Oleh Syaza Wardina
31 Ogos 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada hari ini, kita menyambut 64 tahun kemerdekaan negara dengan serba kekangan tatkala negara dilanda pandemik COVID-19. Ketika sebahagian besar rakyat khususnya anggota barisan hadapan bergadai nyawa bergelut menghadapi pandemik, ada juga segelintir yang masih rakus menggadai maruah demi memuaskan nafsu haloba sehingga menjejaskan kestabilan negara.

Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, cabaran dan tanggungjawab kita pada hari ini pada hakikatnya bukan sekadar memutuskan rantaian penularan COVID-19, malahan kita juga perlu berdepan dengan cabaran serta tanggungjawab memutuskan rantaian rasuah yang gelombangnya semakin kuat melanda.

Tambah beliau, “sebagai rakyat yang prihatin dan cinta akan negara ini, kita perlu bersama-sama memenangi perjuangan melawan COVID-19 dan juga memenangi perjuangan membebaskan negara daripada ancaman rasuah.”

Rasuah bukan sahaja jenayah yang keji, malahan umpama wabak yang membarah. Seperti pandemik COVID-19 yang melanda, jika dibiarkan, rasuah juga bukan setakat memberikan kesan buruk kepada peribadi, keluarga dan organisasi malahan juga akan mengancam keselamatan dan meruntuhkan negara yang tercinta ini.

Menurutnya, pihak kerajaan termasuk SPRM seperti anggota barisan hadapan melawan Covid-19 yang turut bertungkus lumus mencari mekanisme terbaik serta lebih efektif dalam menangani jenayah rasuah yang menular di negara ini. Antara mekanisme terbaik yang boleh menjadi vaksin kepada gejala rasuah adalah melalui Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sepertimana Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 Siri 1 No. 1 Tahun 2011.

CeIO yang dilatih di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menjadi vaksin harapan kerajaan dan SPRM untuk memutuskan rantaian rasuah dengan membudayakan integriti dan antirasuah dalam masyarakat. Malah, CeIO boleh berperanan sebagai kunci komunikasi kepada SPRM dalam menghubungkan dan menyebarluaskan mesej antirasuah khususnya di organisasi masing-masing. Peranan CeIO amat penting kepada SPRM apatah lagi modul latihan yang diberikan kepada CeIO di MACA tidak jauh berbeza daripada latihan dan kompetensi yang diberikan kepada pegawai SPRM sendiri.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan CeIO untuk dinaungi, dipantau dan dikawal selia keberkesanan serta tingkah laku secara berterusan khususnya di lapangan supaya tidak mencemari profesion integriti dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Menurutnya, penubuhan serta peranan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia pula amat dialu-alukan dalam membantu kerajaan dan SPRM menunaikan amanah ini. Sehubungan dengan itu, beliau amat mengharapkan ACeIO terus berkerjasama rapat dengan SPRM khususnya dalam tadbir urus, pengukuhan jati diri dan pembangunan kompetensi CeIO secara berterusan.

Mengambil semangat kemerdekaan, Dato’ Sri Shamshun Baharin menaruh harapan tinggi untuk semua pihak termasuk CeIO dan ACeIO agar dapat bersama-sama kerajaan dalam pemulihan segera negara daripada kesan pandemik yang melanda. Beliau juga berharap semua pihak khususnya ACeIO untuk bersama-sama SPRM berjuang membebaskan negara daripada gejala rasuah.

Beliau yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai awam pada 1 September 2021 menyeru seluruh Keluarga Malaysia supaya lebih prihatin untuk hidup harmoni dengan jati diri yang kukuh serta mengamalkan dan membudayakan nilai murni serta integriti secara berterusan. Beliau bertekad dan mengajak semua pihak khususnya CeIO dan ACeIO untuk bersama-sama SPRM meneruskan perjuangan memerdekakan negara daripada ancaman rasuah demi untuk melihat Malaysia tercinta ini kekal berdaulat dan diurus tadbir dengan penuh berintegriti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.