14 September 2021, 08:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Media Pengoperasian Sekolah yang berkaitan dengan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin kelmarin mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Dewan Masyarakat berpeluang untuk bertanyakan pandangan beberapa orang pakar tentang persediaan dari pelbagai sudut yang melibatkan semua pihak sama ada murid, ibu bapa mahupun guru.

Encik Sukimin Juki, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Encik Sukimin Juki, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia.

Saya menyokong dan bersetuju dengan usaha yang dikemukakan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan untuk mendekatkan semula murid dengan sekolah setelah sekian lama berenggang. Hal ini demikian kerana usaha ini berkait rapat dengan pembangunan kognitif murid mengikut peringkat umur. Kita sedia maklum pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan kaedah yang diguna pakai ketika ini. Namun kekangan yang pelbagai menyebabkan tidak semua murid dapat mengikuti PdPR ini sepenuhnya. Kekangan ini menjadi cabaran terbesar bagi guru dan murid. Hal inilah yang membuatkan KPM mengambil pendekatan mengadakan sesi persekolahan secara bersemuka pada Oktober nanti.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Mejar Bersekutu (PA) Wang Heng Suan turut berpandangan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka merupakan harapan para guru kerana fitrah seorang guru yang lebih selesa berhadapan secara langsung dengan anak didik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Mejar Bersekutu (PA) Wang Heng Suan, Setiausaha Agung NUTP.

Beliau berpendapat bahawa kaedah yang digunakan sepanjang pandemik COVID-19 ini, iaitu PdPR mempunyai cabaran dan kekangannya yang tersendiri. NUTP yang turut menyertai sesi libat urus sebelum sidang media dikendalikan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin semalam juga menyatakan bahawa KPM juga amat menitikberatkan isu keselamatan dan kesihatan warga sekolah dan sedaya upaya mencadangkan kaedah yang terbaik dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Apabila diumumkan pengoperasian semula sekolah atau dengan kata lain sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula pada 3 Oktober 2021, KPM berharap agar semua pihak termasuklah guru, ibu bapa dan murid itu sendiri bersedia dari semua aspek termasuklah psikologi.

Menurut Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor yang merupakan Pakar Psikologi Pendidikan di Universiti SEGi, kesediaan psikologi amat penting bagi melancarkan sesi persekolahan yang bakal dibuka kelak.

Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor, Pakar Psikologi Pendidikan di Universiti SEGi.

Kesediaan psikologi yang paling utama perlu ada ialah keyakinan. Ibu bapa perlu yakin bahawa KPM telah merincikan kaedah yang terbaik sebelum membuat keputusan untuk memulakan semula sesi persekolahan. Tanpa keyakinan daripada pihak ibu bapa, bagaimanakah anak-anak yang begitu teruja untuk menjalani sesi persekolahan secara bersemuka yakin bahawa mereka selamat untuk kembali ke sekolah? Keyakinan terhadap guru yang menjadi ibu bapa kedua di sekolah juga amat penting bagi membolehkan proses PdP secara bersemuka dapat dilaksanakan dengan lancar. Menjadi tugas ibu bapa mempersiapkan diri anak-anak dengan sistem imuniti yang tinggi dan menyediakan keperluan perlindungan diri seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan selain membuka minda mereka tentang perlunya menjaga SOP ketika berada di sekolah.

Peringkat awal sistem penggiliran kumpulan murid, guru mungkin berasa kekok. Walau bagaimanapun, keyakinan perlu dibina melalui pengurusan masa dan emosi yang baik. Tekanan emosi merupakan kesan pandemik COVID-19 paling ketara bukan hanya kepada guru, malah seluruh masyarakat. Oleh sebab itu, guru perlu bijak menguruskan emosi dan mendapatkan sokongan daripada persekitaran khususnya orang yang terdekat seperti pasangan, ibu bapa atau rakan-rakan.”

Bagi merealisasikan matlamat KPM dalam pengoperasian semula sekolah, ibu bapa dan para guru dilihat perlu berganding bahu untuk bersama-sama mempersiapkan murid bagi melalui sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah. Tidak dapat tidak, semua pihak mesti melalui kehidupan dalam kebiasaan baharu kesan daripada pandemik COVID-19 ini. Memetik kata-kata Profesor Datin Dr. Mariani bahawa, “Kebiasaan baharu perlu seiring dengan mentaliti baharu”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.