28 Mei 2021, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setelah berlangsungnya pertempuran ganas selama hampir 11 hari, akhirnya gencatan senjata diumumkan pada 21 Mei 2021 bagi meleraikan pertempuran antara Israel dengan Palestin. Menurut rangkaian al-Jazeera, serangan Israel terhadap Gaza mengorbankan sebanyak 232 orang penduduk Palestin termasuk 65 orang kanak-kanak, mencederakan lebih 1900 orang manakala 120 ribu penduduk kehilangan tempat tinggal. Bagi pihak Israel pula, dilaporkan terdapat lebih kurang 12 nyawa terkorban meliputi sembilan orang warga Israel, seorang warga India serta dua orang warga Thailand.

Laporan media antarabangsa seperti BBC dan Reuters menyatakan bahawa pertempuran ini merupakan rentetan keganasan yang melibatkan sekumpulan anggota polis Israel yang mengganggu jemaah di Masjid al-Aqsa ketika mereka menunaikan Solat Sunat Tarawih untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan. Selain itu, pertempuran ini juga tercetus setelah peneroka haram Yahudi ekstremis bersorak dengan slogan kematian dan peristiwa pengusiran bangsa Arab dalam suatu perarakan besar di kota suci umat Islam pada penghujung bulan Ramadan lalu.

Malah, punca paling besar berlakunya pertempuran ini ialah pengusiran enam buah keluarga rakyat Palestin yang menetap sejak sekian lama di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur yang melambangkan suatu penganiayaan, penindasan dan pencabulan hak rakyat Palestin yang telah lama menetap di tanah air mereka sendiri. Bayangkan sekiranya kita sekeluarga tinggal di rumah sendiri dan memiliki geran secara sah, tiba-tiba diusir tanpa sebab munasabah oleh pihak tertentu, apakah perasaan kita?

Pengusiran keluarga Palestin ini bukan baru berlaku pada Ramadan yang lepas tetapi telah terjadi sejak bertahun-tahun lamanya. Menurut laporan Pusat Maklumat Israel untuk Hak Asasi Manusia di Wilayah Pendudukan Israel, B’Tselem, sebanyak 4170 buah rumah rakyat Palestin dirobohkan semenjak kebangkitan Intifada pada tahun 2000. Menurut badan tersebut juga, dasar perobohan rumah secara skala besar ini bermula dari awal penjajahan Israel pada tahun 1967. Justeru, tindakan peneroka haram Israel yang mengusir rakyat Gaza di kejiranan Sheikh Jarrah tersebut seolah-olah menggosok garam di luka baru. Sudah pasti pengusiran tersebut menggambarkan cubaan pembersihan etnik seperti peristiwa Nakbah.

Pemimpin Barat yang menyokong Israel seperti Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa serangan udara yang dilancarkan terhadap Gaza sehingga mengorbankan nyawa kanak-kanak dan orang tua termasuklah infrastruktur dan kemudahan rakyat Palestin adalah satu hak Israel yang sah untuk “mempertahankan diri”. Masyarakat dunia digambarkan seolah-olah hak mempertahankan diri ini menghalalkan dan membolehkan penjajahan pada era milenium atas dasar agama dan perkauman ke atas penduduk asal sesuatu tanah air.

Di samping tu, hak mempertahankan diri ini digunakan bagi membolehkan kerakusan Zionis Israel merampas dan menceroboh tanah milik penduduk asal di sebuah negara yang diiktiraf oleh negara Islam yang lain. Maruah rakyat Palestin diperlakukan dengan lebih hina daripada binatang apabila Zionis Israel boleh secara suka hati memukul, mencederakan, serta membunuh insan yang tidak berdosa sejak dahulu lagi atas nama hak mempertahankan diri.

Inilah bukti bahawa pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengamalkan dasar diplomasi secara aparteid bersenjata. Naratif berkaitan dengan pelan damai sejak 15 tahun lalu melibatkan gencatan senjata dilihat tidak lebih sebagai kosmetik alternatif damai versi Zionis Israel. Kedamaian tidak berlaku apabila Israel tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dengan menempatkan seluruh tentera Israel di dalam negara Palestin. Wujudnya tembok pemisah antara beberapa wilayah Palestin yang didirikan oleh Israel dan dikawal oleh tenteranya. Sekatan dari sudut hak maritim, laluan udara dan darat yang melibatkan sempadan negara Palestin dengan negara jiran oleh Israel juga tidak dilihat sebagai mengharmonikan pelan damai Timur Tengah tersebut.

