5 Ogos 2021, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur, 5 Ogos 2021 – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah dalam memberikan kualiti perkhidmatan yang lebih telus dan berintegriti kepada masyarakat. Hal ini jelas ditunjukkan melalui kesungguhan pelaksanaan organisasi yang baru sahaja meraikan ulang tahunnya yang ke-65 baru-baru ini dalam meningkatkan keutuhan dan keberkesanan tadbir urus di DBP.

Pelan Antirasuah DBP 2021 – 2025 telah dilancarkan secara rasmi oleh Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara. Majlis pelancaran tersebut telah diadakan secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media sosial rasmi DBP dan pelantar penerbitan digital DBP atau JendelaDBP pada pukul 2.30 petang. Yang turut hadir ialah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, dan Dato’ Padilah Ali, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelan Antirasuah DBP 2021 – 2025, serta seluruh warga kerja DBP.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali melancarkan Pelan Antirasuah DBP 2021 – 2025.

“Kerajaan sentiasa berusaha memerangi gejala rasuah secara serius khususnya dalam sektor awam. Maka atas sebab itu, Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) diperkenalkan sebagai inisiatif mandatori di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023, khususnya Strategi 2, iaitu ‘Memperkukuh Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam’ dan Strategi 6, iaitu ‘Memupuk Tadbir Urus Baik dalam Entiti Korporat’,” ujar Tan Sri Mohd Zuki dalam ucapan perasmiannya.

“Badan berkanun termasuk DBP diwajibkan membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dengan dibantu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Isu rasuah dan kelemahan tadbir urus dalam jentera kerajaan tidak pernah diabaikan malahan ditangani secara bersistem dan bersepadu,” tegas beliau lagi.

Pelan ini dibangunkan berasaskan kerangka sistem kerja sedia ada dengan mengambil kira pandangan warga kerja DBP secara holistik. Pelan ini memberikan tumpuan terhadap empat Bidang Keutamaan, iaitu Tadbir Urus; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Bahasa, Sastera dan Penerbitan; dan Khidmat Pengurusan. Selain itu, Pelan Antirasuah DBP 2021 – 2025 telah menggariskan empat Strategi, tujuh Objektif Strategik dan 42 Inisiatif untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Amalan rasuah merupakan suatu kesalahan undang-undang dan sosial yang boleh menjejaskan imej dan nama baik negara. Amalan ini, jika tidak dibendung, sudah tentu akan mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara. Dalam konteks ini, penjawat awam ialah golongan yang paling berisiko terdedah kepada kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, khususnya pegawai yang menguruskan hal berkaitan dengan kewangan dan perolehan kerajaan sekiranya mereka tidak memiliki sikap amanah.

Tan Sri Mohd Zuki juga telah mengarahkan semua penjawat awam sama ada di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar lebih proaktif dalam merekayasa sistem penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelanggan dengan sebaiknya. Sekiranya terdapat kelemahan dalam prosedur atau peraturan, tindakan segera perlu dilaksanakan untuk membetulkannya. Kesediaan memantapkan kecekapan dalam pelaksanaan fungsi keseluruhan jabatan berteraskan prinsip cepat, tepat dan berintegriti perlu menjadi keutamaan. Sebarang kelewatan atau kerenah birokrasi melibatkan jabatan kerajaan perlulah dielakkan kerana hal ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah boleh menimbulkan tanggapan negatif yang dikaitkan dengan amalan rasuah dan ketirisan.

Sebelum mengakhiri ucapan, Tan Sri Mohd Zuki turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Lembaga Pengelola DBP, pengurusan tertinggi, dan seluruh warga kerja DBP yang telah berusaha gigih membangunkan pelan ini. Beliau turut berharap pencapaian ini dapat dijadikan sumber inspirasi dan perangsang kepada agensi kerajaan yang lain dalam membangunkan pelan antirasuah di organisasi masing-masing.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi