Oleh Mubarak Ismail
29 Ogos 2021, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program ambang merdeka dengan tajuk “Demi Lencana di Dada” pada 29 Ogos 2021 (Ahad) pukul 2.30 petang. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi platform media sosial DBP seperti Facebook, Twitter dan JendelaDBP.

Forum ini menampilkan dua panel jemputan, iaitu Datuk Lee Chong Wei, bekas atlet badminton negara serta Dato’ Mirnawan Datuk Haji Nawawi, bekas atlet hoki negara. Manakala Rusdi A. Rahman dari DBP selaku moderator program.

Tujuan program diadakan adalah untuk mengupas tentang tanggungjawab membawa nama dan maruah negara dalam arena sukan di peringkat antarabangsa. Program dimulakan oleh Datuk Lee yang menghuraikan tentang empat teras utama untuk menjadi seorang atlet sukan yang berjaya, iaitu melalui disiplin diri yang tinggi, hormat dan patuh pada setiap arahan jurulatih, sanggup berkorban masa dan tenaga serta sentiasa bersabar menempuh segala ujian yang hadir.

Sukan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia menjadi sebuah keluarga dengan satu identiti dan jati diri. Melalui sukan juga, segala jurang perbezaan dapat diketepikan demi mencapai satu impian dan matlamat yang sama.

Datuk Lee turut menekankan bahawa sukan merupakan antara platform terbaik bagi membina dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Sukan sebagai teras perpaduan negara perlu diamalkan, dihayati, disemai dan dipupuk dalam kehidupan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, bangsa dan agama.

Menurut Dato’ Mirnawan pula, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Tidak ada kejayaan yang boleh dicapai melalui jalan pintas serta tanpa sebarang pengorbanan.

Menurut beliau lagi, atlet perlu sentiasa muhasabah diri, memotivasikan diri serta menetapkan matlamat dan sasaran kejayaan yang ingin diperoleh. Bahkan atlet perlu mengorbankan masa lapang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, masa rehat dan perlu melalui fasa kesakitan dan kepenatan demi menjadi atlet yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

Menyarung lencana jalur gemilang di dada merupakan satu amanah memikul maruah negara. Melalui sukan, seorang atlet berupaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan matlamat yang sama, iaitu menjulang dan memartabatkan nama dan maruah negara Malaysia dalam kejohanan sukan yang diceburi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.