Rejim Zionis Israel sebenarnya bijak memanipulasikan masyarakat dunia apabila memesongkan istilah keganasan biarpun apabila berlakunya gencatan senjata. Mereka berjaya mempengaruhi pemimpin barat bahawa kemusnahan di Gaza ialah hasil tindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas. Serangan Israel seolah-olah mahu mengajar seluruh rakyat Palestin agar bertanggungjawab atas insiden serangan balas roket Hamas, sedangkan roket yang dilancarkan oleh Hamas jarang-jarang tersasar ke arah rakyat Israel.

Kezaliman Israel terhadap Palestin telah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya.

Menurut badan hak asasi manusia sejagat iaitu Human Rights Watch (HRW), serangan peluru berpandu daripada pesawat dron Israel mampu menuju tepat ke arah sasaran sehingga menyebabkan kematian dan kemusnahan yang luas terhadap lebih dua juta orang awam Palestin di Gaza lantas mengakibatkan krisis kemanusiaan. Penduduk di Gaza telah menjadi mangsa uji kaji peluru berpandu dron Israel sejak tahun 2007 yang membawa kepada penderitaan kemiskinan, trauma dan kadar pengangguran yang tinggi melebihi 50 peratus.

Mana-mana negara yang bersuara menentang serangan Israel terhadap Gaza akan dianggap sebagai menyokong keganasan. Israel berjaya melindungi keganasannya di balik slogan “holocaust” dan menampilkan diri sebagai sebuah negara demokrasi. Slogan “holocaust” dikatakan bermula apabila buku kontroversi yang bertajuk The Jewish Peril: The Protocols of the Elders of Zion yang diterbitkan di London pada tahun 1920 menyatakan bahawa Zionis Yahudi akan memerintah dunia dengan memanipulasi ekonomi, menguasai media serta menyuburkan konflik dan pertikaian agama. Buku tersebut yang merupakan satu daripada buku berkaitan dengan protokol Zionis telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan dikatakan sebagai propaganda Adolf Hitler dan Joseph Goebbles ketika memimpin German sehingga berlakunya peristiwa holocaust (kemusnahan).

Rejim Zionis cuba mendapatkan simpati dunia dengan menyatakan bahawa peristiwa holocaust cuba dihidupkan semula pada era milenium melalui aktiviti keganasan. Sedangkan dalam senyap, negara Zionis tersebut berjaya menjadikan aparteid dan perkauman berfungsi untuk menjamin ketuanan Yahudi sambil menyembunyikan penaklukan terhadap Palestin. Situasi Israel pada hari ini sangatlah tepat dengan kata bidalan Melayu, lempar batu, sembunyi tangan.

Zionis Israel juga bijak bersembunyi di balik slogan antisemetik. Mana-mana pihak yang mengkritik polisi, dasar mahupun pendekatan Israel dalam melebarkan pendudukan di bumi Palestin akan dianggap sebagai antisemetik. Dr. Norman G. Finkelstein dalam bukunya yang bertajuk Beyond Chutzpah: On the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History, menyatakan bahawa Zionis Israel akan berselindung atas nama slogan antisemetik apabila penipuan Zionis Israel secara keterlaluan terserlah, berlakunya kritikan yang sah dari sudut undang-undang terhadap dasar Israel dan kritikan yang melimpah ruah oleh masyarakat dan pemimpin yang dapat diramalkan oleh Zionis terhadap Israel dan Yahudi secara umumnya.

Tidak hairanlah apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang telah membenarkan penyiasatan semula jenayah Israel di Palestin yang didudukinya sejak tahun 2015, pada tahun ini dikecam oleh Benjamin Netanyahu sebagai “antisemitisme halus”. Malaysia juga pernah dilabel mengamalkan sentimen “antisemitisme fanatik” oleh jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon, pada tahun 2019 kerana mengenakan sekatan kemasukan atlet perenang paralimpik Israel ke Malaysia. Begitulah dakyah dan kejayaan Israel dalam memanipulasikan masyarakat dunia.

Tugas kita pada hari ini sangat banyak. Kita perlu mula mencerahkan minda masyarakat dunia bahawa isu di Palestin khususnya di Gaza merupakan isu kemanusiaan dan bukan sekadar isu keagamaan. Wacana dan medan intelektual perlu dipelbagaikan bagi memberikan gambaran yang jelas berkaitan dengan isu serangan Israel dan kebobrokan negara tersebut yang memanipulasikan istilah keganasan.

Selain itu, kita juga perlu membantu dengan menyumbang dana sekadar yang boleh bagi mengurangkan krisis kemanusiaan yang berlanjutan biarpun gencatan senjata telah dipersetujui antara Israel dengan Palestin. Yang paling penting ialah doa yang tidak putus-putus kepada Tuhan Yang Maha Esa agar mengembalikan keamanan di Palestin dan menegakkan keadilan buat mereka yang dizalimi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.