16 Mac 2021, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apalah maknanya kuasa tanpa rakyat dan siapalah rakyat tanpa kuasa. Ungkapan ini barangkali dapat menjelaskan apa-apa yang sebenarnya sedang berlaku di Burma selepas tahun 1947 hingga tragedi terkini, iaitu pada 1 Februari 2021. Garis mula 1948 merupakan lembaran penting yang menggambarkan pengorbanan pejuang kemerdekaan dalam melestarikan sebuah negara tradisional kepada sebuah persyarikatan moden dengan nama baharu, iaitu Myanmar.

Pergolakan di Myanmar mendapat perhatian dunia.
Pergolakan di Myanmar mendapat perhatian dunia.

Nama seperti Jeneral Ne Win, Aung San, U Nu dan U Saw, menjadi jalur cerita kisah perjuangan politik Myanmar yang berlangsung selama 73 tahun lalu dan kini masih menghiasi perjuangan politik rakyatnya pada hari ini. Peristiwa rampasan kuasa dengan episod penentangan bukanlah perkara baharu. Maka, untuk melihat bagaimana keadaan konflik ini berlangsung dengan begitu lama, haruslah kita membuka lembaran sejarah penubuhan negara ini. Myanmar melalui tiga fasa pembentukan perlembagaan negara moden, iaitu fasa pertama tahun (1947 – 1962), fasa kedua (1973 – 974) dan fasa ketiga (1998 – 2008).

Selepas merdeka pada tahun 1948, perlembagaan pertama digubal oleh seorang Hakim Mahkamah Tertinggi Burma, iaitu Chan Htoon. Perlembagaan ini bermodelkan negara kesatuan sosialis. Hal ini menggantikan  Akta Burma 1935 yang dibentuk oleh British dan Perlembagaan Burma semasa Pendudukan Jepun. Dalam tempoh 14 tahun fasa pertama, aliran politiknya berkembang melakar dengan pelbagai ranjau. Peranan Jeneral Ne Win yang menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera atau dikenali sebagai Tatmadaw banyak terpalit dengan pelbagai konspirasi, rahsia sulit dan aktiviti tentera rahsia yang terus terpendam bersama-sama beliau selepas menghembus nafas yang terakhir dalam tahanan rumah pada usia 92 tahun.

Selepas merdeka pada tahun 1948, negarawan dan politikus U Nu menerajui pemerintahan Myanmar. Beliau menjadi Perdana Menteri yang pertama. Pada 4 Januari 1948, Myanmar dengan rasminya menjadi negara berdaulat dengan penubuhan kabinet kerajaan berparlimen.

Sebelum kisah bahagia ini muncul, tragedi berdarah Aung San mencemarkan kewibawaan politik negara pagoda emas itu. Aung San yang merupakan bapa kepada Aung San Suu Kyi, ditembak mati oleh sekumpulan askar bersama-sama lapan orang menteri kabinet ketika mengadakan mesyuarat pertama selepas parti politik Anti-Fascist People’s Fredom League (AFPFL) yang ditubuhkannya menang dengan 176 daripada 210 kerusi pada Pilihan Raya  Umum Myanmar 1947.

Kekecohan dan ketidakpuasan hati pemimpin politik terhadap peristiwa itu diredakan melalui pengumuman tentera tentang hasil siasatan mengenai peristiwa berdarah berkenaan. Galon U Saw, seorang pemimpin Burma sebelum kemerdekaan didakwa melakukan komplot pembunuhan tersebut. Selepas dibicarakan, U Saw tidak mengakui perbuatannya itu. Walau bagaimanapun, mahkamah mendapati beliau bersalah dan dihukum.

Kemudian, episod rampasan kuasa Junta bermula pada 2 Mac 1962. Ne Win yang diangkat menjadi Pengerusi Majlis Revolusi Kesatuan memulakan plot rampasan kuasa dengan membubarkan parlimen. Kudeta ini dikatakan sebagai rampasan kuasa aman kerana tidak ada pertumpahan darah direkodkan. Pengerusi Majlis Revolusi ini kemudiannya mengambil alih negara dan menjadi rejim pemerintah baharu selepas menggantung perlembagaan negara serta membubarkan badan perundangan.

