerana sudah selesa dengan pembelajaran secara dalam talian di rumah. Tidak dinafikan, ada juga kumpulan pelajar yang mulai hilang minat untuk belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian memberi kesan kepada motivasi mereka. Antara faktor yang menjejaskan keinginan mereka untuk belajar ialah gangguan internet, gaya penyampaian yang tidak menarik serta sukar diikuti, ketiadaan sumber sokongan dan gangguan daripada persekitaran. Kesannya, mereka hilang minat dan keyakinan untuk menguasai ilmu yang diajar.

Sebagai persediaan menghadapi musim persekolahan, mereka perlu memberikan fokus kepada memantapkan minda, emosi dan fizikal mereka. Kekuatan ketiga-tiga aspek ini akan membantu mereka mendepani cabaran dalam mengembalikan semangat untuk belajar dan menguasai ilmu serta pada waktu yang sama melindungi diri daripada ancaman penyakit. Untuk menguatkan minda, pelajar perlu menanam kepercayaan kepada pihak sekolah dalam memelihara keselamatan diri mereka. Pelajar harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa berada di kawasan sekolah. Mereka perlu bersangka baik terhadap pihak sekolah apabila diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pelajar juga harus percaya bahawa kebajikan mereka ialah keutamaan sekolah dan mereka boleh mengadu kepada pihak sekolah sekiranya mempunyai masalah.

Sebagai persediaan minda untuk menghadapi sesi persekolahan, pelajar harus meletakkan kepercayaan, keyakinan dan bersangka baik terhadap usaha pihak sekolah dalam memelihara keselamatan diri sepanjang mereka berada di sekolah. Dalam hal ini juga, pelajar perlu mempunyai kekuatan emosi untuk kekal tenang dan tidak dikuasai oleh kebimbangan dan ketakutan yang melampau apabila berada di sekolah. Ibu bapa dan pihak sekolah boleh membantu pelajar dengan beberapa teknik untuk mengurus emosi. Antara teknik yang perlu dikuasai pelajar ialah latihan pernafasan dan relaksasi yang betul. Latihan pernafasan seperti deep breathing boleh melancarkan peredaran darah yang membawa oksigen ke otak dan seterusnya dapat menenangkan emosi.

Untuk latihan relaksasi, pelajar boleh mengamalkan imageri seperti membayangkan pemandangan atau senario yang menggembirakan seperti gambaran air terjun, pemandangan kehijauan hutan, binatang peliharaan atau gambar keluarga. Selain itu, pelajar juga boleh mengamalkan bacaan doa atau zikir untuk meningkatkan lagi kekuatan dalaman. Apabila emosi stabil, pelajar boleh berfikir dan bertindak secara rasional.

Ibu bapa juga perlu membantu pelajar mempersiapkan kelengkapan sekolah dan alat keselamatan diri. Pelajar pastinya berasa teruja  untuk ke sekolah apabila ibu bapa  menunjukkan sokongan dengan menyediakan barangan sekolah seperti buku, alat tulis, beg, pakaian dan kasut sekolah. Ibu bapa juga perlu menyediakan alat keselamatan diri seperti pelitup muka atau face shield dan pensanitasi tangan untuk gunakan semasa di sekolah. Selain itu, elok juga sekiranya ibu bapa menyediakan bekalan makanan untuk di bawa ke sekolah. Semua persediaan ini memudahkan adaptasi pelajar dengan norma baharu.

Saya yakin apabila pelajar bersedia secara minda, emosi dan fizikal, mereka sebenarnya sedang belajar mengambil tanggungjawab terhadap kehidupan ini. Usaha mereka memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan pihak sekolah. Secara tidak langsung, pandemik COVID-19 menggalakkan pelajar untuk peka kepada keperluan mengurus diri, mengamalkan disiplin diri dan bekerjasama.

Dewan Masyarakat: Mampukah melawan trauma COVID-19 diaplikasikan di sekolah?

