Oleh Norimanah Seman
4 Jun 2021, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepuluh tahun lalu, Wael Ghonim menggunakan Facebook untuk menggerakkan rakyat sehingga tercetusnya Revolusi 2.0 di Mesir. Wael bukanlah seorang selebriti media sosial ataupun jutawan terkenal dan jauh sekali ahli politik. Dia hanyalah seorang graduan yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan komputer dan kewangan. Pada tahun 2010, Wael berpindah ke Dubai setelah ditawarkan jawatan sebagai Ketua Pemasaran Google bagi Timur Tengah dan Afrika Utara.

Ceritanya bermula pada 8 Jun 2010, apabila dia mendapat kiriman gambar di Facebooknya yang dihubungkan terus kepada akaun rasmi Facebook Dr. Ayman Nour, ahli politik dan bekas calon presiden Mesir. Gambar seorang lelaki dengan wajah dan kepala berlumuran darah terbaring di atas jalan. Bibirnya terkoyak, rahangnya remuk dan gigi hadapannya hilang. Pada ketika melihat gambar itu, Wael mula beranggapan gambar tersebut merupakan gambar mangsa peperangan.  Apabila mengintai masuk ke akaun Dr. Ayman, barulah Wael tahu bahawa lelaki dalam gambar tersebut bernama Khaled Mohamed Said yang dipukul sehingga mati pada 6 Jun 2010 oleh dua orang pegawai polis rahsia Iskandariah, Mesir.

Kes Khaled Mohamed Said menambah rasa kecewa dan tidak puas hati Wael pada rejim Mesir sejak sekian lama. Wael membuka akaun Facebook Kullena Khaled Said (Nama Saya Khaled Said) sekadar untuk memancing kesedaran rakyat Mesir tentang kekejaman, pelanggaran hak asasi dan membawa demokrasi ke Mesir.  Dalam masa tiga hari, Facebook Kullena Khaled Said mampu mengumpulkan seramai 100 ribu orang pengikut. Ketika revolusi berlaku, pengikut Facebook Kullena Khaled Said mencecah 500 ribu. Facebook digunakan sepenuhnya sebagai medium melancarkan peperangan maya, mengajak rakyat turun ke jalanan untuk membantah kekejaman rejim.

Kebetulan pada ketika itu, seluruh dunia sedang kemaruk dengan Facebook, tekan butang “disukai” atau “tidak disukai”, menghitung seberapa banyak tanda disukai yang diperoleh bagi setiap hantaran yang dibuat. Bukan itu sahaja, semua orang suka meluahkan perasaan, menghebohkan ke seluruh dunia bahawa mereka berkuasa serta mampu melakukan apa-apa sahaja dengan Facebook.

Wael tidak menyeru rakyat agar turun ke jalanan untuk berdemonstrasi, apatah lagi melakukan revolusi. Dia hanya menyatakan perspektif keadaan yang berlaku di Mesir. Kesan paparan serta butang “disukai”, “tidak disukai” dan “kongsi” daripada Facebook pada akhirnya menyebabkan rejim Presiden Hosni Mubarak tumbang.

Ada banyak lagi rakyat biasa yang menjadi klon Wael Ghonim di seluruh dunia mencetuskan revolusi dan mengubah sejarah negara masing-masing kerana keberanian, keyakinan serta sifat optimis yang dimiliki. Misalnya, Tunisia ada Neila Chaabane yang memulakan revolusi sehingga jatuhnya Presiden Zine El Abedine Ben Ali setelah 24 tahun memerintah. Manakala di Syria ada Razan Ghazzawi, seorang pemblog, memaparkan pendapatnya melalui Twitter dan Facebook bagi menentang Presiden Bashar Assad. Di Libya, ada Mohammed Nabbous sementara Yaman ada Bushra al-Mugtari. Semua nama yang disebutkan itu bukan ahli politik dan jauh sekali selebriti. Mereka hanyalah rakyat biasa yang menjadi luar biasa sehingga mampu mengubah sejarah.

Semua peristiwa itu memberikan pengajaran agar semua pihak tidak memandang remeh kepada kuasa rakyat. Kuasa rakyat lebih hebat berbanding dengan orang yang memiliki kuasa. Dunia sudah berubah, hero itu bukan terletak di atas bahu individu sepertimana yang dipamerkan oleh Rambo, Superman, Captain America, Spiderman, Batman,  Ant Man, Thor, Iron Man mahupun X-Men. Setiap orang ialah hero dan berjuang dengan caranya tersendiri.

Kuasa rakyat dan solidariti paling hebat yang pernah terjadi sepanjang abad ini adalah pada ketika Gaza diserang Israel baru-baru ini. Ketika umat Islam di seluruh dunia sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, penduduk Gaza tidak berhenti-henti dibedil dengan peluru Israel. Seperti biasa, Israel memberikan alasan untuk mempertahankan diri. Israel menjadikan serangan ke atas Gaza pada bulan Ramadan sebagai tradisi tahunan yang pernah gagal dilaksanakan.

