15 Ogos 2021, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala  Lumpur – Perpaduan nasional ialah perpaduan negara yang harus diamalkan oleh semua rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana perpaduan dapat menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa dalam satu negara.

Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, pada hari ini, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menganjurkan Forum Sejarah Kemerdekaan yang bertajuk “Mengimbau Sejarah Kemerdekaan Negara”. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Gerakan Pembela Ummah – UMMAH.

Forum ini menampilkan empat panel jemputan, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Dato’ Haji Mahamad Naser Disa; Profesor Undang-undang Perlembagaan di Kuliyah Undang-Undang, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong; Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Dr. Balanchandran Gopal Krishnan; Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu.

Sesi forum dimulakan oleh Prof. Dato’ Haji Mahamad Naser Disa yang memerihalkan berkaitan dengan Rukun Negara dalam konteks kemerdekaan. Menurut beliau, Rukun Negara yang sedia ada perlu diamalkan dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia dan bukannya sekadar dibaca.

Pematuhan prinsip Rukun Negara amat penting kerana perkara ini merupakan teras untuk negara mencapai kemerdekaan. Selain itu, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah prinsip keluhuran perlembagaan, iaitu rakyat mestilah menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menghormati perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Dr. Balachandran mengakui bahawa penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan negara sangat penting bagi memperkasakan perpaduan nasional dan kestabilan negara. Hal ini demikian kerana tahap perpaduan nasional masyarakat Malaysia masih berada pada tahap yang belum boleh dibanggakan.

Beliau juga menyeru agar semua rakyat belajar untuk menikmati kemerdekaan sebenar. Keadilan menjadi tonggak utama untuk rakyat menikmati kemakmuran. Beliau turut mengingatkan rakyat agar melakukan perkara yang betul dan bukan perkara yang popular tetapi salah.

Jangan sesekali menjadikan kebencian kepada sesuatu kaum itu menyebabkan berlakunya ketidakadilan. Jangan jadikan bangsa sebagai akidah perjuangan sebaliknya kita mestilah mendaulatkan undang-undang.

Dr. Teo Kok Seong pula berpendapat, dasar solidariti antara kaum sangat penting dalam sebuah etnik bagi mencapai kemerdekaan dalam masyarakat majmuk. Perjanjian etnik merupakan asas untuk mengurus perpaduan. Namun sayangnya, kontrak sosial ini menjadi pertikaian oleh sesetengah pihak.

Maka itu, kontrak sosial perlu diimbas bukan sahaja pada hari ulang tahun kemerdekaan, sebaliknya pada setiap masa dari satu generasi ke generasi akan datang.

Selanjutnya, forum yang dipengerusikan oleh Mohd Faizzuddin Mohd Zai ini beralih kepada panel jemputan keempat, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bagi membicarakan kepentingan generasi sekarang menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Prof. Datuk Seri Awang menyatakan bahawa erti kemerdekaan perlu dihayati dalam semua sektor termasuklah sektor pentadbiran dan pendidikan.

Pemahaman terhadap erti kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan “merdeka” semata-mata, malah rakyat perlu membina acuan pemikiran yang seiring dengan kemerdekaan yang dikecapi.

Dalam pada itu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang juga menyarankan agar kita perlu mengambil nilai positif daripada setiap bangsa dan tamadun serta janganlah meremehkan sejarah. Sentimen perkauman yang terlalu beremosi perlu dielakkan dan angkatlah nilai bersama sebagai kekuatan rakyat Malaysia supaya kita dapat menghayati kemerdekaan sebagai nikmat bersama.

Forum yang bersiaran langsung hampir tiga jam ini mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti UMMAH Peringkat Negeri, Pertubuhan Cakna Rakyat Malaysia, Pertubuhan Muafakat Belia Islam Malaysia, MyHawa, Irsyad Care, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Ulama’ Malaysia, Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmuan) dan Majlis Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.