Dr. Asmah Ismail: Trauma atau perasaan takut, cemas dan bimbang akan kemungkinan dijangkiti oleh COVID-19 memang dijangkakan berlaku dalam kalangan pelajar dan warga sekolah. Semenjak COVID-19 menyerang negara, pada setiap hari masyarakat dimaklumkan tentang angka jangkitan dan kematian yang terus meningkat. Semakin tinggi angka dicatat, semakin cemas perasaan kita memikirkan kebarangkalian kita atau ahli keluarga yang tersayang dijangkiti. Apabila keluar rumah, kita dapat melihat anggota masyarakat memakai pelitup muka, alat pengambilan suhu diletakkan di pintu masuk kedai dan amaran penanda kuning jarak satu meter di lantai. Norma baharu ini mengingatkan kita bahawa pandemik COVID-19 masih aktif menyerang dan masyarakat perlu sentiasa menjaga keselamatan diri.

Berdasarkan senario yang sedia ada, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir pelajar yang menjadi terlebih bimbang dan takut untuk hadir ke sekolah. Mereka risau sekiranya dijangkiti apatah lagi  apabila mereka diberikan ingatan oleh ibu bapa dan ahli keluarga bahawa mereka berpotensi menjangkiti ahli keluarga lain terutamanya datuk dan nenek serta saudara mereka yang berisiko.

Begitu pun, terdapat juga pelajar yang tidak berasa takut atau bimbang terhadap virus ini. Mereka percaya bahawa diri mereka kebal dan tidak akan dijangkiti. Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan fasa transisi di mana gaya kehidupan, amalan dan tingkah laku kita sedang dicabar. Fasa transisi ini juga dikenali sebagai fasa konflik kerana situasi lama sedang diancam dengan yang baharu. Kebiasaan dan cara mengurus diri dengan cara yang lama sudah tidak lagi sesuai dan perlu diganti dengan cara yang baharu.

Fasa transisi ini memerlukan cara berfikir dan tingkah laku baharu sebelum menjadi rutin harian. Hal ini memenatkan dan mengundang tekanan terutamanya kepada mereka yang tidak bersedia untuk menerima perubahan. Dalam masa setahun, gaya kehidupan telah dipaksa untuk berubah. Persoalannya, berapa ramai yang berubah secara fizikal tetapi masih berharap rutin baharu ni bersifat sementara dan amalan kehidupan akan kembali kepada yang asal?

Harapan ini menghalang kepada pembentukan sikap baharu yang sepatutnya dijadikan amalan hidup. Sepatutnya, fasa transisi yang akan masuk usia setahun ini sudah dapat diatasi dan norma baharu telah sebati dengan diri kita. Kita sepatutnya telah menerima dan menjadikan cara bersosial dan menjaga diri norma baharu sebagai rutin. Tidak banyak yang diminta sebenarnya.

Dewan Masyarakat: Mampukah SOP dijadikan sebagai amalan biasa dalam kalangan pelajar dan murid?

Dr. Asmah Ismail: Adalah baik sekiranya pihak sekolah mengadakan minggu orientasi untuk memperkemaskan amalan SOP dan norma baharu dalam kalangan pelajar dan warga sekolah. Peringatan, amaran, gambaran dan maklumat yang terlalu banyak boleh mengelirukan dan juga membimbangkan. Akibatnya pelajar menjadi takut untuk mendekati atau didekati oleh orang lain. Di sinilah peranan sekolah sangat penting. Semua pelajar tanpa mengkhususkan kepada pelajar baharu atau lama harus terlibat dengan minggu orientasi.

Minggu orientasi perlu melibatkan semua guru dan pelajar tanpa mengira umur dan pangkat. Hal ini dikatakan demikian kerana kita ingin menerapkan gaya baharu yang mesti diamalkan oleh semua warga sekolah. Walaupun norma baharu dan SOP ini telah diaplikasikan di sekolah sejak tahun lalu, namun memandangkan kes yang dilaporkan dalam negara terus meningkat sehingga ke tahap yang membimbangkan, perkara ini perlu diterapkan kembali sehingga berjaya membentuk sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan individu lain.

Sesi penerangan, bimbingan bertema dan pengurusan diri perlu menjadi keutamaan. Sesi penerangan perlu menekankan aspek tingkah laku mengikut norma baharu, penjagaan kebersihan diri dan peraturan yang harus diamalkan dan dipatuhi oleh setiap pelajar semasa berada di sekolah. Aktiviti bimbingan bertema yang merangkumi aktiviti untuk memantapkan hubungan interpersonal dan mengelak konflik seperti mengajar cara menegur yang berhemah apabila jarak fizikal dilanggar oleh pelajar lain, cara berkata “tidak” apabila dipaksa melakukan sesuatu yang melanggar peraturan, cara menyampaikan maklumat daripada pihak sekolah kepada ibu bapa atau penjaga, dan pengurusan emosi seperti relaksasi dan latihan pernafasan. Seterusnya, untuk aspek pengurusan diri semasa di sekolah, pelajar diajar menjaga barangan sendiri, menghormati hak milik orang lain dan memelihara infrastruktur sekolah.

