Oleh Naimah Yusof
4 Julai 2021, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan, khususnya kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di institusi yang berada di bawah KPM, yang terjejas berikutan penutupan institusi tersebut kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara ini dinyatakan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM pada hari ini (4 Julai 2021).

Menerusi kenyataan media tersebut, KPM menyatakan bahawa pembayaran kepada kontraktor bagi perkhidmatan KBK akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak. Oleh itu, seharusnya tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.

Bagi perkhidmatan BMB pula, KPM akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.

Selain itu, kesukaran pengusaha kantin serta penyewa premis atau ruang seperti kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin layan diri (vending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah KPM ini juga turut mendapat perhatian agensi ini.

Dalam hal ini, KPM membuat ketetapan untuk memberikan pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang tersebut bagi tempoh enam bulan mulai Julai hingga Disember 2021.

Tambah KPM lagi, penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah yang berada di bawah KPM akan diberikan secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.

KPM yakin inisiatif ini akan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi yang berada di bawah KPM serta pekerja yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.