Oleh Rozana Abdullah
16 Mac 2021, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kebangkitan wanita dalam bidang politik banyak dipengaruhi oleh gerakan feminisme di Eropah pada Zaman Pencerahan, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika yang dipelopori oleh Lady Mary Wortley dan Marquis de Condorcet.

Pada asasnya, gerakan politik militan wanita bermula di Britain pada tahun 1903 dengan pembentukan Women’s Social and Political Union (WSPU) yang diketuai oleh Emmeline Pankhurst. Antara pelopor gerakan wanita yang tersohor di Eropah ialah Susan B. Anthony, Sojourner Truth dan Emily Davidson.

Gelombang yang dibawa oleh gerakan feminisme ini turut melanda beberapa buah negara lain seperti Ireland, Sepanyol dan Switzerland. Gerakan ini membawa pemikiran baharu bahawa wanita perlu bergerak seiring dengan kedudukan dan status lelaki dalam politik, sosial dan ekonomi. Kesannya, desakan gerakan feminisme ini berjaya membuka lembaran baharu kepada wanita dan merubah dominasi budaya patriakal di serata dunia. Pada tahun 1918 umpamanya, Great Britain memberikan hak mengundi kepada wanita berusia 30 tahun ke atas dan kemudiannya diturunkan kepada 21 tahun ke atas pada tahun 1928. Begitu juga dengan negara lain seperti New Zealand yang memberikan hak mengundi kepada wanita pada tahun 1893, Soviet Union (1917), Australia (1902), Finland (1906) dan Norway (1913).

Namun begitu, berbeza daripada konteks perjuangan wanita di negara dunia ketiga termasuk Malaysia, gerakan politik wanita Malaysia telah bermula seawal tahun 1940-an lagi melalui pergerakan Kaum Ibu. Wanita Malaysia berjuang dengan meniup semangat nasionalisme dalam kalangan kaum ibu untuk bersama-sama menentang arus kolonialisme penjajah. Selain itu, pergerakan feminisme di Malaysia juga berjuang menuntut kesamarataan antara lelaki dengan wanita dalam partisipasi politik dan sebagai pembuat keputusan di sektor awam dan swasta. Maka, lahirlah beberapa kumpulan pergerakan wanita dalam bidang politik seperti Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diasaskan oleh tokoh wanita bersemangat antipenjajah seperti Tan Sri Aishah Ghani, Datin Sakinah Junid dan Shamsiah Pakeh. Selain politik, wanita juga menubuhkan pergerakan sukarelawan di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Young Women Association (1907), Women Teachers Union (1929) dan Women Institute (1952).

Kesinambungan perjuangan wanita pascamerdeka giat ditunjangi Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) yang begitu berperanan dalam memartabatkan kaum wanita di samping memperjuangkan hak mereka. Sejak diasaskan pada tahun 1963 oleh Tan Sri Kamsiah Ibrahim, NCWO diterajui oleh tokoh wanita hebat seperti Tun Fatimah Hashim, Datuk F.R. Bhupalan, Puan Sri Janaki Athi Nahappan dan Puan Sri Fatimah Hamid Don. Hingga kini, terdapat sebanyak 125 NGO bernaung di bawah NCWO yang memperjuangkan pelbagai isu mengenai wanita terutamanya dalam konteks sosial, politik, ekonomi, budaya dan intelektual.

Sejak merdeka, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menyerlahkan potensi diri wanita dalam memacu pembangunan negara. Namun begitu, Indeks Jurang Gender Malaysia yang mengukur perbezaan pencapaian antara wanita dengan lelaki dalam empat bidang utama, iaitu kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik masih tidak mencapai tahap memuaskan dalam beberapa sektor. Malaysia berjaya merapatkan jurang antara wanita dengan lelaki dalam subindeks kesihatan (0.95) dan pendidikan (1.0). Pencapaian ini dinyatakan dengan jelas dalam Global Gender Gap Report 2020 yang memperlihatkan enrolmen pelajar wanita di peringkat pendidikan tertiari berada pada tahap 49.9 peratus, iaitu satu pencapaian yang lebih baik berbanding dengan lelaki (40.7 peratus).

