11 Jun 2021, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Darurat yang diproklamasikan pada 11 Januari 2021 pada hakikatnya tidak menggantung sidang parlimen. Menurut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah memanggil parlimen bersidang dan tidak membiarkan enam bulan berlalu –  antara persidangan akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat pertamanya dalam penggal berikutnya.  Jika tarikh bagi proses di atas ingin ditangguhkan, maka suatu ordinan bermaksud sedemikian perlulah dimasyhurkan oleh YDPA.

Dalam konteks di atas, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 di bawah Seksyen 12 hanya menggantung had tempoh untuk parlimen dipanggil kembali bersidang. Persidangan parlimen boleh dipanggil pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA. Oleh kerana belum ada ordinan digubal untuk menggantung Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, maka Baginda masih perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri. Perkara 40(1) berbunyi, “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini”. Maka itu, parlimen masih boleh dipanggil bersidang dalam tempoh darurat mengikut peruntukan perlembagaan yang sedia ada, malah tiada peruntukan ordinan yang sedang berkuat kuasa menghalang parlimen daripada dibubarkan.

Tidak dinafikan apabila ketua parti dipanggil menghadap YDPA, baginda boleh meneliti setiap pandangan para pemimpin politik serta bertukar-tukar pandangan dalam banyak isu penting yang menjadi perhatian rakyat. Majlis itu juga boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua belah pihak bagi pelbagai maksud. Pertama, sebagai forum untuk menyampaikan kegelisahan dan pandangan rakyat khususnya sejak parlimen tidak bersidang mengikut jadual yang sepatutnya. Kedua, Baginda boleh menilai sendiri cadangan para pemimpin di luar daripada kerajaan tentang teguran dan rasa tidak puas hati terhadap polisi dan pelaksanaan dasar kerajaan. Ketiga, Baginda boleh menimbang cadangan para memimpin politik tentang langkah yang perlu untuk menangani penularan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Keempat, Baginda boleh mendapatkan respons tentang penubuhan Jemaah Menteri darurat yang dicadangkan oleh beberapa pihak. Kelima, YDPA boleh mendapatkan pandangan tentang tuntutan sebahagian rakyat mahupun Baginda bertindak tanpa nasihat Jemaah Menteri untuk memanggil sidang parlimen.

Tidak dinafikan juga bahawa perbahasan paling hangat ketika rencana ini ditulis adalah cadangan penubuhan Jemaah Menteri darurat. Hal ini disebut sebagai Jemaah Menteri darurat kerana keabsahannya bergantung pada sumber kuasa daripada ordinan darurat. Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri tidak sesuai dikategorikan sebagai Jemaah Menteri darurat kerana keabsahannya masih dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang tidak memerlukan sumber kuasa ordinan. Maka itu, kebarangkalian Jemaah Menteri darurat berlaku jika tempoh darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021 masih menjadi teka-teki. Jika diikuti perbahasan banyak pihak, terdapat tiga bentuk Jemaah Menteri darurat yang dicadangkan. Pertama, terdiri daripada semua pemimpin parti politik; kedua, terdiri daripada sejumlah ahli parlimen yang mewakili semua parti politik; dan ketiga, sebuah jawatankuasa seperti MAGERAN. Kesemua bentuk di atas bermatlamat untuk menggantikan fungsi Jemaah Menteri yang sedia ada dan ditubuhkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, daripada ketiga-tiga cadangan di atas, hanya cadangan kedua yang boleh berlaku tanpa ordinan darurat sekiranya keanggotaan sedemikian dilantik oleh YDPA mengikut nasihat Perdana Menteri atau setelah parlimen dibubarkan. Sementara itu, bentuk pertama dan ketiga memerlukan ordinan darurat kerana keanggotaan Jemaah Menteri darurat itu bercanggah dengan peruntukan Perkara 43 dan Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan ahli Jemaah Menteri selain Perdana Menteri adalah mengikut nasihat Perdana Menteri, begitu juga dengan syarat pelantikan ahli Jemaah Menteri hendaklah dalam kalangan ahli parlimen. Selagi peruntukan tersebut tidak dipinda melalui ordinan, atau pindaan perlembagaan di bawah Perkara 159, YDPA tidak boleh menentukan sendiri ahli Jemaah Menteri mengikut budi bicara Baginda. Dalam keadaan sekarang, untuk membolehkan fungsi Jemaah Menteri dilaksanakan, ordinan boleh digubal setelah tujuan darurat pada hari ini diperluaskan melalui proklamasi baharu oleh YDPA.

Mana-mana bentuk Jemaah Menteri yang dicadangkan di atas, tidak semestinya hanya berlaku dengan pertukaran Perdana Menteri yang ada pada hari ini. Seperti yang dijelaskan, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin  boleh sahaja merombak Jemaah Menteri yang sedia ada untuk menerima usul yang pernah dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bahkan jika disoroti suatu ketika dahulu, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan uniti, namun begitu komposisinya tidaklah seluas Jemaah Menteri darurat yang dicadangkan di atas. Apa-apa pun yang mungkin berlaku, bentuk Jemaah Menteri darurat yang kedua itu memerlukan kehendak politik Tan Sri Muhyiddin. Pada sisi yang lain, hal itu  boleh dicapai selepas YDPA membubarkan parlimen jika ternyata Tan Sri Muhyiddin kehilangan undi percaya.

Sepanjang tempoh darurat ini, YDPA boleh menggubal ordinan di bawah Perkara 150(2B) tanpa membentangkannya terlebih dahulu di parlimen. Hal ini juga bermakna bahawa Baginda boleh bertindak sedemikian tanpa terikat dengan nasihat eksekutif atau Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, ordinan itu hendaklah tersyarat bagi mencapai maksud darurat yang diisytiharkan mengikut budi bicara Baginda di bawah Perkara 150. Prinsip di atas mudah difahami kerana proklamasi dan ordinan yang diisytiharkan oleh YDPA akan dibentangkan sebaik-baik sahaja parlimen bersidang. Kedua-duanya tertakluk kepada resolusi yang diluluskan kemudiannya oleh kedua-dua majlis parlimen. Oleh itu, parlimen perlu dipanggil bersidang untuk menimbangkan proklamasi dan ordinan darurat yang dibuat oleh YDPA, tanpa menjejaskan kuasa budi bicara Baginda untuk mengeluarkan proklamasi dan memasyhurkan apa-apa ordinan baharu di bawah Fasal (2B).

Dalam situasi di atas, YDPA tidak semudah-mudahnya melaksanakan budi bicara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 150. Sudah pasti sebarang tindakan yang bakal diambil akan diperhalusi dan mengikut amalannya, iaitu Baginda akan berunding dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.  Itulah amalan yang menepati semangat prinsip kedaulatan raja dan keluhuran perlembagaan persekutuan.

 Pada hakikatnya, YDPA dalam tempoh darurat mempunyai kuasa di luar amalan biasa, namun begitu kuasa sedemikian hanya boleh diwujudkan melalui proklamasi dan ordinan serta boleh disemak melalui resolusi majlis parlimen. Syarat tersebut penting bagi maksud tadbir urus yang baik. Jika dilihat punca sebenar polemik pada hari ini, maka disarankan agar parlimen dipanggil bersidang kembali agar semua pihak dapat bersama-sama menjaga amanah yang diberikan.

 

Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

ialah Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik,

Universiti Malaysia Pahang

(ITKAS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.