Oleh SN Fathirah
25 Julai 2021, 23:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

TOKYO – Pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia menepati ramalan selaku sandaran utama Malaysia apabila merakam kemenangan pertama dalam saingan Badminton Perseorangan Lelaki Kumpulan M Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia itu tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan lawannya dari Ukraine, Artem Pochtarov dengan kemenangan 21-5, 21-11 di Plaza Sukan Musashino Forest, Jepun hari ini.

Kemenangan tersebut meletakkan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berada pada landasan yang tepat untuk melangkah ke pusingan kalah mati jika berjaya menumbangkan pemain Perancis, Brice Leverdez selepas ini.

Selain Zii Jia, Olimpik Tokyo pada kali ini turut menyaksikan enam orang bekas pelajar SSBJ mewakili skuad badminton negara, iaitu perseorangan wanita, Soniia Cheah Su Ya; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying.

Walau bagaimanapun, saingan gandingan Mei Kuan-Meng Yean dan Liu Ying serta pasangan beregu campurannya, Chan Peng Soon terkandas apabila peluang kedua-dua wakil negara itu ke pusingan seterusnya sudah pun tertutup.

Kebanyakan atlet yang mewakili Malaysia ke Olimpik Tokyo merupakan bekas pelajar dan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.

Cabaran Aaron-Wooi Yik masih disandarkan apabila bakal turun ke gelanggang bertemu dengan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada hari ini. Soniia pula akan turun memulakan kempen Olimpik Tokyo 2020 menentang Laura Sarosi yang dijadualkan berlangsung esok.

Sebagai rekod, SSBJ mempunyai 12 orang bekas pelajar yang bersaing di Tokyo pada ketika ini termasuklah Dato’ Azizulhasni Awang untuk  sukan berbasikal trek, Farah Ann Abdul Hani (gimnastik artistik), Lee Hup Wei (olahraga), Azreen Nabila Alias (olahraga) dan Welson Sim (renang).

Bukan sahaja SSBJ, malah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) juga mempunyai enam orang bekas pelajar yang mewakili kontinjen negara di Tokyo, iaitu seorang pemanah, Syaqiera Mashayikh dan lima orang penerjun, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee serta Nur Dhabitah Sabri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.