25 Ogos 2021, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu, Kelantan – Dato’ A. Aziz Deraman, yang merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) menyuarakan ketidakselesaannya berikutan kurangnya pelibatan dan penyertaan pelbagai kaum dalam beberapa kegiatan dan upacara sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Malaysia saban tahun.

“Kita hanya dapat menyaksikan penyertaan pelbagai kaum semasa hari perbarisan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Hal ini demikian kerana adanya pelibatan dalam kalangan kanak-kanak atau pelajar sekolah. Kenapa senario ini terjadi? Apakah kemerdekaan tidak dihayati secara menyeluruh ataupun semangat patriotisme bangsa Malaysia itu belum sampai ke tahap yang tinggi?”

Beliau berkata demikian ketika diundang sebagai panel dalam program “Wacana Peradaban: Semangat Patriotisme, Pedulikah Anak Muda?” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama PERADABAN yang berlangsung pada 25 Ogos 2021.

Patriotisme tidak semestinya difahami sebagai hak milik orang Melayu dan etnik peribumi serumpun di Sabah dan Sarawak sahaja. Semangat patriotisme seharusnya menjadi milik bersama merentasi kaum, etnik dan suku bangsa, tegas beliau.

Menurut Dato’ Aziz lagi, minda bebas golongan generasi muda semacam mahu segala-galanya menyamai Barat, bebas dalam semua perkara termasuklah menerima ideologi LGBT (lesbian, gay, biseksual, transjantina), pluralisme, liberalisme, hedonisme dan seumpamanya. Itukah makna merdeka buat mereka?

Soal beliau lagi, tidak terfikirkah kita bahawa nilai-nilai sedemikian akan menyebabkan akal budi bangsa boleh terperosok ke jurang bahaya yang akan menimbus nilai-nilai murni bangsa sendiri yang dilandasi agama dan budaya? Maka tidakkah boleh pihak berkuasa mengambil tindakan membendungnya berdasarkan penguatkuasaan undang-undang dengan tegas agar tuntutan agama, nilai-nilai kebudayaan kebangsaan dan erti kemerdekaan itu kekal dipertahankan?

Dato’ Aziz mengingatkan generasi baharu agar dapat mereformasi akal budi dan penghayatan makna kemerdekaan dan patriotisme secara meluas dan mendalam.

Permainan politik yang berlebihan dan perpecahan sesama sendiri hanya akan membuka pintu besar kepada strategi halus musuh. Tidak mustahil sesebuah negara boleh terjajah semula. Algojo politik yang tidak dapat mengawal nafsu dan emosi yang membuak mahukan kekuasaan sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk memperoleh kuasa atau menumbangkan pemerintah. Hal ini boleh terjadi di mana-mana jua termasuklah Malaysia.

Beliau turut menyeru agar nikmat kemerdekaan seharusnya benar-benar dihayati dengan rasa penuh kesyukuran. Pengisian sambutan hari kemerdekaan atau hari kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun patut meresapi jiwa nurani bangsa.

Dengan semangat patriotisme, sesuatu bangsa akan memungkinkan penciptaan kegemilangan bangsa dalam semua bidang termasuklah dalam gerakan intelektualisme, daya cipta, sains dan teknologi apabila budaya kreativiti dan inovasi menjadi sebahagian daripada nilai transformasi bangsa Malaysia.

Sekiranya penghayatan kemerdekaan itu menipis, bermakna akal budi bangsa masih berada di bawah pengaruh imperialisme budaya (cultural imperialism) dan penjajahan minda asing.

Dato’ Aziz menekankan bahawa dalam aspek sosiobudaya, para orientalis mengatakan ada tiga cara jika mahu meruntuhkan sesebuah peradaban bangsa,  iaitu runtuhkan institusi kekeluargaan, runtuhkan sistem pendidikan dan jatuhkan pemimpin yang berwibawa. Musuh kepada bangsa Malaysia akan selalu mengintai peluang melemahkan tiga kekuatan yang ada ini, selain melemahkan pemerintahan dan pentadbiran negara, merosakkan jalan politik dan ekonomi atau memusnahkan kesejahteraan sosial dan budaya.

Kemerdekaan itu adalah untuk Malaysia dan semua lapisan rakyatnya, terutamanya generasi muda. Kita mengharapkan anak-anak muda Malaysia peduli dan prihatin terhadap isu-isu patriotisme.

Rakyat dan generasi muda Malaysia harus membalas pengorbanan generasi terdahulu dengan berbakti kepada negara agar Malaysia tetap aman sejahtera, makmur dan harmoni.

Dengan prinsip “Kesatuan dalam Kepelbagaian” yakni sifat pelbagai kaum atau etnik, agama, kepercayaan, budaya, adat resam, bahasa dan dialek, bahkan berbeza fahaman pegangan politik sekalipun, rakyat Malaysia mesti bersama-sama mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sesi wacana peradaban yang dipengerusikan oleh Mohd Azizi Zainudin (Mr. Librarian), Pustakawan Kanan PPAK boleh ditonton sepenuhnya melalui Facebook Perpustakaan Awam Kelantan dan saluran media sosial DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.