Oleh Syaza Wardina
1 September 2021, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ‒ Dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, perlu ada pembudayaan pembacaan dalam kalangan masyarakat. Dalam usaha ke arah itu, pada hari ini, Bahagian Majalah di bawah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan program bertajuk “Forum Membudayakan Pembacaan Majalah DBP” secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Forum ini memberikan fokus terhadap cara membudayakan pembacaan majalah DBP, di samping mendapatkan maklumat, pandangan dan cadangan bagi menambah baik aspek kandungan dan kaedah penyampaian majalah. Program ini juga diadakan selaras dengan peranan DBP dalam usaha membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuklah sains dan teknologi.

Sesi perkongsian secara tertutup yang berlangsung selama dua jam setengah ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Pensyarah di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Noor Merican yang lebih dikenali sebagai A Murad Merican dan Presiden Gerakan Penulis Malaysia, Zamri Mohamad, serta Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar sebagai moderator.

Antara perkara utama yang menjadi isu perbincangan termasuklah budaya membaca serta pemilihan bentuk bahan bacaan dalam kalangan rakyat Malaysia, usaha untuk menggalakkan amalan membaca, serta cadangan penambahbaikan majalah DBP bagi menarik minat golongan pembaca.

Menurut A Murad Merican, tanggungjawab untuk menggesa masyarakat agar membudayakan amalam membaca terletak pada semua pihak termasuklah keluarga, pendidik, pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), universiti serta sentimen masyarakat secara umum.

Tanya pada diri, apakah bahan bacaan yang kita baca?

Menurut beliau, “jenis bahan bacaan bergantung pada minat individu itu sendiri. Setiap masyarakat perlu peka terhadap objektif bacaan masing-masing dan bentuk bahan bacaan bagaimana yang boleh mencetuskan pemikiran dan perdebatan, serta memantapkan idea mereka untuk berdebat.”

Tambah A Murad Merican, “dalam membudayakan amalan membaca, perlu ada strategi mantap yang terletak pada penerbit buku, dan dalam konteks forum ini ialah penerbit majalah. Apa-apa yang penting, pembaca perlu mengenali kewujudan buku dan majalah itu sendiri.”

Forum Membudayakan Pembacaan Majalah DBP menjadi platform perkongsian ilmu antara ahli panel dengan karyawan khususnya dari Jabatan Penerbitan DBP.

Membicarakan mengenai nilai bahan bacaan, Zamri Mohamad berkata, “dari segi nilai, kita perlu meneliti apakah perkara yang dilihat oleh pembaca? Ada yang membaca kerana ingin mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, dan ada yang membaca sebagai sumber hiburan.”

Sesuatu bahan penerbitan itu, biar sedikit, asalkan menjadi dan memberikan kesan terhadap pembacanya.

Dalam pada itu, Zamri turut berkongsikan pandangan peribadi beliau mengenai strategi pemasaran dan kaedah untuk menjadikan sesuatu bahan penerbitan lebih menarik. Antaranya, kata beliau, “jadikan kandungan bahan lama sebagai sesuatu yang segar untuk dibaca oleh generasi baharu.”

Turut hadir dalam forum ini ialah barisan kepimpinan DBP, antaranya Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Haji Md. Johari Hasan, Pengarah Jabatan Penerbitan, Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, serta ketua bahagian dan ketua editor dari Jabatan Penerbitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.