Peristiwa itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan golongan cendekiawan dan pelajar. Tunjuk perasaan dan demonstrasi pelajar Universiti Rangoon dipandang sepi oleh Junta. Begitu pun, hasil intipan polis rahsia telah mengenal pasti rancangan gerakan bawah tanah yang dikenali sebagai tentera Teh Susu yang  melakukan rusuhan di seluruh negara.

Ne Win kemudiannya mengeluarkan arahan supaya askar menggempur Universiti Ranggon. Peristiwa Julai 1962 itu menyebabkan pertempuran berlaku antara pelajar dengan askar Junta. Askar telah melepaskan tembakan terhadap pelajar yang berhimpun, kemudian memusnahkan bangunan kesatuan pelajar. Kecaman dunia terhadap tindakan Ne Win itu menyebabkannya cuba mengelakkan diri dengan ke luar negara atas tujuan membuat pemeriksaan kesihatan. Sekembalinya daripada lawatan luar negara, jeneral kuku besi ini menubuhkan Parti Sosialis Burma (BSPP). Dia kemudiannya mengisytiharkan BSPP sebagai parti tunggal. Berikutan itu, Majlis Revolusi Kesatuan dibubarkan dan Republik Sosialis Myanmar diperkenalkan. Alasan junta, demokrasi berparlimen tidak sesuai diamalkan dan model negara kebajikan sosialis diperlihatkan kepada rakyat.

Selama 26 tahun memerintah (1962-1988), rakyat menanggung kesengsaraan yang tidak tertanggung. Pentadbiran negara yang ekstrem dan berasaskan nasionalisme melampau serta pengurusan ekonomi secara autarki, iaitu pengasingan ekonomi dari dunia luar menjadikan negara seribu pagoda ini mundur. Kerajaan pusat yang memerintah hampir muflis dengan rizab nilai simpanan wang negara berada pada jumlah 20 hingga 35 juta sahaja sekitar tahun 80-an. Inflasi menekan rakyat. Petani dipaksa menjual hasil tanaman dengan harga yang murah. Separuh daripada peruntukan belanjawan negara, dikhususkan untuk perkhidmatan Junta dan memperkukuhkan ketenteraan.

Plot penentangan rakyat tetap berterusan. Sejak tahun 1962 hingga pertengahan 1980-an, pemimpin politik ditindas dan diketepikan hak bagi mengawal penentangan. Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi saksi pencerobohan hak asasi manusia. Badan dunia itu cuba menasihati Junta supaya fokus kepada pembangunan ekonomi serantau daripada terus menekan hasrat rakyat. Malangnya, sikap keras kepala Junta menyebabkan bumi emas ini menjadi negara paling mundur seperti yang tercatat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBB pada tahun 1988. Pernyataan itu menyinggung hati Ne Win dan menyebabkan beliau meletakkan jawatan. Tidak berapa lama selepas itu, gerakan penentangan besar-besaran tercetus dengan menyaksikan pertempuran orang awam dengan Tatmadaw (nama rasmi angkatan tentera Myanmar). Tentera menembak dan mencederakan penunjuk perasaan. Kesannya, sebanyak 3000 orang terkorban. Malah ramai lagi yang hilang dan tidak dapat dikesan kerana tidak rekod.

Ekoran peristiwa hitam itu, revolusi 8-8-88 (rusuhan anti tentera pada 8 Ogos 1988) memulakan langkah dengan menonjolkan pimpinan Aung San Suu Kyi  untuk mendapatkan semula hak rakyat dengan menubuhkan kerajaan demokrasi berparlimen. Perjuangan ini dipandang penting oleh Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) terutamanya kerajaan Malaysia.

Walaupun pertubuhan ini meletakkan pendirian tidak masuk campur urusan dalaman sesebuah negara anggota, namun usaha damai melalui jalan perbincangan dan diplomasi diatur antara semua pihak yang terlibat bagi menjamin kesejagatan dan kesejahteraan di rantau ini. Pada akhirnya, resolusi rakyat berjaya membawa fasa ketiga perlembagaan yang berteraskan politik pelbagai parti dengan bertunjangkan demokrasi. Hal ini ditegakkan melalui Arahan Pemansuhan Perlembagaan 1974 dengan menubuhkan Majlis Pemulihan Undang-undang dan Ketertiban Negara (SLORC) oleh Jeneral Saw Muang. Usaha pemulihan konstitusi negara berdemokrasi semakin berhasil. Namun begitu, Junta meletakkan asas tidak logik pada perlembagaan baharu dengan menetapkan 20 peratus kerusi perwakilan rakyat di parlimen harus diberikan kepada Tatmadaw. Ternyata tiada cahaya kecil di hujung terowong yang diharapkan oleh rakyat.

