14 Jun 2021, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada tanggal 10 Jun 2021 mencatatkan sejarah baharu dalam sistem pendidikan negara apabila pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.06 berbanding pada tahun 2019, dengan nilai 4.80 berbanding dengan 4.86 pada tahun 2019. Hal ini pastinya menjadi sesuatu yang ajaib dalam keadaan negara berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyebabkan institusi pendidikan seperti sekolah, makmal, kolej, pusat pengajian dan universiti ditutup.

Dalam memastikan usaha penyebaran ilmu bersifat lestari, praktikal dan fleksibel, kerajaan telah menukar haluan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kepada budaya digitalisasi sistem pendidikan yang dikenali sebagai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Calon peperiksaan awam seperti SPM juga tidak terkecuali daripada menerima tempias akibat situasi di luar kawalan ini. Impaknya, amalan digitalisasi yang mula dipraktikkan ini secara tidak langsung telah membawa kesan positif terhadap gaya belajar dan budaya berfikir calon SPM ini.

Proses pemindaan ilmu dan kemahiran digitalisasi dalam kalangan murid ini memerlukan penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Perlu difahami bahawa maklumat atau informasi (bersifat tersurat) yang diterima tidak lagi dibuat secara bersemuka sebaliknya memerlukan kemampuan kognitif untuk memperoleh pengetahuan, memahami, mengaplikasi dan kemudiannya maklumat tersebut perlu dianalisis, disintesiskan dan pada akhirnya mencapai aras penciptaan maklumat atau output baharu (bersifat tersirat).

Proses PdPR yang dilaksanakan di seluruh Malaysia secara dalam talian memerlukan keupayaan calon SPM untuk berfikir secara berterusan menerusi pengawalan tenaga dalam minda bagi memastikan mereka dapat belajar dan mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran secara dalam talian dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana calon SPM akan berfikir untuk membina pemahaman tentang perkara yang berlaku dalam minda dan mencari jawapan penyelesaian atau mengambil sesuatu keputusan atau tindakan semasa menduduki peperiksaan SPM tahun 2020. Buktinya, calon SPM ini didapati berupaya menjawab soalan KBAT (kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta) yang disisipkan dalam kertas peperiksaan SPM tahun 2020 sebagaimana yang dipaparkan oleh Rajah 1.

Rajah 1 Peratusan soalan KBAT yang disisipkan ke dalam kertas peperiksaan SPM tahun 2020.

Perkataan fikir (think) telah diimbuhkan bagi melahirkan istilah seperti berfikir, memikir, terfikir, pemikir atau pemikiran, yang disesuaikan penggunaannya mengikut konteks ayat yang digunakan. Pemikiran difahami sebagai konsep penerimaan umum bagi satu kesepaduan idea dalam kehidupan di samping menyenaraikan kandungan pemikiran yang terdiri daripada empat kategori, iaitu pemikiran yang mempunyai bentuk yang nyata; pemikiran simbolik yang didasari makna sesuatu perkara; pemikiran semantik yang melibatkan makna perkataan; dan pemikiran tingkah laku yang tidak melibatkan lisan sebaliknya berdasarkan maklumat bahasa badan atau perbuatan seseorang.

Dalam konteks peperiksaan SPM ini, KBAT merujuk proses pencarian makna dalam minda calon dengan mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai, serta berdaya kreatif bagi mencerna idea, membuat penaakulan, menimbangkan keputusan, mencari penyelesaian masalah, membuat refleksi, berinovasi dan mampu mereka cipta. Penguasaan KBAT calon SPM dilihat terjelma apabila mereka mampu mendapatkan maklumat baharu, menyimpan dalam memori dan menyusun, mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada, dan menjana maklumat untuk mencapai sesuatu tujuan atau menyelesaikan situasi rumit yang dikemukakan menerusi soalan dalam kertas peperiksaan.

Usaha menyuburkan budaya kecemerlangan ilmu menerusi penerapan KBAT juga membuahkan hasil apabila Laporan Analisis Keputusan SPM Tahun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menunjukkan adanya peningkatan dalam kualiti jawapan calon SPM tahun 2020. Tahap minimum penguasaan KBAT murid ini telah dikategorikan kepada sangat rendah, rendah, sederhana dan tinggi. Secara keseluruhannya, 88.17 peratus calon SPM tahun 2020 telah menguasai tahap minimum KBAT berbanding pada tahun 2019 dengan nilaian 86.70 peratus. Calon SPM ini diandaikan sebagai individu yang hebat menguasai KBAT kerana berupaya menginterprestasi, menganalisis dan memanipulasikan maklumat yang diperoleh ketika melengkapkan jawapan bagi soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan SPM.  Calon SPM tahun 2020 juga didapati berupaya untuk mempelajari dan menguasai kemahiran berfikir yang asas (kemahiran mencirikan, membanding dan membeza, serta mengumpul dan mengelas) sebelum mempelajari kemahiran berfikir yang lebih kompleks iaitu KBAT. Rajah 2 pula menunjukkan pengkategorian bagi statistik kualiti jawapan murid dalam soalan KBAT.

Rajah 2 Pengkategorian bagi kualiti jawapan murid dalam soalan KBAT.

