Oleh Syaza Wardina
14 September 2021, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berikutan pengumuman pengoperasian sekolah pada Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Radzi Jidin memperjelas mengenai pembukaan sesi persekolahan pada 3 Oktober akan datang.

Menerusi video yang dimuat naik di media sosial beliau pada malam 13 September 2021, YB Dr. Radzi berkata, “saya memantau maklum balas daripada pengumuman pembukaan semula sekolah, semalam (Ahad). Daripada maklum balas tersebut, didapati ada yang masih menganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Oktober. Secara umumnya, saya kongsikan mengenai pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Radzi Jidin memberikan penjelasan mengenai pembukaan semula sekolah menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosial beliau.

“Bagi negeri Fasa Satu PPN, tiada sekolah dibuka,” kata beliau.

Tambah YB Dr. Radzi, “untuk negeri Fasa Dua PPN, bagi sekolah rendah, hanya Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan masuk ke sekolah. Kemudian, untuk sekolah menengah, hanya murid Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semester dua yang akan ke sekolah kerana mereka akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober nanti.”

“Bagi negeri Fasa Tiga PPN, selain murid MBK di SKPK dan PPKI, kita juga akan masukkan murid prasekolah ke sesi persekolahan secara bersemuka. Untuk sekolah menengah pula, selain murid STPM semester dua, semua murid tingkatan lima dan murid STPM yang lain akan hadir ke sekolah,” ujar YB Dr. Radzi.

Dalam video tersebut, beliau turut berkata, “di negeri Fasa Empat PPN, untuk dua minggu pertama, iaitu pada 3 hingga 17 Oktober 2021, murid yang akan berada di sekolah rendah sama seperti murid di negeri Fasa Tiga PPN. Hanya selepas 17 Oktober, kita akan tambah kehadiran murid tahun satu, dua dan tiga. Kemudian, pada 31 Oktober, murid tahun empat, lima dan enam pula akan hadir ke sekolah.”

“Bagi sekolah menengah pula, kehadiran murid juga sama seperti negeri Fasa Tiga PPN untuk tempoh 3 hingga 17 Oktober 2021. Selepas 17 Oktober, murid yang akan masuk ke sekolah ialah murid tingkatan tiga dan empat. Selepas itu, bermula pada 31 Oktober, murid tingkatan satu dan dua pula akan menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka. Begitulah keadaannya,” ujar YB Dr. Radzi.

Menerusi hantaran video tersebut, beliau turut menjelaskan, “… kemasukan murid dan pelajar ke sekolah dilaksanakan demi memastikan anak-anak kita terus rapat dengan sekolah, dan mereka dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.