Oleh Mubarak Ismail
10 Ogos 2021, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peristiwa hijrah telah memberikan panduan yang jelas tentang erti sebuah pengorbanan dan perubahan dalam pengukuhan integriti yang terpahat dalam lipatan sejarah. Sesungguhnya, menghayati hijrah berupaya membentuk akhlak dan peribadi mulia yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri dan integriti.

Dato’ Junipah Wandi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Junipah Wandi berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengubah pandangan terhadap peranan masing-masing dalam mendepani cabaran dan kemelut yang melanda negara.

Semua pihak juga perlu memikirkan cara dan kaedah untuk melakukan perubahan dalam menjayakan peranan serta tanggungjawab membudayakan integriti dan antirasuah secara lebih berkesan.

Beliau turut menyarankan supaya perubahan dapat dilakukan dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).

Beliau turut menyeru semua pihak khususnya Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) untuk melakukan perubahan dengan sentiasa berusaha mengukuhkan kompetensi, jati diri dan integriti.

Ahmad Sabri Mohamed, Presiden ACeIO.

Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO), Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi menyambut baik saranan Dato’ Junipah. Menurut beliau, banyak perubahan telah dibuat oleh ACeIO khususnya untuk membantu ahli persatuan. Bahkan dalam tempoh pandemik ini, ACeIO turut memanfaatkan kemudahan TMK dalam mengukuhkan jati diri dan kompetensi ahlinya melalui program serta aktiviti yang berkualiti. 

Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan untuk manfaat ahli ACelO adalah dengan mengadakan program seminar secara berkala, wacana dan perkongsian amalan terbaik integriti secara dalam talian.

ACeIO juga menerbitkan pelbagai berita dan artikel yang turut dikongsikan di laman sosial secara harian. Selain itu, ACeIO juga berkolaborasi dengan beberapa pihak termasuklah SPRM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penerbitan digital.

Ahmad Sabri turut berkongsi program serta aktiviti yang akan dilaksanakan oleh ACeIO. Antaranya termasuklah program simposium integriti dengan kerjasama kerajaan negeri dan persidangan antarabangsa secara kolaborasi dengan universiti.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua pihak agar mengambil semangat hijrah untuk bersama-sama ACeIO untuk melakukan perubahan dengan mengukuhkan kapasiti dan kebolehan berasaskan integriti serta mencipta kejayaan dalam pembudayaan integriti dan antirasuah di negara tercinta ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.