Oleh Asmat Fikri
16 April 2021, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tersentap emosi melihat anak kecil dicampak dan dihentak ke lantai dengan rengusan daripada seorang guru. Allahuakbar! Anak itu bukan anak patung yang boleh dicampak ke lantai begitu sahaja. Bagaimanakah kalau kanak-kanak itu anak kita? Klip video berdurasi 10 saat yang tersebar di media sosial baru-baru ini menjadi amarah banyak pihak apabila tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepada guru telah dikhianati begitu sahaja.

Pasti ramai yang menuding jari kepada guru terbabit. Tidak dapat tidak, pasti kesalahan itu terpikul di bahunya. Malah guru berkenaan juga telah dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan dan dilepaskan dengan jaminan. Untuk itu, marilah kita sama-sama menilai apakah inti pati yang boleh diambil daripada ketidaksabaran dalam mendidik anak kecil.

Menerusi kes ini, banyak peguam yang tampil memberikan cadangan kepada ibu bapa mangsa dera atau buli supaya segera melaporkannya kepada pihak berwajib. Hal ini kerana kelakuan tidak bermoral dan berakhlak itu boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dalam Bab 3 Seksyen 31 (1) yang jelas menyatakan bahawa kesalahan berhubung dengan kesihatan dan kebajikan mereka kerana membiarkan kanak-kanak, menganiaya mereka, mengabaikan dan membuang mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi. Natijahnya, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau dipenjarakan tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya.

Itulah padahnya jika tidak berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Namun begitu, jika diteliti pasti ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku? Apakah guru berkenaan menghidapi masalah mental? Atau mungkin juga kehabisan tenaga (burnout)? Atau mungkin juga memang itulah sikap guru tersebut?

Sekiranya guru tersebut tidak mempunyai masalah mental, mungkin juga guru tersebut mengalami burnout. Menurut International Journal of Education, Psychology and Counseling yang bertajuk “Burnout dalam Kalangan Guru Pendidikan Awal Kanak-kanak: Sebab dan implikasi” menjelaskan bahawa sindrom burnout berlaku apabila seseorang mengalami keletihan dan berasa terlalu penat semasa melaksanakan kerja atau tugasan yang dilakukan sehingga memerlukan rehat secukupnya.

Jurnal hasil kajian Laila Ajang dan Kamariah Abu Bakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menyebut bahawa burnout merupakan sindrom psikologi, iaitu keletihan emosi, depersonalisasi dan pencapaian peribadi. Terdapat tiga faktor utama yang menjadi penyebab berlakunya sindrom ini. Faktor pertama, iaitu berkait rapat dengan imej diri, pengalaman dan kekangan masa. Selain itu, kekurangan pengalaman juga boleh menyumbang kepada tahap burnout dalam kalangan guru pendidikan awal kanak-kanak. Dalam hal ini, guru yang masih baru dalam bidang pendidikan menunjukkan tahap burnout yang lebih tinggi berbanding dengan guru yang sudah lama mengajar.

Faktor kedua ialah persekitaran kerja. Hal ini melibatkan interaksi pelajar bersama-sama guru ketika sesi pembelajaran dan persekolahan. Tingkah laku pelajar yang pelbagai ragam sehingga sukar dikawal, gaji yang rendah, berasa tidak dihormati oleh masyarakat, kurang mendapat peluang kerjaya yang lebih baik dan terdapat arahan yang tidak munasabah daripada majikan.

Faktor ketiga pula ialah perhubungan antara guru dengan ibu bapa murid. Pada peringkat pendidikan awal kanak-kanak, guru sering berhadapan dengan tekanan daripada ibu bapa yang mempunyai harapan yang terlalu tinggi terhadap kualiti pendidikan anak mereka. Ibu bapa juga sering berusaha untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang aktiviti anak mereka ketika berada di sekolah. Hal ini menyebabkan tekanan psikologi guru menjadi lebih tinggi dan secara tidak langsung meningkatkan burnout dalam kalangan guru.

Gejala ini mengakibatkan tekanan mental yang perlu diberikan perhatian serta mendapat perawatan dengan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana impak negatif daripada gejala burnout menyebabkan guru tidak fokus untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang pada akhirnya memberikan kesan kepada emosi dan fizikal guru.

Kesan daripada tekanan kerja yang tidak terkawal ini menyebabkan guru kehilangan semangat untuk mengajar di sekolah. Emosi yang tidak stabil ini ditambah pula dengan keadaan keletihan fizikal yang mengurangkan semangat guru untuk mengajar, menunjukkan sikap negatif, pasif dan bertambah buruk apabila guru mula tidak mengambil peduli tentang murid mereka.

Persoalannya, sejauh manakah guru dapat menyerap tekanan ini dan mengawal emosi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka? Benar, setiap daripada kita tidak pernah terlepas daripada tekanan namun guru perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik murid dan mengetepikan segala permasalahan yang dihadapi.

Maka itu, amat penting untuk setiap golongan pendidik kembali bermuhasabah dan menerapkan ajaran agama dalam menjalankan tugas. Andai kata mereka tidak mempunyai minat untuk bergaul dengan anak kecil, memujuk, panas baran dan sebagainya, elakkanlah menjadi guru. Banyak lagi pekerjaan lain yang tidak perlu untuk berkomunikasi dan interaksi dengan anak kecil.

Jika kerjaya guru menjadi pilihan, ambillah contoh bagaimana Rasulullah SAW dalam melayan kerenah anak kecil. Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, pada suatu hari Baginda mencium cucunya Hassan dan perbuatan itu dilihat oleh seorang sahabat bernama al-Aqra bin Habis at-Tamimi.

Dia berkata, “Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun.” Rasulullah SAW lantas memandangnya dan bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.