Oleh SN Fathirah
25 Jun 2021, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Barisan atlet negara tidak seharusnya mensia-siakan peluang untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 selepas pentas berprestij dunia itu tertangguh hampir setahun disebabkan pandemik COVID-19.

Penangguhan itu dilihat sebagai satu “rahmat” buat semua atlet termasuk jaguh negara untuk melakukan persediaan yang lebih rapi dan pada masa yang sama terus membuka peluang untuk mereka yang kurang bernasib baik melayakkan diri. Jika penganjuran ini tidak ditunda, kontinjen negara mungkin terpaksa pasrah dengan hanya menghantar pasukan kecil tetapi disebabkan COVID-19, atlet negara masih mempunyai peluang selepas tempoh kelayakan dipanjangkan hingga 29 Jun 2021, iaitu berbaki empat hari sahaja lagi.

Segala kesulitan yang dilalui di kala COVID-19 menyerang dunia tidak hanya dirasai oleh atlet kebangsaan negara, malah impak daripada virus itu seperti larangan ke luar negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta prosedur yang ketat turut memberikan tempias kepada hampir semua negara yang bertanding.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach menegaskan bahawa tahun 2021 merupakan pilihan terakhir untuk menganjurkan temasya berprestij dunia itu yang tidak boleh ditangguhkan lagi selepas ini. Kenyataan itu ada benarnya kerana penganjur, iaitu Jepun langsung tidak menunjukkan keinginan mahu menunda Olimpik Tokyo 2020 yang dikatakan telah menelan belanja hampir AS$26 bilion (RM108 bilion) sebagai persediaan untuk temasya berkenaan.

Jika ditunda, pastinya bakal menjejaskan segala tarikh penganjuran dua temasya berprestij dalam kalendar sukan untuk tahun 2022, iaitu Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England (28 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021) dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September 2021. Maka itu, Olimpik Tokyo 2020 sememangnya wajar diteruskan pada ketetapan tarikh ketika ini bagi memberikan ruang dan masa kepada atlet sebelum menghadapi edisi seterusnya, iaitu Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Meskipun COVID-19 masih belum lenyap, mereka juga tidak perlu panik mengenai situasi virus tersebut kerana penganjur telah pun memberi jaminan berhubung isu keselamatan setiap peserta selagi mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Bagi atlet kebangsaan negara, fokus dan tumpuan mereka tidak boleh tergelincir sedikit pun daripada landasan untuk berjuang merealisasikan impian Malaysia menamatkan penantian 65 tahun meraih pingat emas pertama Olimpik sejak penganjuran edisi pertama di Melbourne, Australia pada tahun 1956.

Azizulhasni Awang berada dalam prestasi terbaik ke Olimpik Tokyo 2020.

Sandaran terbaik kontinjen negara pada Olimpik Tokyo 2020 digalas oleh dua atlet negara, iaitu jaguh berbasikal keirin, Azizulhasni Awang dan ratu terjun, Pandelela Rinong. Azizulhasni dilihat berada pada tahap paling baik berdasarkan persediaan dan pencapaian semasa untuk memperbaik pingat gangsa yang dimenanginya sewaktu Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Pandelela pula menunjukkan taringnya dalam kejohanan terakhir sebelum Olimpik Tokyo bermula, iaitu pada Piala Dunia Terjun 2021 di Pusat Akuatik Tokyo pada awal Mei lalu.

Atlet berusia 28 tahun dari Sarawak itu mencipta sejarah baharu sebagai pemenang pingat emas pertama Malaysia di Piala Dunia Terjun sejak kejohanan itu mula dipertandingkan di Texas, Amerika Syarikat pada tahun 1979. Kejayaan ini sudah tentu memberikan tonik tambahan yang terbaik dan meningkatkan keyakinan serta motivasi Pandelela untuk memburu pingat peribadi ketiga berturut-turut di pentas Sukan Olimpik.

Pandelela yang akan beraksi dalam dua acara, iaitu 10 meter (m) platform individu dan 10m seirama bersama-sama Leong Mun Yee, pernah meraih tempat ketiga di London pada tahun 2012 sebelum memperbaik pencapaiannya dengan pingat perak sewaktu edisi Rio 2016. Pandelela dan pasangannya, Mun Yee turut menjadi harapan terbaik buat skuad terjun negara selepas bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong terpaksa berputih mata untuk membuat penampilan dalam Olimpik Tokyo 2020.

Pandelela Rinong dijangka mampu memberikan kejutan pada Olimpik Tokyo 2020.

Jun Hoong yang meraih pingat perak bersama-sama Pandelela sewaktu Rio 2016, berdepan nasib malang selepas slotnya ke Olimpik Tokyo 2020 ditarik semula disebabkan peraturan baharu yang ditetapkan oleh Persekutuan Renang Dunia (FINA). Hal ini selepas FINA membuat perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu,  iaitu hanya 12 tempat diperuntukkan ke Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan keputusan pada Piala Dunia Terjun 2021 berbanding dengan 18 slot yang ditetapkan sebelum ini.

Keputusan ini sekali gus meranapkan impian bekas juara Kejohanan Dunia 2017 itu yang hampir bersara disebabkan pembedahan terhadap kecederaan pada  kedua-dua belah lututnya sebelum kembali melakukan latihan intensif selama dua tahun di bawah bimbingan jurulatih dari China, Yang Zhuliang sejak November 2019.

Selain Azizulhasni dan Pandelela, kem badminton negara juga mempunyai prospek yang mampu menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia khususnya juara perseorangan lelaki Terbuka All England, Lee Zii Jia. Pemain badminton lain yang turut layak ke Olimpik Tokyo 2020 ialah Aaron Chia – Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon – Goh Liu Ying (beregu campuran).

Turut bertanding ialah pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad; dua orang gimnas artistik, Jeremiah Loo Phay Xing dan Farah Ann Abdul Hadi; empat orang pelayar, iaitu Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Noor Jamali; Gavin Green (golf); Nur Suryani Mohd Taibi (menembak); Shah Firdaus Sahrom (berbasikal); Lee Hup Wei (olahraga); dan dua lagi penerjun wanita, iaitu Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.