Namun demikian, usaha masih perlu dipertingkatkan untuk merapatkan jurang antara wanita dengan lelaki dalam subindeks ekonomi (0.71) dan politik (0.10). Jurang gender yang ketara dalam subindeks ekonomi dipengaruhi oleh Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita pada suku keempat tahun 2019 (56.1 peratus), iaitu lebih rendah berbanding dengan lelaki (81.1 peratus). Kedudukan skor yang rendah dalam subindeks politik memberi maksud representasi wanita dalam bidang politik masih belum menampakkan kekuatannya. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Global Gender Gap Index 2020 (GGGI) meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-104 daripada 153 buah negara yang ditinjau.

Realitinya, penguasaan politik wanita masih terlalu jauh untuk mencapai tahap 30 peratus seperti yang dipersetujui oleh negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan konvensyen antarabangsa seperti Beijing Declaration and Platform for Action dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW). Hingga Januari 2021, representasi wanita dalam bidang politik hanyalah pada tahap 14.9 peratus berbanding dengan lelaki (85.1 peratus). Malahan dalam kelompok negara-negara ASEAN, Malaysia berada pada tangga kesembilan (0.677) daripada 10 buah negara dengan Myanmar (0.655) berada pada tangga terakhir. Urutan skor bagi negara-negara ASEAN yang lain menurut GGGI 2020 ialah Filipina (0.781), Laos PDR (0.731), Singapura (0.724), Thailand (0.708), Indonesia (0.700), Vietnam (0.700), Kemboja (0.694) dan Brunei (0.686).

Secara tidak langsung, laporan oleh GGGI ini memberikan maklumat bahawa kerajaan perlu mempertingkat usaha untuk memperkasakan potensi diri wanita khususnya dalam aspek ekonomi dan politik. Dasar seperti Dasar Mesra Keluarga, 30 Peratus Wanita Sebagai Pembuat Keputusan, dan penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja perlu mempunyai mekanisme kawalan yang lebih berkesan untuk memastikan pelaksanaan dasar ini mencapai objektifnya. Dasar yang diperkenalkan hendaklah diterjemahkan menjadi realiti terutamanya dasar 30 Peratus keterlibatan wanita sebagai pembuat keputusan, dengan memberikan perhatian khusus terhadap sektor ekonomi dan politik.

Peranan Wanita dalam Pembangunan Negara

Usaha untuk memperkasakan wanita telah dimaktubkan sebagai sebahagian daripada agenda utama kerajaan sejak pelancaran Pelan Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 1980-an lagi. Komitmen kerajaan terhadap pembangunan wanita di negara ini terus diperkasakan melalui pelan pembangunan yang ditambah baik secara lebih tersasar.

Pada tahun 2004, kerajaan mengumumkan perlaksanaan dasar 30 peratus keterlibatan wanita memegang jawatan kepimpinan utama dan sebagai pembuat keputusan di sektor awam. Pelaksanaan polisi ini menyaksikan penglibatan wanita pada peringkat kepimpinan dan pembuat dasar di sektor awam meningkat kepada 37.6 peratus pada Mei 2019 berbanding dengan 18.8 peratus pada tahun 2004. Keberkesanan wanita menerajui kepimpinan utama negara membuka mata kerajaan untuk memperluas dasar 30 peratus keterlibatan wanita sebagai pembuat keputusan ke sektor korporat. Ibarat bulan jatuh ke riba, pelancaran polisi ini memberikan impak yang sangat signifikan terhadap keberadaan wanita dalam sektor korporat. Kesannya, penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 buah syarikat berkaitan dengan kerajaan yang tersenarai di Bursa Malaysia meningkat kepada 26.4 peratus pada tahun 2019 berbanding dengan 19.2 peratus pada tahun 2017. Dalam pada itu, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016 ‒ 2020 membuka ruang kepada wanita untuk lebih aktif dalam pasaran buruh apabila KPTB wanita dinaikkan kepada 56.5 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 54.3 peratus (2016).

Kemampuan wanita sebagai pembuat keputusan terbukti apabila semakin banyak wanita menggalas tugas utama kepimpinan negara. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz ialah satu nama besar dalam bidang ekonomi dan tokoh yang menjadi inspirasi bukan sahaja kepada wanita malahan juga lelaki. Sementara itu, pelantikan Tan Sri Profesor Dr. Mazlan Othman sebagai Pengarah Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB di Vienna, Austria, dari Oktober 1999 hingga Jun 2001 juga membuka mata dunia akan kemampuan wanita Malaysia dalam bidang sains. Nyata sekali, pelantikan ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada wanita, malahan juga kepada Malaysia khususnya.

