Oleh Fadhli Ali
20 Jun 2021, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pengambilan khas guru diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, mengumumkan khabar gembira apabila  kerajaan bersetuju membuat pengambilan khas guru secara sekali beri (one-off) sebagai penyelesaian kepada isu kekurangan guru yang berlarutan sejak sekian lama. Menerusi sidang medianya yang diadakan secara dalam talian pada pagi tadi, Dr. Radzi menjelaskan bahawa pengambilan khas tersebut merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu yang bertanggungjawab membuat kelulusan khas pengisian jawatan; dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang bertindak sebagai pihak berkuasa melantik dalam perkhidmatan pelajaran.

Ternyata pengumuman Menteri Pendidikan itu turut mendapat perhatian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang menganggapnya sebagai pengumuman yang membawa makna yang cukup besar kepada warga pendidik di seluruh negara. Menurut Presiden NUTP, Aminuddin Awang, pengumuman tersebut memberikan sinar baharu kepada dunia pendidikan negara dan kelegaan kepada warga pendidik apabila masalah terbesar dalam pendidikan itu akhirnya akan dapat diselesaikan.

“Dalam keadaan pandemik yang masih melanda negara dan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan, kita amat bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan. Sememangnya, inilah yang dinanti-nantikan oleh semua warga pendidik. Pengumuman ini cukup bermakna untuk kita,” ujar Aminuddin kepada Dewan Masyarakat.

Oleh itu, tambah Aminuddin, bakal guru yang berjaya menjawat jawatan ini kelak perlu memberikan komitmen yang tinggi dan menggalas tugas ini dengan membuktikan kepada negara bahawa peluang yang diberikan oleh kerajaan ini tidak akan disia-siakan.

  “Mereka perlu membuktikan bahawa meskipun tempoh pengambilan mereka agak singkat, iaitu pada Julai 2021 dan penempatan mereka akan bermula Oktober 2021, namun mereka layak untuk bergelar pendidik. Kita tidak mahu ada yang mempertikaikan kualiti dan kebolehan mereka pada masa akan datang. Maka itu, mereka perlu ada minat yang mendalam dan usaha yang berterusan untuk beradaptasi dengan dunia pendidikan yang semakin mencabar, khususnya kebiasaan baharu dan mengasah kebolehan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).  Ingatlah, peluang emas sebegini tidak pernah ditawarkan oleh kerajaan, maka gunakanlah dengan sebaik-baiknya kerana seorang pendidik tugasnya adalah untuk melakar masa hadapan sesebuah negara, jadi tanggungjawab itu perlu ditunaikan dengan sebaik-baiknya,” jelas Aminuddin.

Sabah dan Sarawak antara negeri dengan jumlah kekosongan guru tertinggi.

 Selain itu, Aminuddin turut mengingatkan calon guru agar bersedia untuk ditempatkan di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila KPM mengumumkan kekurangan guru tertinggi mengikut negeri, maka calon perlu menyedari bahawa KPM telah mengkaji perkara tersebut secara terperinci dan mempunyai data yang tepat tentang kekurangan guru yang melibatkan empat negeri utama, iaitu Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Apabila mereka terpilih menjadi guru kelak dan ditempatkan di luar bandar, mereka perlu berlapang dada untuk menerimanya. Mereka perlu meletakkan tanggungjawab mendidik anak bangsa itu pada kedudukan yang tertinggi dengan sanggup berkhidmat di mana-mana kawasan yang telah ditetapkan,” ujar Aminuddin.

Lebih menarik lagi, Aminuddin percaya bahawa pengumuman kerajaan ini bukan sahaja akan menyelesaikan isu kekurangan guru, malah lebih penting dapat mengatasi masalah ketidakpadanan opsyen mata pelajaran yang dialami oleh guru sejak sekian lama. Oleh itu, apabila sebanyak 18 702 orang guru mengisi kekosongan sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk & Teknologi –  sekolah menengah. Begitu juga dengan guru sekolah rendah yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat & Komunikasi, maka NUTP percaya bebanan guru pasti akan dapat dikurangkan dan kualiti guru serta kemenjadian murid akan mampu dicapai selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Berikut merupakan tujuh perkara penting yang diperincikan oleh Dr. Radzi  dalam sidang medianya:

  1. Sebanyak 18 702 calon guru diperlukan.
  2. Jawatan yang ditawarkan ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.
  3. Kekosongan tertinggi mengikut negeri – Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
  4. Calon guru sekolah rendah yang diperlukan mengikut mata pelajaran – Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, dan Teknologi Maklumat & Komunikasi.
  5. Calon guru sekolah menengah yang diperlukan mengikut mata pelajaran – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, dan Reka Bentuk & Teknologi.
  6. Iklan pengambilan akan dikeluarkan pada 7 Julai 2021.
  7. Penempatan akan dibuat secara berperingkat mulai Oktober 2021.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi