Oleh Aninah Janang
24 Jun 2021, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru –  Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu menjadi contoh dan ikutan pengamalan nilai integriti dalam masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana menerusi CeIO, individu yang terpilih dan berjaya akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB). Pentauliahan yang diberikan kepada CeIO tidak hanya akan melayakkan seseorang untuk menguruskan integriti dalam organisasi, tetapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan hariannya.

Perkara tersebut turut dikupas oleh Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Johor, Md. Rozamusliadi Roslan dalam sesi perkongsian integriti di IM ACeIO yang berlangsung pada hari ini. Beliau yang juga merupakan Pegawai Kanan di Jabatan Kerajaan Negeri Johor turut berkongsi pendekatan yang dilaksanakannya dengan sokongan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha pemantapan integriti dalam kalangan masyarakat khususnya penjawat awam di negeri tersebut.

Md. Rozamusliadi Roslan

Sementara itu, Mohammad Firdhous Hassan yang merupakan Pegawai Penguat Kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor turut mengakui bahawa beliau turut terkesan dengan usaha pengukuhan integriti yang dilaksanakan oleh ACeIO khususnya dalam kalangan penguat kuasa PBT di Johor. Firdhous yang juga penerima Anugerah Malaysian Anti – Corruption Champion Award  (MACA) pada tahun 2019 turut menyatakan rasa syukur kerana dipilih sebagai salah seorang Integrity Champion (IC) oleh Ketua Jabatannya dalam satu program anjuran ACeIO pada tahun 2017. Sebagai seorang daripada IC yang dilantik untuk mewakili jabatan, beliau wajar menjadi contoh dan ikutan kepada rakan sekerjanya dalam pengamalan etika dan nilai murni semasa bertugas. Maka itu, Firdhous mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jabatan beliau yang juga merupakan seorang CeIO kerana menjadi mentor dan ikon integriti yang sentiasa menunjukkan contoh terbaik dan berintegriti.

Mohammad Firdhous Hassan

Tidak ketinggalan, Naib Presiden Perhubungan Korporat dan Strategik ACeIO, Rezaidi Ishak ketika dihubungi memaklumkan tentang kesediaan ACeIO untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha pengukuhan dan pembudayaan integriti dalam masyarakat. Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya turut merangka strategi bagi membantu ahli ACeIO untuk memenuhi keperluan semasa dalam pengurusan integriti.

Rezaidi Ishak

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.