Sepanjang masa orientasi berjalan, para pendidik dan warga sekolah yang lain harus menjadi contoh tauladan kepada pelajar. Peraturan ini juga seharusnya diamalkan oleh para pendidik. Guru sebagai  individu yang dihormati dan disayangi oleh para pelajar ialah model yang paling sesuai untuk membimbing pelajar dalam mengamalkan norma baharu dalam bersosial dan menjaga kebajikan diri. Untuk makluman pelajar dan ibu bapa, SOP yang dikeluarkan oleh KPM perlu dipatuhi dan diamalkan sepanjang masa semasa berada dalam kawasan sekolah. Penjagaan jarak fizikal, pemakaian penutup muka dan penyediaan pencair pembersih kuman perlu diamalkan dengan bertanggungjawab. Hal ini merupakan cara berkelakuan baharu yang harus dijadikan rutin harian.

Apabila SOP diikuti secara teratur akan membentuk ketekalan dalam kehidupan pelajar. Pelajar melihat wujud ketekalan dalam tingkah laku di rumah, sekolah dan masyarakat sekeliling. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan bahawa pihak sekolah mengambil berat tentang kebajikan dan kesihatan pelajar. Apabila wujud kestabilan amalan dalam semua konteks, pelajar akan dapat mengurus diri dengan lebih kemas kerana banyak kesamaan amalan di rumah dan di sekolah.

Pihak sekolah juga perlu mengaktifkan penyampaian maklumat kepada ibu bapa. Penggunaan laman web sekolah sebagai medium komunikasi rasmi antara sekolah, ibu bapa dan pelajar harus diberikan keutamaan. Sekolah boleh berkongsi maklumat tentang tindakan pihak sekolah dalam menjaga kebajikan pelajar dan murid, amalan SOP sekolah dalam mencegah jangkitan dan juga tanggungjawab ibu bapa dan penjaga dalam membantu pihak sekolah melaksanakan langkah pencegahan supaya keselamatan semua warga sekolah terpelihara. Apabila maklumat dikongsi secara telus dan sentiasa dikemas kini, hal ini akan dapat melegakan perasaan dan meningkatkan keyakinan ibu bapa tentang keselamatan anak mereka.

Oleh itu, saya percaya persekitaran sekolah yang mempamerkan budaya keprihatinan, saling menjaga kebajikan dan menghormati hak individu akan berjaya mengembalikan ketenangan dalam jiwa pelajar dan seterusnya membantu proses penyesuaian diri agar berjalan dengan lancar.

Dewan Masyarakat: Dari segi psikologi, mampukah warga pendidik mendepani cabaran baharu pendidikan tahun 2021?

Dr. Asmah Ismail: Warga pendidik ialah insan yang disanjung tinggi oleh pelajar dan masyarakat. Keyakinan ini tidak pernah luntur sejak berzaman. Ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, warga pendidik tidak pernah lepas tangan daripada tanggungjawab asas mereka. Mereka mengamalkan sikap prihatin, mengambil berat dan berusaha dengan gigih demi memastikan pelajar berjaya melengkapkan modul pembelajaran. Warga pendidik berjiwa kental dan mempunyai sifat membantu yang tinggi. Mereka sentiasa bersedia dan sanggup mencabar kemampuan diri sendiri dalam usaha mendidik pelajar.

Kita seharusnya meletakkan kepercayaan yang sangat teguh bahawa mereka ialah wira kepada pelajar. Sekiranya pelajar sanggup hadir ke sekolah dan berhadapan dengan situasi berisiko demi untuk mendapatkan ilmu, saya percaya warga pendidik akan memastikan pengorbanan pelajar tidak disia-siakan. Sama seperti pelajar, warga pendidik juga menyimpan perasaan cemas dan bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga mereka. Namun begitu, untuk menghapuskan kebimbangan yang menyelubungi diri individu merupakan suatu yang mustahil kerana hal ini berlawanan dengan realiti semasa. Keberanian dan kekuatan mental dan emosi perlu dibangkitkan dalam jiwa pendidik demi melahirkan pelajar yang mampu memimpin negara pada masa hadapan.

