Oleh Syaza Wardina
6 Ogos 2021, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu telah menganjurkan Forum Perangi Jenayah Rasuah menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 6 Ogos 2021 (Jumaat), pukul 5.00 petang.

Forum ini menampilkan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa selaku moderator, serta mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Pengerusi Rasuah Busters, Dato’ Hussamuddin Yaacub; dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku ahli panel.

Menurut Mohd Zai, jenayah rasuah merupakan masalah yang mengganggu kestabilan dan kesejahteraan negara kerana berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020, kedudukan Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 berbanding dengan tangga ke-51 pada tahun 2019. Hal ini menunjukkan jenayah rasuah di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan. 

Bagi mengulas mengenai perkara ini, Tan Sri Musa Hassan berkata, “peningkatan jenayah rasuah di negara terjadi disebabkan berlaku kemerosotan nilai murni dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada hari ini lebih mementingkan kebendaan menyebabkan mereka terjerumus dalam kancah jenayah ini. Selain itu, disiplin yang kian merosot dalam kalangan pegawai penguat kuasa membuka ruang kepada pemberi dan penerima rasuah untuk menjalankan amalan yang tidak bermoral ini.”

Menurut beliau juga, dalam memerangi jenayah rasuah, masyarakat perlu diberikan kefahaman dan mereka sendiri perlu menolak rasuah. Integriti perlu bermula daripada pemimpin dan kita perlukan reformasi terhadap peraturan dan sistem yang lebih telus.

Dalam pada itu, Dato’ Hussamuddin Yaacub yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan Karangkraf menekankan mengenai peranan media dalam usaha memerangi jenayah ini. Menurut beliau, media bertanggungjawab memastikan sistem berasaskan nilai kembali ke dalam hati rakyat.

Media perlu membuat kempen yang berkesan supaya masyarakat sentiasa sayang dan takut akan Tuhan, di samping sentiasa menghebahkan mengenai perlembagaan agar masyarakat berasa takut untuk melakukan amalan rasuah ini.

Untuk membangunkan nilai integriti dalam kalangan masyarakat, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, “dalam hal ini, perlu ada strategi jangka masa panjang dan pendek. Strategi jangka masa panjang antaranya adalah dengan melakukan perubahan pada sistem pendidikan dengan cara penyepadukan ilmu dengan akhlak, serta peranan keluarga dan masyarakat dalam mengekang penularan amalan rasuah.”

“Bagi strategi jangka masa pendek pula, kita perlu kepada pindaan undang-undang dan mekanisme kawalan yang memberikan impak yang besar kepada peribadi manusia,” tambah beliau.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.