Peningkatan penguasaan KBAT bagi calon SPM tahun 2020 ini dilihat amat sejajar dengan pengaplikasian Taksonomi Pembelajaran Domain Kognitif Bloom Baharu (Anderson et al., 2001) dan Model Kemahiran Berfikir Pusat Perkembangan Kurikulum KPM (2002) yang dijadikan sebagai landasan pengukuran kebolehan kognitif dan kemahiran berfikir murid. Taksonomi Pembelajaran Domain Kognitif Bloom Baharu ini memberikan perhatian pada usaha menjadikan kemahiran berfikir sebagai kemahiran seseorang pelajar menggunakan otak (domain kognitif) dan hati (domain afektif) sebagai landasan kepada keyakinan atau tindakan. Taksonomi ini dibahagikan kepada dua dimensi iaitu (i) dimensi pengetahuan dan (ii) dimensi proses kognitif. Dimensi pengetahuan memberikan penekanan kepada empat bahagian iaitu fakta, konseptual, kaedah dan metakognitif (Pickard, 2007; Cochran, Conklin & Modin, 2007). Dimensi pengetahuan didapati bermula dengan pengetahuan fakta, konsep, prosedur dan metakognitif. Kesemua pengetahuan ini perlu dimulakan dengan pengetahuan secara konkrit dan kemudiannya ditukarkan menjadi pengetahuan abstrak. Dimensi proses kognitif pula merujuk proses kognitif yang terhasil akibat gabungan aras sintesis, analisis atau penilaian, dan ditambah bersama aspek mencipta selepas aras penilaian.

Model Kemahiran Berfikir Pusat Perkembangan Kurikulum KPM (2002) pula terdiri daripada empat domain utama iaitu (i) kemahiran berfikir kritis;  (ii) kemahiran berfikir kreatif; (ii) strategi berfikir; dan (iv) kemahiran berfikir menaakul (Zaini Mahbar, Juriah Long & Zarin Ismail, 2013). Domain kemahiran berfikir kritis dibangunkan untuk seseorang individu menilai kerelevanan sesuatu idea. Domain ini pastinya memberikan peluang kepada calon SPM untuk menghadirkan pengalaman yang mengasah kemampuan membuat kritikan atau membuat sintesis terhadap isu yang dikemukakan dalam peperiksan SPM. Seterusnya, domain kemahiran berfikir kreatif bertujuan untuk seseorang individu mencerna dan menghasilkan idea baharu yang asli. Domain ini amat penting kerana membenarkan calon SPM menggunakan pemikiran kreatif untuk melengkapkan jawapan dalam kertas peperiksaan. Selanjutnya, domain strategi berfikir merupakan proses berfikir peringkat tinggi dan prosedurnya pula menggabungkan pelbagai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Domain kemahiran menaakul pula bertujuan membantu seseorang calon SPM membuat pertimbangan secara logik dan rasional semasa menggunakan kemahiran berfikir dan strategi berfikir dalam peperiksaan SPM.

Namun begitu, adalah penting untuk difahami bahawa peningkatan prestasi calon SPM tahun 2020 merupakan titik tolak kepada kejayaan pelbagai usaha yang dilakukan oleh para pendidik, penyelidik, pemegang taruh dan disokong oleh pemantapan dasar, polisi dan sumber terbuka dalam talian bagi mencambahkan minat terhadap keupayaan berfikir secara KBAT. Lonjakan kecemerlangan ilmu dan pembudayaan KBAT di Malaysia perlu mengambi kira enam inisiatif utama yang dilakukan oleh para guru dan pentadbir di sekolah, iaitu (i) meneliti keperluan dan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)  berasaskan KBAT; (ii) merancang PdPc atau PdPR dengan menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang mengandungi objektif pembelajaran dan aktiviti yang menggunakan KBAT dan penyediaan bahan bantu mengajar yang menggalakkan KBAT; (iii) melaksanakan PdPc atau PdPR KBAT dengan menggunakan alat berfikir yang sesuai dan teknik penyoalan yang berkesan di samping mewujudkan persekitaran yang menggalakkan murid berfikir; (iv) menaksir penguasaan KBAT murid dengan menyediakan soalan berasaskan KBAT dalam pentaksiran; dan (v) membuat refleksi tentang keberkesanan PdPc atau PdPR dalam menggalakkan amalan berfikir dengan menggunakan KBAT.

KBAT merupakan suatu wadah baharu yang perlu disuburkan secara berterusan dalam sistem pendidikan dan berupaya menjadi tunggak utama kemajuan sesebuah peradaban sesebuah tamadun bangsa dan negara. Kecemerlangan SPM tahun 2020 merupakan kejayaan calon SPM, para guru yang bertungkus lumus mengajar dalam norma baharu dan kebiasaan baharu, pentadbir sekolah, sokongan berterusan daripada ibu bapa, penyelidik, mahupun KPM untuk berganding bahu dan mencari penyelesaian alternatif untuk melestarikan proses pendidikan dan pengembangan ilmu walaupun dunia pendidikan kini berada dalam situasi penularan pandemik. Pembudayaan KBAT ini pastinya kelak akan melahirkan melahirkan golongan pemikir yang progresif, dinamik dan berdaya saing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.