Oleh Mohd Nizar Sudin
18 Julai 2021, 00:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Hampir dua tahun pandemik COVID-19 melanda dunia, hingga kini belum kelihatan sebarang tanda-tanda pandemik ini akan berundur.  Di peringkat global, iaitu pada 13 Julai lalu, lebih daripada 188 juta kes COVID-19 dicatatkan, manakala kematian melebihi empat juta orang.  Sementara itu, Malaysia merekodkan sebanyak 855 949 kes dengan  6385 kematian. Kes tertinggi dicatatkan pada 17 Julai 2021, iaitu sebanyak 12 528 kes.  Meskipun ekonomi global dijangkakan pulih pada tahun ini, namun krisis kesihatan awam belum reda. Maka itu, pemberian vaksin yang dibuat secara besar-besaran bermula pada tahun ini dijangkakan dan diharapkan akan mampu mengurangkan kerebakan akibat pandemik pada peringkat global.

Sejak tahun lalu, apabila kebanyakan negara di dunia melaksanakan langkah pembendungan awal menangani COVID-19, perkataan “penjarakan fizikal” menjadi terkenal.  Di negara kita, di mana-mana sahaja, khususnya di tempat awam, kelihatan peringatan supaya orang ramai mengamalkannya.  Tidak ketinggalan pengumuman peringatan tentang pentingnya amalan penjarakan fizikal dibuat di mana-mana sahaja, antaranya di stesen Mass Rapid Transit (MRT), premis perniagaan, stesen TV dan radio.  Tidak  diragui bahawa penjarakan fizikal merupakan cara yang terbaik untuk memperlahankan kerebakan COVID-19. Akan tetapi, keberkesanannya juga bergantung pada langkah yang lebih dalam dan keras, iaitu solidariti sosial.

Bagi ahli sosiologi, Eric Klinenberg, penjarakan fizikal tidak memadai tanpa solidariti sosial. Beliau menegaskan bahawa, “Solidariti memotivasikan kita untuk menggalakkan kesihatan awam dan bukan sekadar untuk keselamatan peribadi kita sendiri. Solidariti memastikan kita tidak menyorok ubat, bekerjasama atau bertolak ansur di tempat kerja  atau tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah. Solidariti memaksa kita membenarkan kapal dengan penumpang yang terkandas berlabuh dengan selamat di pelabuhan atau untuk mengetuk pintu rumah jiran yang tua”.

Klinenberg turut memberitahu bahawa apa-apa yang berlaku apabila negara terbenam dalam mitologi individualisme berlaga dengan pandemik yang menuntut solidariti sosial dan pengorbanan kolektif. Solidariti dapat mencegah epidemik kesunyian dan pengasingan sosial daripada membebankan orang yang paling rentan dalam masyarakat.

Kempen Kita Jaga Kita dapat membantu petugas barisan hadapan memutuskan rantaian COVID-19.

Ketika pandemik COVID-19 melanda, tahap  solidariti merupakan asas ketahanan dalam mana-mana masyarakat.  Pandemik ini merupakan satu daripada cabaran yang tidak pernah berlaku sebelumnya sehingga memaksa dunia mengharunginya. Oleh itu,  solidariti sosial memainkan peranan yang penting dalam menjambatani jarak sosial dan mengurangkan risiko kesihatan awam dengan membina kesedaran kolektif ketika masyarakat dilanda pandemik COVID-19.

Di negara kita,  solidariti sosial terbentuk apabila pandemik COVID-19 melanda dan memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020. Solidariti sosial menyaksikan sukarelawan turut membantu petugas barisan hadapan dan orang ramai menghantar makanan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan di kebanyakan sekatan jalan raya. Melalui media sosial, orang ramai  digalakkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan berkongsi maklumat yang sahih untuk bersama-sama membendung kerebakan sehingga munculnya slogan kita jaga kita.   Apabila vaksin diperkenalkan di negara ini, wujud pula usaha sebilangan individu yang tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat palsu kepada rakyat agar mereka menolak suntikan vaksin dengan alasan yang tidak munasabah.  Namun begitu, perbuatan jahat tersebut disanggah oleh pelbagai usaha bersama-sama yang dibuat oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyokong agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijayakan dengan matlamat akhir agar negara dapat keluar daripada cengkaman COVID-19.

Tatkala pandemik COVID-19 terus melanda negara, sesetengah orang mula hidup dalam kesusahan  kerana hilang pekerjaan atau mata pencarian. Maka itu,  wujud kempen mengibarkan bendera putih yang digiatkan oleh individu dan NGO yang tertentu.   Meskipun ada ahli politik dan agamawan yang cuba menyekat kempen ini dengan memberikan beberapa alasan, namun rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan segera membantu mereka yang memerlukan, bahkan ada peguam yang memaklumkan kepada saya bahawa sekiranya mereka yang mengibarkan bendera putih ditahan dan didakwa oleh pihak berkuasa, mereka sedia membantu individu berkenaan.

Dato’ Dr. Mohd Nizar Sudin
Pemerhati Politik Tempatan dan Antarabangsa
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.