Dalam suasana persekitaran persekolahan yang menempatkan bilangan pelajar yang ramai, perasaan bimbang warga pendidik terhadap sesetengah kumpulan pelajar pastinya tidak dapat dielakkan. Guru perlu bijak mengurus emosi semasa berurusan dengan pelajar supaya mereka dapat bersikap adil kepada semua pelajar. Sekiranya perkara ini sukar dilakukan, guru haruslah mendapatkan bantuan guru lain untuk menguruskan keperluan pelajar berkenaan. Kerjasama antara guru akan meringankan beban tanggungjawab yang ditanggung.

Dengan mengaplikasikan norma baharu dalam rutin harian dan mengamalkan tingkah laku pencegahan, warga pendidik mampu menjadi contoh tauladan untuk diikuti. Warga pendidik ialah model terbaik dalam menanam sikap baharu demi menangani pandemik COVID-19. Setiap tingkah laku, perbuatan dan kata-kata guru akan dijadikan panduan oleh pelajar. Memandangkan tingginya hormat dan penerimaan pelajar terhadap guru, warga pendidik mempunyai peluang yang luas untuk membimbing pelajar meninggalkan tingkah laku yang tidak sihat dan menggantikannya dengan tingkah laku yang sesuai.

Guru boleh mengajar bentuk hubungan sosial yang sihat tanpa memperjudikan keperluan memelihara jarak fizikal antara individu. Keprihatinan guru memberikan kekuatan kepada pelajar untuk menjaga keselamatan diri. Cara guru menegur dan menasihati pelajar mampu meningkatkan kemahiran interpersonal bukan sahaja dalam hubungan dengan rakan di sekolah tetap juga boleh diaplikasikan dalam hubungan seharian di luar sekolah.

Warga pendidik mempunyai pelbagai peranan yang harus diuruskan selain daripada mengajar. Guru bertindak sebagai agen penyaring di pintu masuk sekolah untuk memastikan hanya pelajar yang sihat sahaja hadir ke sekolah. Guru juga menjadi pengantara antara pelajar dengan guru kaunseling. Mereka ialah pemerhati dalam mengenal pasti pelajar yang berisiko menghadapi tekanan dan menasihatkan pelajar untuk mendapatkan bantuan guru kaunseling sekiranya perlu. Selain itu, mereka juga merupakan ahli jawatankuasa pelbagai program di sekolah.  Kesemua peranan ini mungkin diterima tanpa perasaan tertekan sebelum pandemik melanda negara.

Hal ini mungkin menjadi pencetus stres bagi sesetengah warga pendidik. Oleh itu, dalam konteks ini, warga pendidik perlu melakukan penilaian kendiri terhadap kesihatan mental agar mereka berada pada tahap yang memuaskan. Kesihatan mental yang mantap sangat penting supaya guru dapat menguruskan tanggungjawabnya tanpa menjejaskan emosi dan fizikal mereka.

Oleh itu, warga pendidik perlu meningkatkan kemahiran mengurus diri terutama dalam mengurus emosi, kognitif dan fizikal supaya mereka dapat berfungsi pada tahap yang tinggi. Guru perlu memberikan perhatian kepada memenuhi keperluan diri dahulu sebelum mengurus orang lain. Kesihatan diri perlu berada pada tahap memuaskan supaya pelbagai tanggungjawab mendidik dan mengurus pelajar dapat dilaksanakan sebaiknya.

Dalam situasi “kita jaga kita” semua orang perlu memainkan peranan secara kolektif. Apabila sekolah mengamalkan persekitaran positif melalui penerapan sikap mengambil berat, menyokong, membantu dan bertoleransi, saya percaya tekanan mengurus tanggungjawab dapat dikurangkan. Pada akhirnya, dengan bermulanya sesi persekolahan tahun 2021, semua pihak sebenarnya sedang melakukan pengorbanan demi memelihara institusi pendidikan daripada ancaman virus COVID-19. Pelajar dan warga pendidik masing-masing mempunyai keluarga untuk dilindungi. Sekiranya semua pihak sedar risiko yang dihadapi, mereka akan menghargai pengorbanan setiap warga sekolah.