Namun begitu, serangan pada Ramadan kali ini dilihat paling dahsyat mungkin disebabkan paparan berita secara langsung dari Gaza menerusi media sosial yang dipancarkan ke seluruh dunia. Pada awal-awal konflik tersebut, semua peristiwa yang berlaku di Gaza boleh diakses menerusi Facebook, Intagram, Twitter dan media sosial yang lain tanpa sekatan. Apabila seluruh dunia mula mengetahui kekejaman yang dilakukan oleh Israel, laman sosial tersebut mula menyekat akaun yang lantang menyuarakan bantahan terhadap Israel. Warga siber membalas sekatan itu dengan kempen satu bintang untuk aplikasi media sosial tersebut. Kempen itu berjaya, kadar bintang yang tinggi tiba-tiba turun secara mendadak menjadi 2.4 bintang sahaja.

Perang Palestin-Israel pada kali ini merupakan perang yang luar biasa. Bukan tentera al-Qassam sahaja yang menghantar roket membedil Israel malah peluru berpandu maya turut dihantar. “Tentera Bawang Malaysia” dan “Jabatan Warga Siber Negara” tidak berhenti-henti membedil akaun media sosial rakyat dan pemimpin Israel. Muncul tanda pagar “koyak Israel” dan “Israel koyak”. Sebenarnya, banyak lagi tanda pagar yang mengecam Israel tetapi yang paling menarik ialah “Israel koyak”. Tidak diketahui siapa yang memulakannya, namun yang pasti perkataan “koyak” popular di seluruh dunia paling banyak dicari maknanya pada ketika itu.

Kempen psikologi terbalik dilancarkan daripada tanda pagar yang menyatakan sokongan kepada Palestin dan menentang Israel (seperti #savegaza, #gazaunderattack, #savesheikhjarah dan #freepalestine) kepada tanda pagar menyokong Israel (seperti #visitisrael, #israelunderattack, #israelfirls, #israelfood dan #israeldefenseforce) untuk mengelakkan akaun disekat. Strategi itu berjaya dan maklumat terus disampaikan ke seluruh dunia tanpa dapat dikesan buat sementara waktu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kejayaan mempertahankan Gaza dan al-Aqsa dalam peperangan kali ini merupakan hasil perjuangan rakyat menerusi media sosial. Jika dahulu, mata dunia dikaburi dengan laporan media antarabangsa yang bias tapi kini tidak lagi. Media antarabangsa yang selama ini menyokong Israel mula akur pada kehebatan wartawan warga Gaza dalam menyampaikan ketelusan berita. Platform media sosial menyatukan masyarakat dunia tanpa mengira agama dan bangsa dalam usaha menentang kekejaman Israel. Demonstrasi jalanan secara aman berlaku di seluruh dunia bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat (AS) supaya bertindak.

Warga dunia bersatu dalam menentang kezaliman Israel ke atas Palestin.

Peperangan kali ini juga telah menyatukan penggodam terhebat dunia untuk menyerang laman web penting Israel. Kempen #op-Israel dimulakan oleh kumpulan penggodam hebat yang berpangkalan di AS sebagai tanda protes kekejaman Israel sejak tahun 2011 dan semakin aktif pada tahun 2018 hingga sekarang. Kerja mereka adalah dengan menyerang laman web penting Israel dengan matlamat untuk lenyapkannya dari dunia. Penggodam Malaysia adalah antara yang aktif dan ketiga terhebat dalam #op-Israel.

Kemuncak segala kemarahan masyarakat dunia dan membawa kepada kekalahan Israel adalah apabila serangan udara Israel memusnahkan bangunan media antarabangsa yang menempatkan al-Jazeera dan agensi The Associated Press. Hal itu bermakna Israel tidak melindungi keselamatan dan kebebasan wartawan untuk menjalankan tugasannya.   Serangan itu adalah sebagai amaran untuk mendiamkan media yang melihat, melaporkan dan merakamkan kebenaran. Serangan ke atas bangunan media antarabangsa itu memberikan sudut pandangan terbaik kepada dunia betapa kejamnya Israel terhadap manusia.

Pada 20 Mei lalu, gencatan senjata dipersetujui Israel tanpa syarat. Namun demikian, perjuangan masih belum berakhir kerana penduduk Palestin masih lagi dizalimi, kanak-kanak ditangkap dan jemaah di Masjid al-Aqsa diserbu. Sekali lagi tanda pagar diubah pada kali ini bagi menarik perhatian rakyat AS untuk mendesak senator dan ahli kongres agar bertindak serta menyekat bajet sokongan terhadap Israel. Pada kali ini, media sosial dibanjiri dengan tanda pagar #washingtondc, #america,  #usa, #freepalestine, #texas, #bluewave, #diversity, #love, #campaign, #hope, #unitedstatesofamerica, #washingtonmonument, #newcongress, #ilhanomar, #capitolhill, #republicans, #equality, #ushouseofrepresentatives, #whitehouse dan #freedom. Ini ialah strategi jangka panjang perjuangan jihad media sosial rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.