Oleh Syaza Wardina
25 Jun 2021, 19:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dilahirkan pada 18 April 1966 di Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan di kampung bapanya di Rantau Panjang, sempadan Malaysia – Thailand. Zaman remaja dilalui dengan cara kehidupan kampung, membantu ibu dan bapa di kebun getah serta menjaga ternakan. Sekali-sekala beliau ke baruh menangkap ikan dan ke surau membantu siak membentang sejadah. Apabila meningkat dewasa, beliau berkelana mengenali dunia luar sambil menyambung pelajaran dan memenuhi minat sukan serta seni yang tersemai dalam diri.

Seusai menghadiri konvokesyen, beliau terus kekal di Kuala Lumpur mencari rezeki dengan melukis di jalanan. Selepas lebih setahun bergelandangan di ibu kota, beliau menerima pesanan dari kampung untuk menghadiri temu duga kerja.

Soalan pertama yang ditanya oleh panel temu duga, “kenapa selepas setahun habis belajar, baru nak minta kerja?” Beliau menjawab, “kerana mengambil masa mencari pengalaman dan memahami keperluan masyarakat. Apabila dapat kerja nanti, bolehlah dibantu apa-apa yang patut.” Alhamdulillah, beliau diterima dan kekal dalam kerjayanya sehingga sekarang.

Ketika dihubungi di pejabatnya pada hari ini, Tuan Ahmad Sabri Mohamed, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia sempat berkongsi sedikit kenangan yang pernah dilaluinya.

Menjawab pertanyaan berhubung dengan perkembangan ACeIO, beliau turut berkongsikan visi beliau untuk melihat Malaysia dipimpin oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Visi ini ditetapkan oleh beliau seawal hari pertama beliau dipilih sebagai Presiden ACeIO pada 31 Mac 2018. Beliau turut berkongsi aspirasi beliau untuk membawa ACeIO menerajui pengurusan integriti di Malaysia secara lebih profesional.

Ketika ditanya tentang sebab yang mendorong beliau untuk bersama-sama ACeIO, beliau menjelaskan bahawa beliau mendapat inspirasi daripada sahabat ACeIO yang memainkan peranan serta usaha secara berterusan untuk mempromosikan dan membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat. Beliau mendapati hal yang demikian selari dengan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009, Siri 1 No. 1 Tahun 2011 (Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah) dan matlamat penubuhan ACeIO seperti yang termaktub di bawah perlembagaannya.

Apabila ditanya lanjut berhubung dengan perancangan beliau untuk ACeIO, beliau menjelaskan bahawa terdapat tiga keutamaan perancangan yang perlu diselesaikan oleh beliau, iaitu pelaksanaan kajian dan mengeluarkan Indeks Integriti secara tahunan; meneruskan Pengiktirafan Integriti kepada mereka yang menjuarai agenda integriti seperti yang telah dimulakan pada tahun 2019; dan meneruskan Liga Integriti yang tergendala pada tahun lepas sebaik-baik sahaja negara bebas daripada pandemik COVID-19 yang melanda.

Mengakhiri perbualan, beliau menyatakan bahawa semua aspirasi beliau bersama-sama ACeIO merupakan amanah yang perlu beliau laksanakan sehingga menjadi realiti.

Sehubungan dengan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli ACeIO atas sokongan dan kerjasama serta komitmen yang tinggi untuk bersama-sama menjayakan agenda integriti dan antirasuah di negara tercinta ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.