Oleh Syaza Wardina
16 Ogos 2021, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti dan memperhalusi secara mendalam mengenai isu pertukaran guru yang telah berlarutan sejak sekian lama. Berdasarkan penelitian yang dibuat, satu garis panduan baharu telah disediakan bagi permohonan pertukaran guru,” demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran video di Facebook beliau hari ini.

Dr. Radzi memberitahu bahawa KPM telah menyiapkan garis panduan baharu pertukaran guru yang akan dibentangkan tidak lama lagi menerusi video yang dimuat naik di media sosial beliau.

Menurut beliau, garis panduan ini akan menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas 1975 Panduan bagi Pertukaran Guru-guru.

“Dalam garis panduan baharu ini, banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan, antaranya ialah kita akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun. Banyak lagi penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam konteks pertukaran guru ini yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Menerusi video yang berdurasi empat minit 29 saat itu, Dr. Radzi berkata, beliau menerima banyak permohonan berkaitan dengan pertukaran guru.

Ramai yang memohon agar pertukaran 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara sekali beri yang telah diumumkan oleh KPM. Sememangnya itulah hasrat KPM, iaitu sebelum kita menempatkan 18 702 orang guru baharu daripada pengambilan guru secara sekali beri ini, kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran guru bagi tahun 2021.

Namun begitu, menurut beliau, terdapat beberapa perkara penting yang diambil kira sebelum mempertimbangkan sebarang permohonan pertukaran.

Yang pertama ialah kekosongan jawatan dan yang kedua ialah keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

“Saya menyeru kepada guru sekalian supaya terus memberikan yang terbaik dan kita terus bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita,” ujar Dr. Radzi.

KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.