Oleh Syaza Wardina
26 Jun 2021, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dilahirkan pada 5 Julai 1960 di Muar, Johor. Merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di St. Andrew’s Muar sebelum melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur dan terus menetap sebagai warga kota Kuala Lumpur hingga kini.

Seorang bapa yang penyayang dan suami yang setia. Beliau cukup menekankan semangat kekeluargaan dalam kehidupan harian. Bagi beliau, integriti ialah maruah diri, keluarga dan organisasi yang tidak boleh dikompromi.

Beliau juga merupakan antara barisan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) paling awal yang ditauliahkan. Nilai dan jati diri CeIO sentiasa diterapkan oleh beliau dalam keluarga dan organisasi tempat beliau mencari rezeki.

Pada 4 Julai 2020, iaitu sehari sebelum bersara daripada perkhidmatan, Azmi Ahmad dipilih sebagai Timbalan Presiden ACeIO untuk sesi 2020 – 2022. Ketika dihubungi, beliau memaklumkan bahawa beliau bersyukur kerana sebagai pesara, beliau kini mempunyai lebih masa untuk bersama-sama keluarga.

Menjawab pertanyaan tentang sebab beliau masih bersemangat untuk bersama-sama ACeIO, beliau menegaskan bahawa beliau ialah CeIO yang dilatih oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). Beliau perlu menjaga imej dan jati diri CeIO yang melekat kepada dirinya sepanjang hayat. Beliau juga bertanggungjawab untuk menjaga imej MACA yang melahirkan CeIO hasil daripada agenda integriti dan antirasuah negara.

Bersara daripada perkhidmatan bukan bermakna perlu bersara daripada perjuangan memartabatkan integriti.

Pada beliau, ACeIO ialah entiti unggul yang ada untuk menjamin kesinambungan perjuangan CeIO dalam membudayakan integriti di negara ini. Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa beliau akan terus bersama-sama para sahabat CeIO yang lain bagi menjayakan agenda ACeIO sama ada atas sebab jawatan atau sebagai ahli biasa.

Fadli Mat Yusof

Fadli Mat Yusof, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut berterima kasih kepada ACeIO yang sentiasa membantu dan mengadakan program bagi menyuburkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat. Beliau yang juga dikenali sebagai YB (Yang Berkhidmat) Fadli dalam kalangan masyarakat setempatnya turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama ACeIO bagi menjayakan agenda integriti nasional itu.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk turut bersama-sama membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda kerana hal yang demikian juga merupakan nilai integriti yang perlu diamalkan. Ketika dihubungi, beliau sedang mengagihkan sumbangan kepada jiran-jiran yang memerlukan di sekitar tempat tinggalnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.