30 Julai 2021, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sudah hampir 64 tahun negara merdeka dan menjadi sebuah negara yang berdaulat. Pada usia ini, sudah tentulah meletakkan kita amat dewasa untuk memahami dan menghormati nilai sebuah negara bangsa. Apabila Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani, maka lahirlah bangsa Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bangsa yang digunakan dalam konteks Malaysia dan negara beraja bersusur galur daripada rakyat raja. Rakyat raja merupakan istilah kerakyatan dan membawa maksud yang sama kepada kewarganegaraan. Oleh itu, bangsa itu wujud dalam kerangka kerajaan atau negara. Sebuah negara atau empayar atau kesatuan tidak tersyarat untuk dibangunkan oleh satu etnik atau satu keturunan sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak banyak negara yang terdiri daripada etnik tunggal. Orang Melayu sendiri terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan bukannya etnik tunggal.

Tertegaknya suatu negara, empayar atau kesatuan kerana adanya sistem politik yang menguruskan hal ehwal ahli komunitinya sama ada terdiri daripada satu etnik atau kumpulan etnik. Bangsa itu merujuk suatu negara, empayar atau kesatuan begitu juga sebaliknya. Ringkasnya, suatu bangsa itu boleh berada dalam bentuk negara, empayar atau kesatuan negeri-negeri.

Sementara itu, bangsa dari sudut sains politik dan undang-undang ditakrifkan dalam kerangka negeri atau negara. Bangsa berkerangka lebih besar daripada kumpulan etnik kerana etnik dan kumpulan etnik itu menjadi ahli komuniti dalam suatu bangsa, melainkan mereka yang tidak bernegara.

Negara bangsa merangkumi dua elemen, iaitu aspek kewarganegaraan dan hubungan yang erat dengan watan sebuah negara yang berdaulat. Dalam kerangka kebangsaan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan membenarkan perpaduan dalam kepelbagaian atau unity in diversities. Kepelbagaian dalam negara bangsa terserlah melalui kebebasan beragama serta amalan adat resam dan budaya yang berbeza dalam kerangka undang-undang. 

Ternyata di Malaysia,  setiap kaum boleh mengekalkan adat resam dan budaya masing-masing selari dengan dasar kebudayaan kebangsaan. Kebebasan beragama bagi setiap warganegara turut dijamin di samping kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan. Hidup beragama ini menjadi teras kepada nilai kesopanan dan kesusilaan seperti yang dimasyhurkan dalam  prinsip kelima Rukun Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.