16 April 2021, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sekembalinya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dari Arab Saudi baru-baru ini dengan membawa pulang tiga berita gembira mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat negara ini. Pertemuan dengan Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud itu merangkumi spektrum kerjasama yang luas termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal Islam, pendidikan dan hubungan sesama manusia.

Difahamkan kerajaan kedua-dua belah pihak telah bersepakat mempersetujui penubuhan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia selain perbincangan berkaitan dengan jemaah haji pada musim penularan COVID-19 dan yang terakhirnya ialah memorandum persefahaman (MoU) berhubung dengan hal ehwal Islam. Malah, kerajaan Arab Saudi juga turut bersetuju menambah lagi 10 ribu kuota haji kepada rakyat negara ini.

Ketiga-tiga berita itu dianggap kejayaan besar oleh banyak pihak ekoran pelbagai insiden yang berlaku sehingga mengakibatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara sebelum ini sedikit goyah. Hal yang demikian berikutan pertukaran kerajaan selepas Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. Namun begitu, usaha Perdana Menteri bersama-sama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam memulihkan kembali hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama patut diberikan pujian.

Beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini dalam era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sedikit banyak menggoyahkan hubungan antara kedua-dua kerajaan. Antaranya penutupan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) di Putrajaya. Penutupan ini dibuat secara mengejut tanpa ada sebarang perbincangan malah tanpa pemakluman rasmi daripada Malaysia kepada Arab Saudi. Difahamkan mereka hanya mengetahui perkara ini menerusi laporan media, sedangkan KSCIP ialah idea asal Raja Salman ketika lawatan rasmi ke negara kita pada tahun 2017. KSCIP merupakan simbol kepercayaan dan sebagai tanda hubungan yang terjalin antara kedua-dua buah negara berada pada tahap yang terbaik.

Pada ketika ini, momentum dalam kalangan pemimpin terutama dalam konteks hubungan negara kita dengan Saudi tampak lebih positif. Pelbagai usaha yang telah dicapai bersama. Pemulihan ini penting bukan hanya kepada negara kita, tetapi juga kepada ummah secara keseluruhannya memandangkan kedua-dua buah negara merupakan antara kunci utama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Antara usaha membawa hubungan ke arah lebih strategik adalah menerusi penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (High Level Strategic Committee atau HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala. Kerajaan turut memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua buah negara. Hal ini termasuklah cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia-Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi antara kedua-dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Selain itu, Perjanjian Inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah (Mecca Road Service Initiative) turut dimeterai secara rasminya oleh Hishammuddin dan rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan Al-Saud. Lebih membanggakan, Malaysia ialah negara terawal yang dipilih oleh Arab Saudi untuk menyertai inisiatif itu selain Indonesia.

Begitu juga dengan penubuhan Majlis Koordinasi yang dipimpin oleh Menteri Luar Negeri kedua-dua buah negara yang dibina berdasarkan hubungan agama, sejarah, sosial dan budaya antara Malaysia dengan Arab Saudi termasuk keanggotaan kedua-duanya dalam OIC. Perkara ini secara jelas dan terang bukan hanya memberikan kebaikan kepada negara masing-masing, tetapi turut memberikan manfaat kepada kebanyakan negara Islam dan ummah.

Perkara yang disebutkan di atas secara tidak langsung menonjolkan kebijaksanaan Menteri Luar kita dalam usaha menangani isu antarabangsa. Ketokohan dan kewibawaan beliau terserlah dalam isu hubungan diplomatik ini. Selain dalam hal ekonomi dan inovasi, wakil kepimpinan tertinggi negara kita juga sempat memberikan tumpuan kepada aspek perdagangan. Perbincangan bertumpu kepada meneroka pasaran baharu bagi eksport minyak kelapa sawit. Bagi tujuan ke hadapan, Perdana Menteri mencadangkan industri di Malaysia melihat kemungkinan pembinaan kilang untuk memproses minyak sawit di Arab Saudi bagi tujuan pembuatan makanan.

Malah, kesediaan Raja Salman menerima kunjungan itu juga sudah menunjukkan tahap hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi yang amat baik dan membanggakan. Hishammuddin menjelaskan bahawa kesediaan Arab Saudi menerima kunjungan pemimpin negara dalam keadaan pandemik semasa juga adalah sesuatu yang luar biasa yang menunjukkan keikhlasan kedua-dua buah negara untuk memperkasakan hubungan dua hala yang sedia terjalin.

“Lawatan ini cukup mencabar kerana kita terpaksa melakukannya dalam landskap COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang begitu ketat dan setahu saya bagi pihak Arab Saudi pula, ini kali pertama seorang ketua negara diterima untuk lakukan lawatan rasmi,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.