Oleh Rosmani Omar
3 Julai 2021, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia hari ini melancarkan satu lagi pelantar baharu Wacana Integriti ACeIO (WI AceIO) untuk perkongsian maklumat tentang pengurusan integriti. WI ACeIO yang juga disebut sebagai We AceIO merupakan pelantar dalam talian yang disediakan oleh ACeIO untuk dimanfaatkan oleh ahli-ahli bagi perkongsian amalan terbaik pengurusan integriti.

Presiden ACeIO, Ahmad Sabri Mohamed ketika melancarkan WI ACeIO hari ini turut memaklumkan bahawa pelantar perkongsian maklumat integriti ini akan menampilkan ahli ACeIO secara bergilir sebagai panel tetap, manakala panel undangan adalah dalam kalangan tokoh dan pengamal integriti. Selain ahli, penyertaan WI ACeIO ini juga dibuka kepada bukan ahli termasuklah mahasiswa universiti.


Profesor Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) mengalu-alukan kesediaan ACeIO untuk berkongsi pelantar WI ACeIO ini kepada pihak luar. Beliau yang juga merupakan pensyarah dalam bidang pengajian nilai, etika dan pembangunan persekitaran di sebuah institusi pengajian tinggi bersedia untuk berkongsi maklumat yang diperoleh kepada pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah di bawah seliaannya.

Menurut Profesor Madya Dr. Azila, beliau mengalu-alukan CeIO untuk bersama-sama AKEPT dalam membangunkan modul pengurusan integriti dan Pelan Antirasuah Organisasi AKEPT. Pihaknya juga bersedia untuk membantu ACeIO dalam membangunkan modul kompetensi untuk ahli sekiranya diperlukan.



Siti Baizura Tasmidi, seorang mahasiswa dari Kuching, Sarawak kelihatan teruja dengan pelantar baharu WI ACeIO itu. Beliau yang juga merupakan guru KAFA turut berterima kasih kepada ACeIO kerana memberikannya peluang untuk bersama-sama mengikuti sesi wacana pada hari ini.

Menerusi pelantar baharu tersebut, Siti Baizura menyatakan bahawa beliau akan memanfaatkan maklumat yang diperoleh untuk pembentukan nilai dan integriti dalam kalangan anak-anak bangsa generasi masa depan di bawah bimbingannya. Beliau juga berharap agar pelantar tersebut terus dapat diperluas bagi membawa gelombang baharu pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat.


WI ACeIO pada hari ini menampilkan dua orang tokoh dalam kalangan ahli ACeIO, iaitu Profesor Madya Dr. Romlah Jaffar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr. Haji Mohd Azlan Yahya, Naib Presiden ANGKASA. Moderator yang mengendalikan wacana bertajuk “Pengurusan Integriti Secara Lebih Profesional” pada hari ini ialah Tuan Mohd Juhari Ab Kadir, Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.