16 Mac 2021, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan, iaitu DidikTV  merupakan antara usaha terbaik kerajaan dalam meningkatkan akses  dan membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

DidikTV KPM  yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 17 Februari lalu antara lain adalah bermatlamat untuk mewujudkan saluran  yang khusus dan berkualiti untuk semua murid dan pelajar di seluruh negara. Pengisian kandungan DidikTV KPM yang padat dan bersiaran pada setiap hari untuk tempoh 12 jam, iaitu bermula pada pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada peningkatan pembelajaran murid dan pelajar di seluruh negara.

Umum mengetahui bahawa sesi persekolahan pada tahun 2020 dan pada awal tahun 2021 terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara. Oleh itu, untuk mengekang penularan wabak ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermatlamat untuk memutuskan rantaian COVID-19. Maka, mahu tidak mahu sesi persekolahan di seluruh negara terpaksa ditangguhkan dan takwim persekolahan diubah semula setelah mengambil kira situasi terkini kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

Oleh itu, KPM menjadikan DidikTV KPM sebagai alternatif terbaik untuk memastikan  PdPR boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI. Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

DidikTV KPM turut dilihat sebagai usaha merealisasikan agenda Revolusi Industri 4.0 dengan menjadikan teknologi sebagai pemboleh ubah yang strategik untuk memacu produktiviti negara serta memperkasa warga pendidik untuk lebih berkemahiran dan pakar dalam menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif berteraskan kurikulum serta kokurikulum KPM.

Pandemik COVID-19 membawa kepada pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

Usaha Kerajaan Memperkasakan Bidang Pendidikan

Usaha KPM mewujudkan DidikTV KPM merupakan antara langkah terbaik bagi memastikan murid dan pelajar  yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar mahupun kawasan pedalaman dapat memanfaatkan PdPR.

Pengenalan saluran DidikTV KPM memberikan peluang yang luas kepada murid dan pelajar khususnya dari keluarga isi rumah pendapatan terendah (B40) untuk mengikuti pelajaran yang lebih selesa dan yang lebih penting memudahkan pemahaman murid dan pelajar terhadap subjek yang diajar. Hal ini  lebih-lebih lagi apabila banyak pihak melihat sistem pengajaran  DidikTV KPM  sebagai pendekatan yang paling hampir dengan pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah secara bersemuka. Hal ini dikatakan demikian kerana, penampilan guru di kaca TV yang  berpakaian kemas (seperti ketika hadir ke sekolah) sedikit banyak dapat mengembalikan suasana pembelajaran secara bersemuka.

Meskipun sesi persekolahan tahun 2021 telah bermula pada 1 Mac yang lalu, namun banyak pihak melihat bahawa DidikTV KPM perlu diteruskan. Hal ini kerana banyak pihak yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat berperanan sebagai PdPR yang mampu menyokong dan pemacu kecemerlangan pembelajaran secara bersemuka.    Menurut rekod, data menunjukkan bahawa sebanyak 95 peratus isi rumah di luar bandar mempunyai televisyen di rumah. Maka, DidikTV KPM mempunyai capaian yang lebih meluas untuk PdPR berbanding dengan PdPR yang memerlukan capaian internet sehingga sering menimbulkan polemik apabila terdapat pelajar di luar yang terpaksa masuk  ke dalam hutan untuk mendapatkan capaian internet. selain itu, isi kandungan yang disiarkan dalam DidikTV KPM bukan sahaja mampu menarik minat murid dan pelajar, tetapi DidikTV KPM juga diyakini dapat memperkasakan ilmu yang merangkumi kehidupan, didik hibur, program antarabangsa, dan mengasah kemahiran  penyampaian dalam kalangan murid dan pelajar.

Kreativiti Guru dan Sokongan Ibu Bapa

Suasana pembelajaran melalui DidikTV KPM tidak akan menjejaskan  tahap pencapaian dan  pengetahuan pelajar dan murid jika guru dan ibu bapa turut berperanan penting dalam memberikan perhatian terhadap usaha untuk menjayakan matlamat DidikTV KPM. Tidak dinafikan bahawa murid dan pelajar pada hari ini telah terdedah  dengan pembelajaran secara dalam talian yang merupakan kebiasaan baharu yang telah diadaptasi daripada “persekolahan pascapanemik COVID-19”. Oleh itu, bukanlah menjadi masalah besar jika DidikTV KPM turut menjadi sebahagian daripada kebiasaan baharu yang diteruskan sehingga pandemik COVID-19 benar-benar berakhir atau DidikTV KPM boleh sahaja dijadikan sebagai platform untuk persediaan pembelajaran secara digital seperti yang disuarakan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Setahun Malaysia Prihatin pada 1 Mac lalu.

Oleh itu, guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam membantu  menjadikan  pembelajaran DidikTV KPM dapat benar-benar menarik minat murid dan pelajar khususnya di luar bandar. Proses PdPR menerusi DidikTV KPM pastinya akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan berbanding dengan pembelajaran secara dalam talian yang sering terganggu disebabkan liputan internet yang lemah.

Tidak dapat dinafikan DidikTV KPM memerlukan daya kreativiti dan inovasi guru sejajar dengan perkembangan dunia pendidikan pada hari ini. Hal ini dikatakan demikian kerana guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing pastinya akan mampu menarik perhatian murid dan pelajar dengan kaedah baharu yang lebih mudah difahami.  Oleh itu, bagi memastikan keberkesanan DidikTV KPM, peranan dan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa amat penting agar generasi muda mendapat manfaat daripada pendekatan baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.