Penubuhan Parti Liga Kebangsaan Demokratik (National League Democratic) (NLD) yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi akhirnya berjaya membentuk kerajaan awam pertama selepas puluhan tahun berjuang menentang undang-undang drakonian Junta.

Di balik kemenangan ini, tersimpan duri yang bakal menusuk daging. sejarah berulang kembali. Detik rampasan kuasa Junta dimulakan kembali. Pada kali ini, alasan sama diberikan, iaitu mencari keadilan bagi memulihkan kedaulatan negara selepas dikatakan pilihan raya umum pada  November 2020, dicemari dengan penipuan dan tidak sah. Sepantas kilat, Junta Min Aung Hlaing bertindak menubuhkan Majlis Pentadbiran Negara dengan 11 orang anggota bagi mengisytiharkan darurat selama setahun.

Tanggal 1 Februari 2021, akhbar antarabangsa melaporkan Junta Tatmadaw melumpuhkan semua sistem komunikasi di negara berkenaan dan menahan 400 orang ahli parlimen, iaitu beberapa jam sebelum parlimen bersidang. Berita itu mengejutkan pemimpin ASEAN. Bimbang akan krisis yang lebih buruk berlaku, Setiausaha Agung ASEAN menjemput sidang khas diadakan secara maya bagi membincangkan pergolakan berkenaan.

Pemerhati hak asasi manusia PBB di Myanmar, Nada al-Nashif, juga mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Junta itu tidak sah dan melanggar hak asasi manusia kerana menidakkan hak rakyat untuk menubuhkan kerajaan awam yang demokratik.

Sementara itu, ASEAN menggunakan saluran diplomasinya bagi memujuk junta untuk akur dengan tekanan antarabangsa. Junta disarankan supaya mengutamakan aspirasi dan kehendak rakyat yang memilih negara demokrasi berparlimen.

Jika tindakan Junta Min dibiarkan berlarutan, hal ini bakal meruntuhkan hubungan perdagangan penting tiga blok, iaitu ASEAN bersama-sama Eropah, Amerika dan China. Pendirian ASEAN yang lebih liberal dijangka bakal membuka jalan penyelesaian apabila Pengerusi ASEAN mengemukakan tiga cadangan untuk meleraikan kebuntuan krisis ini. Cadangan pertama adalah dengan jemputan Myanmar, ASEAN menubuhkan sekumpulan pakar dalam pilihan raya untuk membantu negara itu merapatkan jurang yang wujud dalam pilihan raya lalu. Kedua, Myanmar dapat mempertimbangkan cadangan agar Setiausaha Agung dan Pengerusi ASEAN dapat mengunjungi negara itu dan diberikan akses kepada semua pihak yang terlibat bagi tujuan perbincangan dan semua menteri luar ASEAN dapat mengetahui penglibatan mereka secepat mungkin. Ketiga adalah dengan penubuhan Troika ASEAN mengenai Myanmar bersama-sama rakan antarabangsa secara kolektif. Semua cadangan Troika akan dikongsi dengan Myanmar.

Antara sedar dengan tidak, sejarah lama perlu ditutup dan tidak diulang lagi. Begitulah pendirian Malaysia yang menyokong penuh usaha dan aspirasi rakyat yang mahukan kerajaan demokrasi berparlimen yang telus dan memajukan negara tanpa undang-undang Drakonian. Meskipun hasrat ini menjadi dasar dan lidah utama pemimpin ASEAN lain, namun sejauh manakah institusi Tatmadaw berani berubah dan pemimpin tertinggi Tatmadaw mengubah pendirian institusi tentera daripada setia, taat dan patuh hanya pada junta, kepada kesetiaan kepada rakyat dan negara.

Keadaan Tatmadaw yang begitu menjadikan rukun negara ini tidak seimbang dan pincang kerana institusi ini sepatutnya menjadi pelindung yang mengutamakan keselamatan rakyat dan negara. Namun begitu telah terheret sebagai entiti ancaman kepada rakyat dan negara. Sejauh manakah rakyat Myanmar berani untuk terus melakukan reformasi, hanya masa yang menentukan angin perubahan itu akan berlaku atau sebaliknya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.