Namun begitu, di balik pelbagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan ketokohan wanita di negara ini, masih banyak wanita yang ditindas dan dinafikan hak mereka. Buktinya, kes penderaan, penipuan, penindasan dan jenayah seks terhadap wanita masih lagi menjadi topik utama media arus perdana. Diskriminasi gender dalam bidang pekerjaan masih ketara dan menjadi isu yang perlu terus diperjuangkan. Hal ini jelas apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) mendapati, kadar upah yang diterima oleh wanita adalah lebih rendah, iaitu sebanyak RM93.20 bagi setiap RM100.00 yang diperoleh lelaki. Senario ini wajar ditangani dengan berkesan kerana wanita mengisi sebahagian daripada jumlah keseluruhan populasi Malaysia dan dunia.

Di samping itu, statistik JPM juga memperlihatkan Kadar Luar Tenaga Buruh Wanita (4882.5) pada suku tahun pertama tahun 2020 adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki (2280.7). Istilah Luar Tenaga Buruh merujuk bilangan penduduk yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur, iaitu suri rumah, pelajar (termasuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran), mereka yang telah bersara atau tidak berkeupayaan dan mereka yang tidak berminat untuk mencari pekerjaan. Persoalannya, mengapakah banyak wanita memilih untuk menjadi suri rumah atau tidak bekerja? Mungkinkah wanita sudah bosan dengan diskriminasi di tempat kerja yang lebih berpihak kepada lelaki sedangkan komitmen yang diberikan adalah lebih tinggi?

Pun begitu, sumbangan wanita sebagai pemain industri dalam pelbagai bidang sememangnya memberikan impak yang besar terhadap pembangunan negara. Bermula dari pascakemerdekaan hingga era Wawasan 2020, nama wanita Malaysia semakin menyerlah di persada antarabangsa. Dr. Farah Shaheera Roslan umpamanya, telah dianugerahkan NHS Leadership Academy Award dan dicalonkan untuk British Muslim Award atas kebolehannya mencipta hijab pakai buang bagi membolehkan para petugas wanita Muslim memasuki dewan bedah.

Dalam bidang sukan pula, nama Datuk Nicol Ann David sememangnya terlalu unggul di mata dunia. Beliau ialah wanita Asia pertama yang menduduki tangga pertama dunia dalam sukan skuasy. Beliau ialah satu-satunya rakyat Malaysia dan Asia yang meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa dengan menewaskan 23 calon lain pada Februari 2021.

Di samping itu, Dr. Amalina Che Bakri juga ialah antara figura yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kegigihan beliau mengatur rawatan untuk membantu bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin,  yang menghidap Germ Cell Tumour untuk mendapatkan rawatan di London sememangnya membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Amalina turut tersenarai sebagai antara 10 doktor pakar pelatih pembedahan terbaik United Kingdom dan kini berkhidmat sebagai pendaftar pembedahan umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial London. Figura seperti yang dinyatakan di atas ialah barisan generasi muda yang meneruskan kewibawaan tokoh wanita yang terlebih dahulu bersinar di persada antarabangsa seperti Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Tan Sri Michelle Yeoh, Dato’ Lim Phaik Gan dan Datin Paduka A. Mangalam.

Penglibatan Wanita dalam Politik

Setelah negara mencapai kemerdekaan, wanita semakin berani berpolitik dan melibatkan diri dalam proses pilihan raya. Perjuangan pergerakan kebangsaan seperti AWAS yang dipelopori oleh Tan Sri Aishah Ghani dan Kaum Ibu oleh Datin Putih Mariah Ibrahim merintis jalan kepada wanita untuk melebarkan sayapnya dalam bidang politik pada hari ini. Tan Sri Fatimah Hashim ialah wanita pertama yang dilantik memegang portfolio dalam Kabinet Malaysia. Beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am Malaysia dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973. Semangat juangnya terpamer jelas apabila beliau bersama-sama penduduk tempatan berarak menentang Malayan Union sambil mendukung anak kecil dan mengheret tangan anak yang besar. Manakala Aishah ialah wanita pertama yang dilantik sebagai senator dan yang kedua memegang jawatan menteri apabila dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am pada tahun 1972.

Pada hari ini, terdapat banyak ahli politik wanita menerajui beberapa portfolio penting dalam Kerajaan Malaysia seperti Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Malahan, Pilihan Raya Umum ke-14 mencatatkan sejarah tersendiri dalam pentas politik negara apabila Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi wanita pertama yang dinobatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kepimpinan wanita dalam bidang politik sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila Dato’ Sri Azalina Othman Said dilantik sebagai wanita pertama menggalas jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020.