Dewan Masyarakat: Melawan COVID-19 tanpa menjejaskan mutu pendidikan, bagaimanakah hal ini mampu direalisasikan?

Dr. Asmah Ismail: Semua pihak bertanggungjawab dalam memelihara diri daripada dijangkiti COVID-19. Sekiranya hal ini berjaya dilakukan maka usaha untuk mengembalikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang terjejas dapat dipulihkan. Apakah bentuk “perlawanan” yang perlu diamalkan oleh warga sekolah dalam menangani COVID-19. Kita tiada senjata fizikal untuk menghapuskan virus ini tetapi kita mampu mengubah cara kita berhadapan dengannya melalui pengukuhan hubungan sosial. Dalam melindungi diri daripada virus, kita perlu menjaga hubungan dengan orang lain agar kekal harmoni. Perhubungan yang sihat merupakan sumber kekuatan. Hal ini memberikan tenaga yang dapat menguatkan imunisasi badan secara tidak langsung. Kita boleh menguatkan dalaman diri dengan meninggalkan beberapa tingkah laku yang tidak sihat dan menggantikannya dengan tingkah laku yang lebih baik.

Satu daripada aktiviti yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 menyerang negara ialah hubungan sosial dengan individu lain. Hubungan sosial semakin menurun kerana pembatalan banyak aktiviti sosial atau kehadiran dihadkan kepada jumlah yang tertentu. Apabila hubungan sosial berkurangan, hal ini  secara tidak langsung menjejaskan kestabilan emosi masyarakat Malaysia yang bersifat kolektif. Hal ini dikatakan demikian kerana emosi kita banyak dipengaruhi oleh orang sekeliling. Perasaan gembira lahir melalui aktiviti berkumpulan atau apabila kita melakukan sesuatu kerja bersama-sama orang lain. Banyak sikap murni lahir dan dimantapkan melalui aktiviti berkumpulan.

Walau bagaimanapun, sejak kes COVID-19 meningkat di Malaysia, rakyat sedikit banyak mulai mempunyai fikiran negatif terhadap sesama ahli masyarakat.  Mereka curiga, tidak mempercayai, tidak yakin dan mementingkan diri sendiri. Perasaan marah, takut dan cemas kerap menguasai diri. Pengalaman negatif ini melahirkan tindakan agresif terhadap individu lain yang dianggap menjadi ancaman atau tindakan menjauhkan diri daripada bercampur dengan orang lain.

Dalam hal ini, tokoh psikologi di Barat, William Glasser, mencadangkan beberapa tingkah laku seperti mempercayai, menghormati, menyokong, menasihati, memotivasi, menerima dan mendengar dijadikan rutin dalam membentuk hubungan yang dapat membantu semua pihak untuk memenuhi keperluan dan tanggungjawab mereka.

Warga sekolah perlu berusaha menerapkan kepercayaan antara satu dengan lain dan meninggalkan prasangka buruk antara mereka. Mereka perlu menghormati hak individu dan hak hidup bermasyarakat. Perbezaan dalam amalan individu diterima selagi hal ini tidak mengancam hak orang lain. Mereka perlu menyokong dan meninggalkan sikap suka mengkritik, menyalahkan dan melabel orang. Menasihati juga harus diamalkan supaya kejadian buruk dapat dielakkan.

Mereka perlu memotivasikan orang lain dengan bercakap perkara yang positif supaya kebaikan dapat dipupuk. Mereka juga perlu mengelak daripada menghukum dan mengancam antara satu dengan lain. Mereka harus mengamalkan sikap menerima dengan cuba memahami dan bertoleransi dengan keperluan individu lain. Pada akhirnya, berusahalah mengamalkan kemahiran mendengar yang bebas daripada menilai dan membuat tafsiran sendiri. Mendengar secara empati akan dapat meningkatkan kefahaman kepada perasaan dan kesusahan pihak lain. Sekiranya semua warga sekolah dapat mengamalkan tingkah laku positif yang dinyatakan tadi, satu persekitaran harmoni pasti akan dapat diwujudkan di sekolah. Apabila corak hubungan berjalan secara tenang, fokus kepada tanggungjawab utama dapat dikendalikan secara efisien.

Dewan Masyarakat: Mengubah rutin pelajar, memerlukan peranan ibu bapa khususnya dalam memberikan sokongan psikologi terhadap mereka sebelum dan selepas sesi persekolahan, apakah pandangan Dr.?

