Oleh Naimah Yusof
22 Jun 2021, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Bagi meneruskan pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat, sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan budaya integriti yang dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) diteruskan lagi. ACeIO yang ditubuhkan pada 23 Oktober 2013 berperanan sebagai rangkaian kerjasama antara Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang mempunyai kepakaran dalam pencegahan rasuah serta pengurusan integriti di sektor awam dan swasta.

Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Selangor, Ali Suhaili.

Sesi perkongsian pada kali ini, menampilkan Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Selangor, Ali Suhaili, yang sudi berkongsi pengalaman peribadi beliau dalam mengurus integriti. Perkongsian yang diadakan secara dalam talian menerusi pelantar IM ACeIO (Integrity Moments ACeIO) telah menarik minat ahli persatuan dan warga siber untuk berkongsi maklumat yang disampaikan menerusi media sosial lain.

Setiausaha ACeIO, Mohd Nasrul Ekram.

Menurut Setiausaha ACeIO, Mohd Nasrul Ekram, IM ACeIO dibangunkan oleh ACeIO dengan tujuan untuk menyediakan pelantar kepada ahli supaya mereka dapat berkongsi pengalaman secara langsung berhubung dengan amalan terbaik dalam pengurusan integriti. Selain itu, pelantar ini juga satu daripada usaha persatuan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama sesama ahli bagi membudayakan integriti secara berterusan.

Syarifah Faiqah, mahasiswa UiTM.

Sesi perkongsian ini turut dihadiri oleh Syarifah Faiqah yang merupakan seorang mahasiswa dari UiTM. Beliau menzahirkan rasa teruja dan sangat bersyukur kerana dapat mendengar sendiri pengalaman peribadi seorang pengamal integriti yang terlibat secara langsung dalam pengurusan integriti. Beliau berharap agar ilmu yang diperoleh daripada perkongsian tersebut dapat dimanfaatkan untuk diaplikasikan dalam bidang kerjayanya kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.