Oleh Asmat Fikri
28 Mei 2021, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semua pihak semakin menerima hakikat bahawa bidang pendidikan pada hari ini lebih banyak menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berbanding dengan kaedah bersemuka, membuatkan banyak pihak yang semakin matang dalam melakukan penambahbaikan dari segenap segi. Malah, banyak juga pihak termasuk kerajaan sering tampil dengan pelbagai jenis bantuan serta teknik baharu bagi membantu guru, pelajar dan ibu bapa, dalam usaha memastikan PdPR berjalan dengan baik dan berkesan.

Jika dahulu, perkara utama yang sering dikatakan menjadi kekangan ialah keadaan ekonomi pelajar kerana tidak semua ibu bapa mampu menyediakan peranti untuk digunakan oleh anak-anak mereka dalam menjalani kaedah PdPR sehinggakan banyak ibu bapa yang merungut apabila anak mereka banyak tercicir dalam pembelajaran. Namun begitu, pada tahun ini, kerajaan telah mengambil inisiatif bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan ini dengan cara memperkenalkan Program Jaringan Prihatin di bawah Belanjawan 2021 untuk 8.4 juta orang penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih. Program yang bernilai RM3.5 bilion ini ialah pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021 dan bertujuan untuk membina bakat dan kemahiran digital, seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Selain itu, guru-guru juga telah disediakan platform pengajaran yang boleh dicapai secara percuma oleh kesemua pelajar sama ada daripada golongan tinggi, sederhana atau rendah, iaitu melalui saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah memulakan siaran pertamanya pada 17 Februari lalu. Saluran tersebut menyiarkan program yang diterbitkan khusus berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

Malah, banyak lagi inisiatif lain yang telah diperkenalkan oleh pihak KPM dalam memperkasakan PdPR pada kali ini. Usaha para guru berhempas pulas dalam memastikan setiap anak didik mendapat pendidikan yang setara patut diberikan pujian. Tambahan lagi, guru juga dilihat semakin kreatif dalam menyediakan bahan bantuan mengajar (BBM) dengan mengambil peluang atas kepelbagaian teknologi seperti melalui platform YouTube, TikTok, Facebook, Canva dan sebagainya.

Pelbagai usaha boleh dilakukan oleh guru dalam memperkasakan PdPR termasuk dengan menggunakan kemahiran sendiri yang tidak merumitkan. Biarlah setiap bahan atau video yang digunakan oleh guru itu ringkas, tetapi padat dengan ilmu. Jika ada guru yang mudah terikut-ikut dengan cara guru lain mengajar seperti menggunakan video yang kreatif, tetapi jika tiada kemahiran, hal itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan bahkan memakan masa. Oleh itu, gunakan bahan yang ada tidak kira daripada buku teks atau buku latihan dan masukkan dalam video atau slaid. Jangan terikut-ikut dengan orang lain sehinggakan banyak perkara tertangguh. Lebih teruk lagi apabila perkara tersebut menyebabkan guru  mengalami tekanan.

Para guru juga boleh memfokuskan kepada aktiviti berbanding dengan menelaah buku teks secara pembelajaran satu hala. Guru perlu memikirkan cara yang terbaik bagi memudahkan pelajar untuk mencari maklumat secara kendiri tidak kira menerusi internet, perbincangan dengan ahli keluarga, menerusi bahan yang disediakan atau dengan menggunakan bahan yang sedia ada di rumah. Berikan cara kepada pelajar mengikut tahap mereka. Aktiviti ini boleh membina rasa tanggungjawab dalam pembelajaran kepada murid.

Antara perkara lain yang boleh ditambah baik ialah guru membimbing dan memberikan maklum balas kepada pelajar dengan segera. Jangan sesekali memberikan latihan dan mengumpulkannya sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian baru memberikan penilaian dan maklum balas. Pelajar memerlukan tunjuk ajar secara berterusan daripada guru dan guru seharusnya tidak membiarkan pelajar itu terkontang-kanting dengan tugasan yang tidak difahaminya. Jika tugasan pertama tidak difahami oleh pelajar, pastikan guru memberikan penjelasan sebaik-baik mungkin agar ketidakfahaman tersebut tidak berlarutan pada tugasan serta topik seterusnya. Selain itu, jika guru menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian seperti menggunakan aplikasi seperti Zoom Meeting, guru juga perlu memperlihatkan wajah mereka agar pelajar yang mendengar teruja serta memahami apa-apa yang diajar dengan mimik muka serta ekspresi daripada guru.

Pelajar merupakan antara pihak yang menerima cabaran yang besar dalam menjalani sesi PdPR.

Memastikan pelajar mendapatkan pendidikan yang sempurna ketika berada di rumah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberikan kerjasama yang baik terhadap guru bagi memastikan anaknya mengikuti kelas dengan baik mengikut jadual yang telah ditetapkan. Janganlah pula kali ini tular lagi kisah guru mengajar secara dalam talian bersendirian tanpa kehadiran murid.

Pihak kementerian juga perlulah mengurangkan bebanan tugas guru dari segi pelaporan, kerja perkeranian dan penyelarasan data sekolah yang sepatutnya dilakukan oleh pegawai tadbir di peringkat pejabat pelajaran daerah (PPD), jabatan pelajaran negeri (JPN) dan KPM supaya guru boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada kemenjadian murid. Selain itu, pihak berwajib juga perlu membangunkan aplikasi yang mudah dan mesra pengguna untuk tujuan pelaporan PdPR.

Bimbingan dan panduan yang cukup tentang pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian kepada guru juga perlu disediakan. Suasana serba baharu PdPR memerlukan kepada pedagogi dan pendekatan baharu buat para guru yang begitu dinamik dan giat dibangunkan oleh pakar, terutamanya di negara maju yang terkenal dengan kualiti pendidikan mereka yang lebih terkedepan. Hal ini sekali gus menjadikan norma baharu pendidikan negara yang akan berlanjutan dan entah bila akan berakhir ini suatu perkara yang penting dalam membina watak manusia yang dahagakan ilmu demi kelangsungan hidup, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha mengembangkan potensi individu secara seimbang untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan dalam mencapai kesejahteraan diri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.