Oleh Mubarak Ismail
26 Ogos 2021, 23:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala  Lumpur – Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Akademi Dr Har telah menganjurkan forum Bicara Merdeka: Saya Anak Malaysia Siri 4 dengan tajuk “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh” pada 26 Ogos 2021 (khamis) pukul 9.30 malam. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi platform Facebook dan YouTube Akademi Dr Har.

Forum ini menampilkan dua panel jemputan, iaitu Dato’ Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dan Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Syed Umar Sadique Syed Ab Rahman (Marc Sadique) selaku pempengaruh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Manakala Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Hj Siraj selaku moderator forum.

Tujuan forum diadakan adalah untuk mengupas tentang perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sesi forum dimulakan oleh Dato’ Goh yang menghuraikan tentang tiga asas perpaduan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, iaitu melalui pengamalan, penguatkuasaan dan pelaksanaan prinsip Rukun Negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kefahaman tentang pemaknaan yang terdapat pada Jalur Gemilang sebagai bendera negara.

Beliau turut menekankan bahawa konteks perpaduan perlu diamalkan, dihayati, disemai dan dipupuk dalam kehidupan seharian oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, bangsa dan agama. Bahkan semua rakyat Malaysia wajib mempelajari dan memahami sejarah negara demi mengukuhkan jati diri dan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa. “Manusia yang tidak menghormati dan tidak menghargai sejarah pasti akan tidak menghormati dan tidak menghargai negara,” jelas Dato’ Goh.

“Perpaduan harus dicungkil dari sanubari setiap individu. Antara kaedah terbaik bagi mewujudkan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia adalah menerusi platform kebudayaan dan sukan seperti tradisi pantun, sukan bola sepak, badminton dan berbasikal” ujar Dato’ Goh.

Menurut Dato’ Goh, budaya negara luar yang baik boleh diambil sebagai teladan, namun jati diri rakyat Malaysia mesti dipelihara dan dipertahankan untuk kelangsungan identiti generasi masa depan.

Marc Sadique pula berkata, dua teras utama yang mempengaruhi perpaduan rakyat di Malaysia adalah sifat bertanggungjawab terhadap negara dan toleransi antara kaum. Jika kedua-dua sifat ini tidak dipraktikkan dan dijadikan sebagai rutin kehidupan, maka perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum yang dikecapi selama ini akan bercerai dan roboh jika masing-masing hanya mementingkan diri sendiri dalam semua perkara.

Beliau juga menyeru agar semua rakyat Malaysia belajar untuk menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Saling hormat-menghormati antara kaum menjadi tonggak utama untuk rakyat menikmati kemakmuran.

“Generasi muda harus menimba ilmu dan pengalaman daripada generasi yang lebih tua sebagai pedoman, bimbingan dan panduan bagi membina dan mengukuhkan perpaduan. Tanpa pengorbanan, ilmu dan pengalaman generasi yang terdahulu sebagai bimbingan, generasi muda pada masa kini pasti akan tersasar jauh dan tersilap jalan untuk mencapai matlamat perpaduan yang diimpikan,” tutur Marc Sadique.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.