Oleh Salleh Buang
4 Jun 2021, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Media tempatan pada 1 Jun 2021 melaporkan 16 pesawat tentera udara China, iaitu People’s Liberation Army Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia.

Soalnya, apakah benar pesawat udara tersebut masuk ke ruang udara Malaysia? Jika benar, apakah kemasukan pesawat itu berlaku selepas mendapat izin daripada kerajaan kita? Jika izin telah diperoleh, apakah penerbangan pesawat itu mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan negara Malaysia?

Setakat ini, kita masih menanti maklumat yang lebih terperinci daripada sumber rasmi kerajaan Malaysia. Selagi kita belum mendengar penjelasan yang lengkap, lebih wajar untuk kita tidak membuat sebarang spekulasi, agar tidak memburukkan keadaan atau menjejaskan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China.

Mengikut sumber Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat PLAAF tersebut terdiri daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat tersebut dikatakan terbang pada ketinggian 23 000 dan 27 000 kaki dengan kelajuan 290 knots.

Pada hari berikutnya (2 Jun 2021), Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menyatakan akan mengemukakan satu nota bantahan diplomatik kepada kerajaan China berhubung insiden tersebut.  Mengikut laporan media pada hari itu, Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bahawa tindakan 16 pesawat PLAAF itu merupakan satu pencerobohan yang salah kepada ruang udara kita, sekali gus menggugat sovereignty (kedaulatan) Malaysia. Oleh itu, Wisma Putra akan segera memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan berhubung dengan insiden penerbangan itu. Langkah tersebut merupakan satu amalan lazim Wisma Putra sejak dulu lagi.

Pada 2 Jun lalu, Wisma Putra menghantar nota bantahan diplomatik kepada China.

Sebelum itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, membuat satu kenyataan rasmi bahawa TUDM telah memintas 16 pesawat PLAAF yang dikesan menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu.

Kemasukan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM di Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada pukul 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal pada jarak 60 batu nautika antara satu dengan lain.

Mengikut Ackbal lagi, arahan yang diberikan supaya pesawat PLAAF tersebut segera menghubungi kawalan trafik udara di Kota Kinabalu tidak dipatuhi yang menyebabkan TUDM melancarkan pesawat pemintas pada pukul 1.33 tengah hari bagi melakukan identifikasi secara visual.

Hishammuddin menegaskan bahawa walaupun Malaysia ada hubungan yang baik dengan semua negara (termasuk China), negara tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan dan kedaulatan.

Akhbar Washington Post pada 2 Jun 2021 memetik Kedutaan China sebagai berkata bahawa pesawat udara mereka itu melakukan satu penerbangan rutin latihan (routine flight training) dan tidak menyasarkan mana-mana negara untuk dicerobohi. Jurucakap kedutaan itu menegaskan bahawa pesawat PLAAF itu tidak menceroboh ruang udara Malaysia, sebaliknya hanya melaksanakan hak kebebasan overflight di kawasan tersebut.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, mengulangi penafian yang dibuat oleh Kedutaan China di Malaysia, sambil menegaskan bahawa pesawat PLAAF itu terbang di ruang udara perairan selatan Kepulauan Spratly, yang dipanggil Nansha oleh kerajaan China dan dianggap sebagai milik negara itu sepenuhnya. Kepulauan itu  merupakan satu daripada kawasan perairan di mana banyak negara membuat tuntutan bertindih.

Tuntutan Kedaulatan yang Bertindih

Beberapa buah negara, selain China telah membuat tuntutan kedaulatan bertindih ke atas perairan Laut China Selatan di kawasan ini sejak puluhan tahun lalu. Bagi China, tuntutannya diasaskan kepada sejarah. Lima buah negara lain di rantau ini, termasuklah Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga mendakwa mempunyai kedaulatan ke atas kawasan perairan tersebut. Disebabkan China telah membina beberapa pulau jadian di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu untuk dijadikan pos ketenteraan luar mereka, situasi menjadi tegang dan ada kalanya mencemaskan.

Ada dua objektif utama kenapa banyak negara di rantau ini menuntut hak ke atas kawasan itu – pertama, kepentingan ekonomi, dan kedua, keperluan strategik. Kawasan perairan ini kaya dengan khazanah laut seperti ikan, minyak dan gas, serta menjadi kawasan laluan kapal yang paling sibuk di rantau ini.

Dari kaca mata Malaysia, kapal kawalan pantai (coastguard) dan kapal Tentera Laut China telah melakukan pencerobohan di kawasan perairan di Laut China Selatan di kawasan ini sebanyak 89 kali antara tahun 2016 hingga tahun 2019.  Kecewa dengan insiden pencerobohan itu, Malaysia telah menghantar nota bantahan diplomatik kepada China sebanyak enam kali, termasuk pada tahun 2017 setelah China mendakwa South Luconia Shoals ialah  milik mereka.

Mengikut kajian Khalid Zaka (https://www.straight.com/news/khalid-zaka-a-summary-of-south-china-sea-conflict), China menuntut hak ke atas 80 peratus kawasan perairan ini, manakala Vietnam mendakwa Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratley ialah milik mereka sepenuhnya.

Pada tahun 2002,  ASEAN dan China telah menandatangani Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea yang bermatlamat untuk mewujudkan kerangka Kod Perilaku (Conduct of Conduct) bagi tujuan mencari penyelesaian secara damai tentang apa-apa juga pertikaian mengenai Laut China Selatan. Di bawah deklarasi ini, kedua-dua pihak berikrar akan mengamalkan sikap menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan pertikaian dan menjejaskan kestabilan dan keamanan rantau ini (“exercise self-restraint in the conduct of activities that would complicate or escalate disputes and affect peace and stability“).

Dalam bahasa mudah, deklarasi ini menghendaki ASEAN dan China tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara mereka.

Maka itu, penting sekali kita pastikan apakah penerbangan PLAAF tempoh hari merupakan pencerobohan yang bertentangan dengan kehendak deklarasi ini atau pun sebaliknya.

Tuntutan Pelantar Benua

Di bawah undang-undang antarabangsa, setiap pantai negara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Brunei, Filipina, dan China, mempunyai dua hak penting – hak ke atas perairan negara (territorial waters) dan hak ke atas pelantar benua (continental shelf).

Mengikut amalan biasa yang diiktiraf oleh undang-undang, kawasan perairan negara 12 batu nautika, manakala kejauhan pelantar benua bergantung pada bentuk fizikal pelantar itu di bawah permukaan air laut. Jika bentuk pelantar benua itu mendatar, negara boleh mendakwa hak ke atasnya hingga kejauhan maksimum  200 batu nautika. Jika bentuk pelantar benua itu tidak mendatar, tetapi  curam dan tidak jauh dari pantai, maka hak negara ke atasnya tidaklah begitu luas.

Di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982, yang Malaysia ratifikasi pada 14 Oktober 1996, kawasan perairan negara kita ialah sejauh 12 batu nautika. Di luar kawasan itu, kita memiliki Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Dalam kawasan EEZ ini, kita ada hak menjalankan eksplorasi dan eksploitasi, memelihara dan mengurus sumber asli di dasar laut. Kita juga ada bidang kuasa ke atas pulau jadian (artifial islands) yang kita bina di dalam kawasan EEZ ini.

Hingga kini, Malaysia sudah pun meluluskan Territorial Sea Act 2012, Continental Shelf Act 1966,  dan Exclusive Economic Zone Act 1984 untuk memastikan kita berada di landasan yang betul.

Mengikut portal berita https://www.forbes.com, beberapa pulau jadian dalam kawasan Kepulauan Spratly, iaitu Fiery Cross, Subi and Mischief Reefs sudah pun mempunyai landasan kapal terbang masing-masing yang panjang. Selain itu, ada juga dibina hangar yang luas dan besar sehingga mampu menyimpan saiz pesawat yang terbang pada hari itu.

Tambah portal berita itu lagi, kekuatan TUDM kita pada masa ini, iaitu  sekitar 44 pesawat pejuang buatan British, Russia dan Amerika Syarikat amatlah kecil sekali jika dibandingkan dengan 1500 jet pejuang tentera udara China.

Akhbar South China Morning Post mengesahkan bahawa China kini sudah pun membina tujuh pulau jadian di kawasan perairan tersebut yang lengkap dengan landasan kapal terbang di tiga buah pulau. Kedudukan pulau jadian ini sekitar 280 batu nautika dari Luconia Shoals yang ditadbir oleh negara kita.

Memetik https://www.scmp.com/news, portal berita dalam talian itu yang menyatakan bahawa pada hari tersebut, pesawat tentera udara China tidak memasuki ruang udara Malaysia.  Kita tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya.

 

Datuk Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Kini, beliau  konsultan bebas sepenuh masa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.