Oleh Mubarak Ismail
12 September 2021, 19:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membuka semula semua Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mengikut fasa bagi setiap negeri,” ujar Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang medianya pada petang ini.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi, semua IPG di negeri yang terletak dalam Fasa Satu dan Fasa Dua perlu melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Manakala IPG yang terletak di negeri Fasa Tiga dan Fasa Empat pula akan mula dibuka untuk sesi PdP secara bersemuka pada 7 atau 8 November akan datang.

Di samping itu, pelajar yang telah lengkap divaksin sebanyak dua dos diberi pilihan sama ada untuk datang ke kampus bagi mengikuti sesi PdP secara bersemuka ataupun melakukan sesi PdPR (PdP Hibrid). Bagi pelajar yang belum divaksin dan belum lengkap divaksin sepenuhnya pula perlu mengikuti sesi kelas secara PdPR.

Pelajar yang terlibat merangkumi pelajar Program Diploma Perguruan Malaysia (PDPM), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP).

Selain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa sebanyak 88.56 peratus guru sekolah sudah melengkapkan dua dos vaksin dan dos pertama mencatatkan jumlah 97.46 peratus setakat 11 September 2021. Hal ini diikuti dengan 83.38 peratus anggota kakitangan perkhidmatan (AKP) sekolah melengkapkan dua dos vaksin dan 96.96 peratus untuk dos pertama. 74.90 peratus Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) telah melengkapkan dua dos vaksin dengan 90.59 peratus menerima dos pertama, manakala sekitar 2500 orang guru sahaja yang tidak mahu divaksin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.