Oleh Syaza Wardina
12 September 2021, 22:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berhubung dengan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini, KPM menerusi Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan fasa yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam Sidang Media Pengoperasian Sekolah yang diadakan pada pukul 3.00 petang hari ini, KPM memaklumkan, ketetapan pembukaan sekolah sama ada menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi negeri Fasa Satu, Dua dan Tiga PPN akan dilaksanakan bermula pada 3 Oktober hingga 10 Disember 2021 bagi negeri Kumpulan A; dan pada 4 Oktober hingga 11 Disember 2021 bagi negeri Kumpulan B.

YB Dr. Radzi berkata, bagi negeri yang berada dalam kelompok Fasa Satu PPN, semua institusi pendidikan ditutup dan segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan menerusi kaedah PdPR.

“Sementara itu, bagi negeri Fasa Dua PPN, semua institusi pendidikan sekolah rendah ditutup dan pelaksanaan sesi PdP dilakukan secara PdPR sahaja, kecuali bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan hadir tanpa penggiliran,” jelas YB Menteri Kanan Pendidikan.

Bagi murid sekolah menengah pula, beliau menjelaskan, hanya murid tingkatan enam semester dua; International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun dua; Program Prauniversiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia; MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) serta PPKI; dan murid kelas peperiksaan antarabangsa akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran. Tambah YB Dr. Radzi, “murid prasekolah, tadika swasta, pusat perkembangan minda berumur empat hingga enam tahun serta sekolah kurang murid, iaitu kapasiti kurang daripada 150 orang murid juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.”

Bagi negeri Fasa Tiga PPN, semua institusi pendidikan di bawah KPM dibuka secara berperingkat, tertakluk kepada ketetapan KPM dan penilaian risiko oleh pihak yang berkenaan. Kebenaran pembukaan sekolah di negeri Fasa Tiga PPN akan diluaskan terhadap murid prasekolah dan tadika swasta. Jelas YB Dr. Radzi lagi, “bagi peringkat sekolah menengah, kebenaran diberikan kepada murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah awam dan swasta untuk hadir secara penggiliran. Sementara itu, murid prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia dan kelas peperiksaan awam di sekolah asrama penuh pula akan hadir tanpa penggiliran.”

Bagi negeri Fasa Empat PPN pula, semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya, tertakluk kepada penilaian risiko semasa. Hal ini dirumuskan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan seperti pada rajah berikut:

Rajah 1 Rumusan Pembukaan Sekolah Rendah di Negeri Fasa Empat PPN.

 

Rajah 2 Rumusan Pembukaan Sekolah Menengah di Negeri Fasa Empat PPN.

 

 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, sesi persekolahan bagi negeri atau kawasan yang terlibat dengan program gelembung pelancongan atau travel bubble akan mengikut sesi pembukaan sekolah mengikut Fasa Empat PPN. Menurut YB Dr. Radzi, “keputusan ini dibuat selaras dengan pembukaan semua sektor ekonomi dan pelancongan di negeri yang berkenaan. Sebagai contoh di Langkawi, sekolah di kawasan tersebut akan dibuka sebagaimana sekolah di negeri Fasa Empat PPN.”

Dalam sidang media tersebut, YB Dr. Radzi turut berkata, sesi persekolahan bagi tahun 2021 akan dilanjutkan hingga Mac 2022. Hal ini bermakna, sesi persekolahan bagi tahun 2022 hanya akan bermula pada Mac tahun tersebut. Walau bagaimanapun, kemasukan murid tahun satu bagi sesi persekolahan tahun 2022 pula akan bermula pada April 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.