Dr. Asmah Ismail: Saya melihat peranan ibu bapa sangat penting dalam membantu pelajar mengadaptasi perubahan yang sedang berlaku sama ada dari aspek perhubungan sosial mahupun pendidikan. Apa-apa yang dialami oleh pelajar milenium ini sangat berbeza dan belum pernah dialami oleh ibu bapa. Ibu bapa tidak pernah belajar secara dalam talian semasa di sekolah rendah dan menengah. Mereka juga tidak pernah perlu mengamalkan penjarakan sosial semasa berinteraksi dengan kawan-kawan. Berbeza daripada pelajar pada hari ini, pembelajaran dan hubungan sosial berlaku secara maya. Terdapat ibu bapa yang berusaha menyelami perasaan dan pemikiran anak-anak namun tidak kesampaian kerana pengalaman yang terhad.

Walau apa-apa pun sikap yang dipunyai oleh ibu bapa terhadap pembukaan semula sekolah kelak, mereka terpaksa akur akan keperluan pelajar untuk menghadirkan diri ke sekolah dan menamatkan pengajian. Sebagai persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan pada tahun 2021, saya ingin memfokuskan kepada peranan ibu bapa dalam membantu pelajar mengamalkan gaya hidup sihat melalui penjagaan diri secara holistik di rumah dan di sekolah. Penjagaan diri merupakan  sikap yang perlu terapkan oleh semua pelajar.

Penjagaan diri yang patut diamalkan merangkumi penjagaan diri fizikal, emosi, intelek, kerohanian dan personal. Penjagaan diri ini seperti kita menjaga kebajikan diri dan pada masa yang sama memulihkan dimensi diri yang terjejas. Untuk penjagaan diri fizikal, ibu bapa perlu memastikan anak mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam, mandi, memakai pakaian bersih, minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari, mengamalkan pemakanan berkhasiat, bersenam dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.

Untuk penjagaan diri emosi pula, anak boleh melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh mencetuskan perasaan gembira atau emosi positif dalam diri mereka. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah membaca novel, menonton filem, menari, menyanyi, melukis, bermain dengan binatang peliharaan, menulis dan berjumpa kaunselor jika perlu. Seterusnya untuk penjagaan diri intelek pula, ibu bapa membantu menyediakan aktiviti yang boleh merangsang minda anak seperti meneroka topik baharu, belajar kemahiran, menyelesakan silang kata atau teka-teki, bermain catur, menonton dokumentari dan mempunyai hobi. Aktiviti ini membantu anak terus aktif secara minda dan seterusnya mengurangkan perasaan tertekan dan bosan menghadap buku akademik dan tugasan sekolah. Untuk penjagaan diri kerohanian, anak boleh memilih aktiviti yang dapat mendekatkan dirinya dengan alam dan penciptanya. Ibu bapa perlu menggalakkan anak untuk melakukan aktiviti seperti sembahyang, berdoa, berzikir, membaca buku agama, meditasi, yoga, menikmati alam, melihat tumbuh-tumbuhan di sekitar rumah dan muhasabah atau refleksi diri. Aktiviti seperti ini memberikan ketenangan dan mengembalikan tenaga yang hilang.

Pada akhirnya, untuk penjagaan diri personal, ibu bapa membantu anak mengurus tanggungjawabnya sebagai pelajar dan anak. Antara aktiviti yang berkaitan dengan peranan sebagai pelajar ialah hadir ke sekolah pada masa yang sepatutnya, mengikut arahan guru, membaca buku sekolah, mengulang kaji pelajaran, menyelesaikan kerja sekolah dan mengikut peraturan sekolah. Sebagai anak pula, mereka harus membantu kerja di rumah dan mendengar nasihat ibu bapa.

Kelima-lima aspek penjagaan diri ini sekiranya diamalkan secara konsisten akan memantapkan diri anak sebagai individu dan pelajar yang sihat dari segi fizikal, emosi, intelek, kerohanian dan personal. Apabila diri mereka  mantap dari segala dimensi, mereka akan cenderung untuk mengamalkan tingkah laku yang bertanggungjawab dalam aktiviti seharian. Untuk merealisasikan keadaan ini, ibu bapa perlu bersikap proaktif, memahami dan menyokong usaha anak untuk mengurus penjagaan diri mereka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi