Oleh Habsah Abby
7 September 2021, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini meneruskan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari seluruh Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan merupakan negeri ketiga yang dihadiri oleh KPM untuk sesi libat urus berhubung dengan persekolahan pelajar.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sesi libat urus ini, KPM mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah tentang sesi persekolahan di negeri yang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Perkara ini penting dalam membantu KPM memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah,” ujar YB Dr. Radzi menerusi hantaran di media sosial beliau.

Tambah beliau, “segala saranan dan cadangan yang dilontarkan dalam sesi libat urus ini akan kami teliti dan perhalusi. Apa-apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara.”

Dalam satu hantaran lain, YB Dr. Radzi berkata, “sebelum memulakan sesi ketiga libat urus pada hari ini, saya mengadakan mesyuarat secara maya bersama-sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).”

Mesyuarat dalam talian bersama-sama Pengerusi SPP turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi KPM dan SPP.

“Dalam mesyuarat tersebut, perkara utama yang dibincangkan adalah mengenai status pengambilan khas 18 702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara sekali beri,” tambah YB Dr. Radzi.

“Saya yakin, SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) sentiasa komited untuk membantu KPM dalam mempercepat pengisian kekosongan jawatan guru. Usaha ini akan dapat melancarkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.