Oleh Aisyah A.
14 September 2021, 23:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ‒ Rancangan Sembang Tamu bertajuk “Menelusuri Tarikh Keramat 16 September” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan secara dalam talian menerusi laman media sosial DBP pada hari ini, bertujuan untuk mengimbau kembali sejarah pembentukan Malaysia.

Rancangan yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke-58 pada 16 September 2021 ini menampilkan Profesor Dr. Kassim Thukiman, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Warisan Johor dan Ahli Majlis Jemaah Diraja Johor serta Dr. Mardiana Nordin yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya dan penulis buku teks Sejarah tingkatan dua sebagai ahli panel dan Tuan Ghani Abu sebagai moderator.

Moderator dan barisan ahli panel program “Menelusuri Tarikh Keramat 16 September”.

Prof. Kassim menjelaskan perlunya memahami konsep sejarah sebelum menceritakan asal usul pembentukan Malaysia.

Daripada sejarah, terdapat penyelidikan. Sejarah melibatkan pemikiran, peradaban Tanah Melayu serta melibatkan masa lalu dan masa kini.

Beliau meneruskan dengan menceritakan secara mendalam garis masa bermula penjajahan Portugis pada tahun 1511 menuju hari pembentukan Malaysia pada September 1963. Idea pembentukan Tanah Melayu dinyatakan oleh Malcolm MacDonald yang berpendapat untuk menyatukan negeri-negeri yang dijajah oleh British termasuk Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei selepas perang Dunia kedua.

Dr. Mardiana pula menegaskan bahawa Pembentukan Malaysia berlaku dengan penuh liku, drama dan emosi kerana Tunku Abdul Rahman pada masa itu bekerja keras mengambil kira pendapat, pandangan dan cita-cita pelbagai pihak sebelum niat pembentukan Malaysia dibawa ke United Nation. Jawatankuasa Setiakawan Malaysia (JKNM) dan Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan bagi menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei dan tujuan utama penerangan ini dijalankan adalah untuk mengurangkan dan mengelakkan salah faham tentang penubuhan Malaysia.

Pembentukan Malaysia dirancang untuk diadakan sama dengan Hari Kemerdekaan Malaysia, iaitu 31 Ogos, namun, laporan United Nations Malaysia Mission (UNMM) telah dikeluarkan pada bulan September. Maka itu, tarikh keramat 16 September telah dipilih.

Pembentukan Malaysia bukanlah deklarasi satu malam, tetapi melalui beberapa episod penting seperti masalah politik dan kemerosotan pengaruh Lee Kuan Yew; masalah komposisi kaum terutama di Sabah dan Sarawak; isu pembangunan wilayah; serta kewibawaan Tunku Abdul Rahman.

“Pada 9 Ogos 1965, Tunku memutuskan untuk mengeluarkan Singapura dari Malaysia kerana kerenah politik dan perkauman yang telah menguji kesabaran beliau,” tambah Dr. Mardiana.

Mengulas cabaran pascapembentukan Malaysia, kedua-dua pakar sejarah ini bersetuju bahawa mengekalkan kemerdekaan adalah jauh lebih mencabar berbanding dengan memperolehinya.

“Sebelum merdeka, matlamat kita adalah satu ‒ kita inginkan kemerdekaan. Namun demikian, selepas kemerdekaan, kita menghadapi pelbagai isu dan sentimen. Hal ini merupakan satu cabaran dalam melihat diri kita sebagai satu warganegara”, ujar Dr. Mardiana apabila berbicara tentang isu kenegerian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Asia Tenggara merupakan kawasan paling strategik dan paling rapuh keselamatannya. Oleh itu, generasi muda khususnya perlu menjiwai kemerdekaan, mencintai Malaysia kerana di sini lahirnya sebuah cinta”, ujar Prof. Dr. Kassim menyeru generasi baharu untuk sering menghayati kedamaian yang dikecapi pada hari ini dan bukan hanya dalam tempoh sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Tonton rancangan “Menelusuri Tarikh Keramat 16 September” di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.