Pada masa ini, ruang politik di serata dunia adalah lebih kondusif kepada lelaki. Stigma masyarakat yang lebih mendukung kepimpinan lelaki menyebabkan penyertaan wanita dalam politik masih rendah berbanding lelaki. Menurut rekod oleh Inter-Parliamentary Union (IPU), hanya 51 daripada 192 buah negara mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik dunia. Malaysia berada pada kedudukan ke-146 dengan kadar 14.9 peratus. Kadar penglibatan wanita yang rendah di peringkat kepimpinan tertinggi negara akan menyebabkan keputusan yang dibuat mengenai isu-isu berkaitan dengan wanita terutamanya, kurang menepati kehendak dan kemahuan audiens sasaran.

Umum mengetahui, kehadiran tokoh politik seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Napsiah Omar, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Datin Paduka Rahmah Othman banyak memberikan impak kepada pembangunan negara. Pembentukan Dasar Wanita Negara menjadi bukti kewibawaan wanita dalam menyuarakan pandangan di peringkat parlimen. Dasar Wanita Negara diperkenalkan pada tahun 1989 untuk mengarusperdanakan penyertaan wanita dalam pembangunan negara.

Mungkinkah pada suatu hari nanti, rakyat bersuara dan memilih wanita untuk menduduki tampuk tertinggi kepimpinan negara? Di Britain umpamanya, pelantikan Margaret Thatcher sebagai Perdana Menteri pada tahun 1979 meninggalkan kesan mendalam kepada negara itu. Margaret Thatcher telah diberi gelaran “Iron Lady” oleh seorang wartawan Soviet atas kehebatan beliau menangani konflik Perang Dingin dan Perang Falklands. Kejayaan beliau membangunkan ekonomi Britain yang mengalami kemerosotan pada masa itu membuatkan beliau dipilih untuk terus menerajui Britain pada penggal kedua.

Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand.

Sementara itu, kemenangan besar Jacinda Arden dalam pilihan raya umum New Zealand pada Oktober 2020 sekali lagi meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua setelah dilantik buat pertama kalinya pada tahun 2017. Keupayaan Arden memerangi pandemik COVID-19 sehingga New Zealand diisytiharkan sebagai negara terawal bebas daripada COVID-19 pada gelombang pertama telah meletakkan beliau sebagai antara pemimpin politik yang dikagumi masyarakat dunia. Selain itu, kepimpinan beliau yang disifatkan sebagai mesra Islam jelas dipamerkan sewaktu beliau menangani krisis tragedi berdarah di Masjid Kilbirnie.  Ekoran daripada peristiwa hitam itu, beliau meminda undang-undang pemilikan senjata yang diguna pakai New Zealand. Malah beliau juga lantang bersuara mengutarakan isu yang menyentuh pusat rehabilitasi Xinjiang di China yang menindas penduduk minoriti Muslim Uighur serta permasalahan penduduk Rohingya di Myanmar. Ketokohan Arden memimpin New Zealand dan mendepani pelbagai konflik telah meniup gelombang kepimpinan politik wanita generasi muda di pentas politik dunia seperti Sanna Marin (Finland) dan Silveria Jacobs (Sint Maarten). Selain itu, dunia juga menyaksikan ketokohan wanita di arena politik dan sebagai pemimpin negara melalui kepimpinan Benazir Bhutto, iaitu wanita pertama yang memimpin sebuah negara Muslim pascakolonial dan Sirimavo Bandaranaike yang menjadi wanita pertama di dunia dilantik sebagai Perdana Menteri (Sri Lanka) pada tahun 1960 – 1965 dan tahun 1970 – 1977.

Halimah Yacob, Presiden Singapura.

Walaupun Malaysia mempunyai pemimpin politik wanita yang berkaliber dan bersuara lantang, namun belum ada bayangan bahawa Malaysia akan diterajui oleh pemimpin wanita. Sedangkan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina, masing-masing mencatat sejarah tersendiri diterajui oleh tokoh hebat seperti Halimah Yacob, Yingluck Shinawarta, Megawati Soekarno Putri dan Gloria Macapagal Arroyo. Adakah Malaysia akan dipimpin oleh wanita hebat seperti ini pada masa hadapan? Sudah pastinya banyak perubahan yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan parti politik dalam usaha mencipta sejarah baharu untuk meletakkan wanita duduk di kerusi nombor satu dalam barisan Kabinet Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.