25 Ogos 2021, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemerkasaan komuniti merujuk proses membantu komuniti mengemudi hidup mereka. Melalui pemerkasaan dan pendayaupayaan, mereka mampu membuat keputusan untuk menggembleng sumber demi kemajuan dan kesejahteraan diri. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada perkara lain yang boleh memperkasakan hidup individu secara kukuh selain diri individu tersebut.

Konsep memperkasakan komuniti digunakan dalam pengurusan sumber asli seperti yang dihujahkan oleh pemenang Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi pada tahun 2009, Elinor Ostrom. Menurut beliau, pendayaupayaan komuniti ialah strategi untuk mengelakkan berlakunya tragedi kehausan sumber alam atau tragedy of the commons. Menurut beliau, komuniti merupakan penjaga terbaik sumber asli di lokasi masing-masing, seperti ikan, sungai, rimba, biodiversiti dan sebagainya.

Begitu pun, cabaran pada hari ini menyaksikan komuniti berperanan besar untuk menyelamatkan kelompok komuniti sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana dunia kini dilanda bencana kesihatan yang terburuk dalam sejarah manusia apabila wabak COVID-19 melanda dunia.  Sehingga makalah ini ditulis, sebanyak lebih empat juta kematian dicatatkan di seluruh dunia dengan kes aktif mencecah 212 juta.

Malaysia tidak terkecuali, malah sebelum ini Malaysia membuktikan kejayaan yang cemerlang dalam membendung penularan pandemik COVID-19 terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Malaysia hampir meniti keluk kumulatif mendatar pada Julai hingga Ogos 2020 apabila kes baharu harian kurang daripada 10 kes.

Namun begitu, pada awal tahun 2021, sehingga makalah ini ditulis, kes COVID-19 di negara ini menyaksikan peningkatan yang amat membimbangkan. Kadar kematian juga meningkat dengan ketara. Melihat kepada apa-apa yang berlaku pada hari ini, usaha memerangi  jangkitan COVID-19 secara menyeluruh di seluruh negara ternyata belum sepenuhnya berhasil. Meskipun hingga 22 Ogos 2021, sebanyak 55.6 peratus atau 13 022 246 rakyat di negara ini sudah lengkap menerima vaksin COVID-19, namun rakyat seharusnya tidak alpa dan terus melaksanakan tanggungjawab untuk membantu kerajaan memutuskan penularan COVID-19.

Maka itu, penularan COVID-19 boleh dibendung pada tahap individu dengan cara individu tersebut sendiri perlu mengawal diri mereka, keluarga, komuniti dan negara. Hal ini bererti, jika setiap komuniti mengawal dan memantau tahap kesihatan setiap anggota dalam komuniti, nescaya penularan pandemik ini akan dapat dikawal pada tahap yang minimum.

Strategi memperkasakan komuniti ini akan menggenapi polisi membanteras COVID-19 kerajaan, iaitu polisi atas-bawah (top-down) daripada kerajaan akan disempurnakan secara bawah-atas (bottom-up) dengan kerjasama daripada unit kecil komuniti. Penyambung dua pihak ini merupakan pemerkasaan komuniti dan nyahpusat kuasa kepada komuniti untuk memantau kawasan masing-masing.

Dalam hal ini, individu akan lebih memahami masalah dan kekangan yang dihadapi berbanding dengan orang lain, lantas mereka lebih bijak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sementara itu, ketua setiap komuniti akan lebih memahami dan mengetahui dengan rapat semua isi rumah di kawasan yang diwakili. Kebaikannya ialah komuniti akan menangani situasi mereka dengan lebih cekap kerana mereka bertanggungjawab terhadap anggota mereka terutama anak-anak dan orang tua. Mereka lebih tahu penyelesaian yang menepati keperluan mereka berbanding dengan pihak yang memberikan arahan dari atas, melalui agensi pusat, kemudian disalurkan ke tahap negeri, wilayah, daerah, mukim dan kampung. Jedanya panjang dan mungkin agak lambat sampai kepada mereka yang memerlukan. Hal ini bermakna, ketua komuniti bersama-sama ketua isi rumah boleh memantau dan mengenal pasti individu yang bermasalah dan dengan pantas mengambil tindakan yang diperlukan. Dalam hal ini, komuniti diberikan kuasa untuk melaksanakan apa-apa juga tindakan yang terbaik untuk komuniti mereka kerana penyelesaian dalaman ada kalanya lebih berkesan daripada penyelesaian yang diberikan oleh individu atau orang asing dan agensi luar.

Kaedah ini juga mengurangkan kos ketirisan dan juga kos pentadbiran kerajaan. Dalam hal ini, komuniti akan berusaha sesama sendiri menyelesaikan masalah mereka dan perkara ini akan dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Kejayaan program memperkasakan komuniti ini bergantung pada pangkalan data yang lengkap mengenai profil setiap keluarga terutamanya demografi dan kesihatan. Data ini sepatutnya dikemas kini dari semasa ke semasa. Dengan kata lain, program ini bererti cari, uji, jejaki, asingkan dan bantu, atau FTTIS (find, test, trace, isolate and support) dilaksanakan pada tahap unit yang paling mikro sama ada kampung, atau seksyen di kawasan bandar dan sebagainya. Data ini perlu dianalisis sentiasa dan diambil tindakan dengan segera.

Mungkin komuniti perlu bermesyuarat bagi memikirkan bagaimana untuk melaksanakan FTTIS yang lancar dan pantas, serta langkah sokongan yang perlu dilaksanakan supaya tiada individu yang tertinggal. Untuk itu, kerajaan tempatan atau negeri dan negara perlu memberikan sokongan dana dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi. Selain itu, unit komuniti tersebut perlu dibantu oleh pentadbiran daerah, negeri dan negara apabila diperlukan. Khidmat perlulah bergerak dengan pantas untuk membolehkan komuniti berfungsi dengan lebih efektif. Hal ini bermakna program ini memerlukan penyatuan semua pihak daripada ahli keluarga sehingga kerajaan.

Semua program yang dirangka untuk memutuskan rantaian pandemik ini pastinya akan berhadapan cabaran dan rintangan. Namun begitu, semua perjalanan haruslah bermula dengan langkah yang pertama. Langkah ini mungkin kecil, tetapi satu permulaan yang besar dalam memperkasakan individu, komuniti, negeri dan negara. Sudah tiba masanya, rakyat dilatih untuk bertanggungjawab ke atas kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat kerana hingga kini belum ada tanda-tanda COVID-19 akan lenyap buat selama-lamanya dan untuk itu, kita perlu melatih diri untuk bijak hidup bersama-sama virus ini.


Penulis ialah Ketua, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan (Akademi Profesor, Malaysia); Felo Senior, IDEAS; dan Felo Penyelidik, Universiti Putra Malaysia.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi