Oleh Aninah Janang
1 Julai 2021, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus, Terengganu –  Pada usia yang menjangkau 20 tahun, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melebarkan sayapnya sejajar dengan ilmu kelautan dan sains marin yang menjadi bidang tujahan institusi terbabit.

Bermula dengan Kolej Universiti Terengganu (KUT), kemudian ditukarkan kepada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) dan pada akhirnya dikenali sebagai UMT, universiti awam ini diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan serantau yang berfokuskan marin terunggul dalam negara serta disegani di peringkat global. Maka itu, bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhan UMT yang ke-20 yang disambut pada hari ini dengan bertemakan Menelusuri Kesohoran UMT 20 Tahun, pelbagai program menarik telah dirancang secara dalam talian untuk menyemarakkan sambutan tersebut.

Sambutan ulang tahun UMT ke-20 tahun yang akan diadakan selama sebulan merupakan anjuran Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS) dengan kerjasama Pejabat Pendaftar dan Pejabat Komunikasi Korporat (PKK) UMT.

Profesor Dr. Mazlan Abd. Ghaffar.

Profesor Dr. Mazlan Abd. Ghaffar yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT menjelaskan dalam siaran medianya, forum Minda Naib Canselor menjadi antara program yang mengisi sambutan ulang tahun UMT pada tahun ini. Program tersebut menghimpunkan ahli panel kumpulan profesional akademik tertinggi yang terlibat secara langsung dengan penubuhan UMT, iaitu bermula daripada  penubuhan KUSTEM hinggalah Naib Canselor keempat UMT.

“Diskusi menarik ini akan mengupas mengenai falsafah, misi dan visi serta perkongsian pengalaman mereka bersama-sama staf, pelajar dan alumni UMT yang dikasihi dalam usaha memperkasakan UMT dalam mengecap kejayaan yang dicapai pada hari ini, khususnya dalam bidang tujahan yang berteraskan ilmu kelautan dan  sumber akuatik sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Strategik UMT 2018 – 2022”, jelas Mazlan.

Sementara itu, penganjur program yang juga merupakan Presiden PERENTAS, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab berkata, majlis sambutan secara dalam talian pada kali ini turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dan Pusat Ekosistem Digital (PED).

Pelbagai program dianjurkan bersempena dengan ulang tahun ke-20 UMT.

“Selain bacaan Yasin, tahlil dan selawat, majlis turut dimulakan dengan ucapan alu-aluan perasmian yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMT dan diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Pendaftar UMT, Zukiferee Ibrahim. Seterusnya, majlis akan dimeriahkan dengan Forum Minda Pendaftar yang menghimpunkan barisan panel mantan Pendaftar UMT khusus untuk membincangkan pelbagai topik termasuklah pembangunan hala tuju dan sumber manusia dalam mendukung hasrat kerajaan menuju sistem pendidikan yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” jelas Wan Mohd Wazir.

Istimewanya, majlis secara dalam talian ini turut dihadiri oleh  tokoh akademik termasuklah Profesor Emeritus  Dato’ Dr. Mohamad Mahyuddin Mohd Dahan,   Profesor Emeritus  Dato’ Dr. Sulaiman Md Yassin, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan barisan panel yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.