Oleh Habsah Abby
21 Julai 2021, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Ting!” Satu pemberitahuan daripada aplikasi MySejahtera diterima:

Apabila ikon tersebut ditekan, tertera maklumat tempat dan tarikh vaksinasi yang telah dijadualkan. “Alaa … saya tidak mahulah ambil vaksin di situ. Vaksin yang akan diberikan bukanlah jenis vaksin yang saya mahukan,” demikian antara respons segelintir rakyat Malaysia apabila menerima pemberitahuan janji temu vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu pemilihan vaksin dalam kalangan masyarakat. Ada yang hanya mahu mendapatkan sesetengah jenis vaksin sahaja, katanya vaksin tersebut mempunyai tahap keberkesanan yang lebih tinggi. Ada pula yang tidak mahu menerima vaksin yang telah ditetapkan, bahkan memilih untuk mendapatkan jenis vaksin yang dikatakan lebih sesuai untuk orang Asia. Malah, ada yang berasa takut untuk mendapatkan vaksin yang dikatakan mempunyai risiko darah beku atau gumpalan darah, lantas membatalkan janji temu vaksinasi yang telah dijadualkan.

Menerusi laporan daripada akhbar dalam talian pada minggu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan segelintir penerima vaksin COVID-19 yang sewenang-wenangnya membuat penjadualan semula vaksinasi mereka lantaran vaksin yang diberikan bukan daripada jenis yang mereka mahukan. Malah, dipercayai ada penerima yang sanggup menjadualkan semula sebanyak lebih daripada empat kali tawaran vaksinasi semata-mata kerana mahu menunggu vaksin yang diidamkan. Mengapakah hal seperti ini berlaku? Benarkah apa-apa yang dikatakan oleh segelintir masyarakat bahawa ada vaksin yang selamat dan ada yang tidak selamat untuk digunakan, malahan ada juga jenis vaksin yang terbaik?

Secara umumnya, vaksin merupakan satu daripada kaedah untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 dan antara cara yang terbaik untuk melindungi masyarakat daripada penyakit ini. Vaksin COVID-19 berperanan merangsang sistem imun supaya apabila manusia terdedah kepada koronavirus SARS-CoV-2, tubuh badan boleh bertindak balas terhadap jangkitan COVID-19. Dalam proses penghasilan vaksin COVID-19, pelbagai platform seperti jujukan genetik mRNA, vektor virus, virus nyahaktif dan subunit protein telah digunakan untuk menyediakan vaksin koronavirus yang selamat dan berkesan.

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis vaksin yang diletakkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca, Sputnik V dan CanSino Biologics. Pada 16 Julai lalu pula, KKM memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada dua lagi vaksin COVID-19, iaitu Sinopharm dan Johnson and Johnson (Janssen) untuk kegunaan semasa bencana.

Vaksin yang Diperakui oleh Malaysia.

Namun begitu, timbul juga persoalan dalam kalangan masyarakat, mengapakah kerajaan membawa masuk pelbagai jenis vaksin ke Malaysia dan tidak menggunakan satu jenis vaksin sahaja? Antara sebab hal ini terjadi adalah kerana kekangan bekalan vaksin. Pada hakikatnya, terdapat banyak negara yang menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan vaksin. Jika kita hanya menunggu satu jenis vaksin sahaja, hal yang demikian pastinya akan melambatkan proses vaksinasi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Perdebatan dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat mengenai pemilihan jenis vaksin mendapat perhatian banyak pihak. Bagi meleraikan salah faham masyarakat mengenai pemilihan vaksin ini, seorang pegawai perubatan, Dr. Ikram Rauhi menjelaskan, “selain keberkesanan, sebenarnya kita perlu memahami beberapa elemen lain yang membezakan antara semua jenis vaksin, iaitu dari sudut harga, pengagihan, penyimpanan, kesan sampingan, kekerapan dos, serta bahan aktif yang terkandung dalam sesuatu vaksin.”

Menerusi perkongsian video di YouTube, Dr. Ikram Rauhi berkata, “sesetengah daripada kita hanya melihat kepada keberkesanan sesuatu vaksin. Sebagai contoh, vaksin Pfizer-BioNTech dikatakan mempunyai keberkesanan sehingga 95 peratus, manakala vaksin Sinovac berkesan antara 50.4 peratus hingga 91.25 peratus. Akan tetapi, keberkesanan sesuatu vaksin sebenarnya bergantung pada keturunan dan faktor genetik masyarakat di negara tersebut.”

Tambahnya lagi, “kita juga perlu faham, menurut standard Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sesuatu vaksin dikatakan berhasil apabila mencapai tahap keberkesanan minimum sebanyak 50 peratus. Apabila mencapai tahap ini, vaksin tersebut boleh digunakan kepada masyarakat.”

Pada Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia memilih jenis vaksin dalam PICK. Hal ini tidak lain tidak, bertujuan untuk mempercepat proses pemberian vaksin seterusnya membentuk imuniti kelompok di negara ini. Menurut laporan Sinar Harian pada 1 Jun lalu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, “vaksin yang terbaik ialah vaksin yang paling cepat diberikan kepada rakyat”.

Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun formulasi setiap jenis vaksin berbeza-beza antara satu dengan yang lain, fungsi vaksin tetap sama, iaitu membina ketahanan badan melalui imuniti terhadap jangkitan.

Dalam laporan tersebut, Dr. Mohd Dzulkhairi turut berkata, “ada vaksin yang sesuai diberikan untuk situasi tertentu seperti wanita hamil, individu yang mengalami alahan dan sebagainya. Akan tetapi, pemberian jenis vaksin kepada golongan ini akan ditentukan oleh pihak kesihatan.” Oleh itu, setiap penerima vaksin bertanggungjawab memberikan maklumat yang jujur, tepat dan telus berkenaan dengan tahap kesihatan masing-masing dalam usaha melancarkan program vaksinasi negara.

Dalam hal ini juga, seharusnya tidak timbul isu pemilihan vaksin dalam kalangan masyarakat kerana pada hakikatnya, tujuan utama pemberian vaksin COVID-19 di seluruh dunia adalah untuk mencapai imuniti kelompok. Imuniti kelompok dapat disimpulkan sebagai perlindungan daripada penyakit berjangkit yang terbentuk apabila sebahagian besar kelompok masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada jangkitan penyakit tersebut. Menurut WHO, dianggarkan 60 peratus hingga 70 peratus populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap COVID-19 bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai dan penularan COVID-19 dapat dikawal.

Menerusi PICK, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19 di negara ini. Jika dilihat pada statistik vaksinasi di negara ini, hingga 21 Julai 2021, sebanyak 14.6 peratus daripada populasi Malaysia telah pun menerima suntikan vaksin. Pada 15 Julai lalu, Malaysia mencatatkan dos suntikan tertinggi yang pernah diberikan dalam sehari sepanjang PICK, iaitu sebanyak 460 158 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan kepada rakyat.

Seiringan dengan hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemajuan kadar vaksinasi harian di Malaysia yang kini melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia memberikan gambaran negara berada pada landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok. Justeru, perkembangan itu membolehkan negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sediakala.

Namun demikian, perkara ini tidak akan berjaya dicapai tanpa kerjasama penuh daripada semua rakyat Malaysia. Ketahuilah, matlamat pemberian vaksin tetap sama, iaitu untuk memutuskan rantaian penyebaran COVID-19, tanpa perlu memilih-milih jenis vaksin yang akan diterima jika tiada sebarang sebab yang munasabah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi