Oleh SN Fathirah
26 Julai 2021, 22:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Mohd. Azizulhasni Awang mempertaruhkan basikal istimewanya yang dikatakan telah menelan kos perbelanjaan sehingga RM13 juta untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelumba berusia 33 tahun dari Terengganu ini dilihat sudah tidak sabar untuk menguji jenteranya selepas mendapat versi sentuhan akhir basikal model WX-R Vorteq sebelum berlepas ke Jepun baru-baru ini. Hal itu sudah tentu membakar semangat Azizulhasni sebelum turun ke Velodrom Izu untuk membuka saingannya di pentas Olimpik Tokyo bagi kategori pecut yang dijadualkan pada esok, 4 Ogos 2021 sebelum berentap dalam acara kegemarannya, keirin tiga hari kemudian.

Motivasi Azizulhasni kini berada pada tahap yang tertinggi kerana beliau berbekalkan “senjata” berwaran hitam dan perak yang telah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mencecah kos RM13 juta.

Basikal model WX-R Vorteq milik Azizulhasni diperbuat daripada bahan karbon fiber yang menggunakan teknologi terkini aerodinamik.

Basikal itu dibina khas untuk Azizulhasni dan seorang lagi pelumba Olimpik negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menerusi kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan sebuah syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd. yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik.

Boleh dikatakan kesemua peminat sukan tanah air juga sebenarnya sudah tidak sabar untuk melihat prestasi pecutan kedua-dua pelumba harapan negara itu menggunakan jentera WX-R Vorteq memandangkan harga pasaran basikal berkenaan dikatakan bernilai RM300 ribu. Harga tersebut sememangnya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan para peminat sukan berbasikal yang mengatakan nilainya tidak masuk akal kerana harga tersebut mampu membeli sebuah kereta ataupun seunit pangsapuri kos rendah.

Walau bagaimanapun, Azizulhasni tampil menjelaskan dalam temu bual menerusi Instagram Live Astro Arena baru-baru ini berkenaan harga basikalnya yang diperbuat daripada bahan karbon fiber yang menggunakan teknologi terkini aerodinamik yang bertujuan untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu menjelaskan bahawa harga tersebut sengaja diletakkan dengan kadar yang tinggi agar tidak dibeli oleh pesaing daripada negara lain sebelum bermulanya temasya Olimpik Tokyo 2020. Hal itu juga bertujuan untuk melindungi teknologi basikal itu yang sudah melalui pelbagai proses R&D sejak empat tahun lalu supaya setiap data tidak “dicuri” oleh pelumba lain dalam perjalanan Malaysia memenangi pingat emas pertama di pentas Olimpik.

Menurut Azizulhasni, setiap negara yang bertanding akan menggunakan pelbagai cara dan helah untuk menyembunyikan keistimewaan teknologi basikal masing-masing. Hal ini selepas badan induk berbasikal dunia, Union Cycliste Internationale (UCI) meletakkan syarat ketat bahawa setiap basikal dan peralatan yang akan digunakan dalam Olimpik Tokyo 2020 perlu dijual dan boleh dibeli oleh orang awam sebagai berlaku adil kepada semua negara yang bertanding termasuk Malaysia.

Esok, Azizulhasni dengan jentera rahsianya akan beraksi dalam kategori pecut.

“Kita cuba lindungi teknologi basikal kita daripada digunakan oleh orang lain. Kita sudah penat melabur dan lakukan banyak R&D.  Oleh sebab itu, pihak yang menguruskannya sengaja meletakkan harga yang tinggi dan tidak masuk akal supaya orang tidak membelinya. Ada sesetengah negara yang meletakkan harga yang sedikit mahal daripada pasaran, tetapi lebih rendah daripada kita dengan mengenakan syarat pembelian minimum adalah sebanyak 50 buah. Siapa nak beli basikal sampai 50 buah? Inilah strategi yang dilakukan oleh negara lain bagi mengelakkan basikal ciptaan mereka dibeli oleh negara pesaing,”  Azizulhasni.

Azizulhasni yang pernah menjuarai acara keirin pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong mendedahkan bahawa UCI berbuat demikian selepas menerima aduan daripada banyak negara termasuk Malaysia berhubung dengan penggunaan basikal “rahsia” oleh dua gergasi Eropah, iaitu Jerman dan Great Britain dalam beberapa edisi Olimpik yang terdahulu.

The Pocket Rocketman itu berasakan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk memenangi perlumbaan, namun ketinggalan beberapa langkah ke belakang pada garisan permulaan disebabkan oleh faktor tertentu antaranya kelengkapan basikal yang Malaysia miliki tidak setanding dengan negara pemenang pada Sukan Olimpik Rio 2016. Mungkin tidak banyak yang mengetahui bahawa sukan berbasikal trek pada masa kini sudah diibaratkan seperti perlumbaan Formula Satu (F1) kerana melibatkan banyak penyelidikan dan mengguna pakai teknologi dalam setiap kelengkapan pertandingan.

Maka itu, Olimpik Tokyo 2020 pada kali ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk ISN membuktikan kepentingan sains, teknologi dan perubatan sukan dalam membentuk prestasi atlet pada tahap yang tertinggi. Jika berjaya membawa pulang pingat atau lebih manis dengan kilauan emas, kejayaan itu sudah tentu mampu menukar senario industri sukan era moden kini yang sudah tertumpu kepada tiga elemen tersebut dalam menentukan prestasi atlet hingga ke peringkat global.

Begitu pun, semua itu bukanlah tugas yang mudah bagi skuad berbasikal negara bimbingan jurulatih dari Austalia, John Beasley kerana mereka perlu melepasi halangan raja pecut Great Britain, Jason Kenny. Selain Azizulhasni, Kenny juga mempunyai misi tersendiri kerana mahu menjadi pelumba Great Britain terbanyak memenangi Olimpik memandangkan beliau kini terikat dengan lapan pingat emas bersama-sama legenda negara berkenaan, Chris Hoy.

ISN menerusi Program Podium pastinya meletakkan harapan yang cukup tinggi buat Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk menampilkan kayuhan luar biasa menggunakan basikal WX-R Vorteq agar badan induk itu boleh terus bekerjasama rapat dengan para atlet, persatuan sukan kebangsaan serta Majlis Sukan Negara.

Seandainya membuahkan hasil, tidak mustahil ISN akan terus bertungkus lumus untuk memastikan Malaysia dapat melahirkan lebih banyak jaguh dunia yang akan menyinar pada peringkat antarabangsa, khususnya menjelang penganjuran Olimpik seterusnya, iaitu di Paris, Perancis pada tahun 2024. Ayuh Azizulhasni, buktikan Malaysia boleh!

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.