Oleh Syaza Wardina
1 Ogos 2021, 20:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus – Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia prihatin terhadap integriti di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam kalangan mahasiswa dan sedia bersama-sama IPT baik universiti awam mahupun swasta dalam usaha membudayakan integriti dan antirasuah. Hal ini demikian kerana mahasiswa merupakan tunjang penting yang bakal mewarisi kepimpinan dan pentadbiran di negara ini.

Presiden ACeIO, Ahmad Sabri Mohamed berkata demikian selepas mendengar pembentangan secara dalam talian oleh Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu berkaitan dengan kolaborasi ACeIO dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pembudayaan integriti dan antirasuah di universiti pada hari ini.

Profesor Dr. Mazlan Abd Ghaffar.

Profesor Dr. Mazlan Abd Ghaffar menyambut baik kesediaan ACeIO untuk berkolaborasi dengan UMT dalam menganjurkan program dan aktiviti pengukuhan kebolehan serta kompetensi dalam pengurusan integriti serta antirasuah.

Beliau yang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UMT ketika dihubungi berkata, hasrat ACeIO ini selari dengan falsafah UMT sendiri, iaitu ilmu dan amal yang bersepadu berlandaskan keimanan kepada Allah ialah tonggak kepada usaha universiti dalam menyediakan modal insan yang berwibawa untuk kesejahteraan sejagat. Mengulas lanjut, beliau berkata, UMT sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam pembudayaan integriti dan antirasuah khususnya dalam kalangan mahasiswa.

Ruslan Che Amad.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu, Ruslan Che Amad, mengalu-alukan keprihatinan semua pihak termasuklah IPT dan ACeIO dalam mengukuhkan nilai integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan mahasiswa. Pihaknya juga sentiasa bersedia membantu mana-mana pihak termasuklah IPT dan ACeIO dalam menjayakan agenda pengukuhan integriti dan antirasuah dalam masyarakat.

Beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada UMT serta ACeIO yang sentiasa bekerjasama rapat dengan SPRM dalam menjayakan program yang dianjurkan. Beliau berharap hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin ini terus diperkukuh lagi demi Malaysia tercinta.

Mohd Juhari Ab Kadir.

Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu, Mohd Juhari Ab Kadir  memaklumkan bahawa ACeIO berterima kasih kepada UMT dan SPRM yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada ACeIO khususnya dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat termasuklah mahasiswa di Terengganu. Beliau berkongsi tentang persetujuan ACeIO yang akan berkolaborasi dengan UMT untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa Undang-undang, Integriti, Antirasuah dan Audit bersempena dengan Hari Integriti Nasional yang akan disambut pada November nanti.

Persidangan yang akan diadakan secara dalam talian itu nanti menyasarkan penyertaan sebanyak 1000 orang daripada kalangan ahli akademik, pengamal undang-undang, pegawai integriti serta pegawai audit dari dalam dan luar negara. Persidangan ini juga diharap akan mengangkat masyarakat dan negara Malaysia di mata dunia sebagai masyarakat dan negara yang prihatin terhadap pembudayaan integriti dan antirasuah secara global.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pihak agar sentiasa prihatin terhadap pembudayaan integriti dan antirasuah di Malaysia. Beliau juga mengajak semua sahabat CeIO untuk bersama-sama ACeIO membantu kerajaan dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah nasional.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi