16 September 2021, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Slot Ruang Bicara yang diadakan secara telesidang pada pukul 3.00 petang tadi oleh BERNAMA TV bersama-sama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid telah merungkai dan memberikan pencerahan yang jelas terhadap isu yang sedang hangat dibincangkan berkenaan dengan pengoperasian semula sekolah bagi tahun 2021.

Menurut YBhg. Datin Sri Nor Zamani, KPM mengambil kira kegusaran ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak ke sekolah bermula pada 3 Oktober ini. Oleh itu, pihak kementerian menegaskan bahawa keputusan ini tidak dilakukan secara sambalewa, sebaliknya telah dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berkala. Keputusan pembukaan semula sekolah di bawah KPM adalah selaras dengan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tujuan pengoperasian semula sekolah di bawah KPM adalah untuk memberikan akses penuh kepada murid-murid terhadap pendidikan setelah sekian lama proses pembelajaran dijalankan secara dalam talian.

“Kerisauan ibu bapa tentang keselamatan anak-anak ketika sesi persekolahan secara bersemuka merupakan satu daripada elemen terpenting yang diambil kira oleh pihak KPM. Merujuk permasalahan tersebut, para guru disarankan untuk melengkapkan dua dos suntikan vaksin imunisasi sebelum kembali ke sekolah pada 3 Oktober 2021,” ujar beliau.

Tambah YBhg. Datin Sri Nor Zamani lagi, “rekod ambilan suntikan vaksin COVID-19 pada 11 September 2021 memaparkan lebih 70 peratus individu yang terlibat dengan sekolah telah pun lengkap vaksinasi mereka. Peratusan itu dapat dilihat seperti golongon guru sebanyak 88.56 peratus, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sebanyak 83.38 peratus dan Pekerja-pekerja Sokongan (PPS) sebanyak 74.90 peratus. Angka ini memperlihatkan keyakinan dan jaminan yang ditawarkan oleh pihak KPM tentang pembukaan semula sesi persekolahan.”

Selain itu, YBhg. Datin Sri Nor Zamani turut menjelaskan bahawa pembukaan sekolah akan dilaksanakan mengikut fasa PPN secara tuntas.

Sekolah yang berada di Fasa Satu PPN akan terus menjalani pembelajaran secara dalam talian. Bagi sekolah yang berada di Fasa Dua, sekolah akan dibuka dengan sistem penggiliran mengikut minggu sebanyak 50 peratus kehadiran demi memastikan penjarakan dan keselamatan lebih terjaga. Keistimewaan diberikan kepada murid yang bakal menghadapi peperiksaan penting untuk hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran, dan kit ujian kendiri COVID-19 akan dilakukan pada hari pertama, keenam dan ke-14 mereka berada di sekolah.

Pengoperasian semula sekolah turut melibatkan murid tadika sehingga institusi pengajian tinggi dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak KPM, MKN dan KKM. Pelaksanaan secara terperinci akan dilakukan mengikut kawasan sekolah dan fasa PPN yang terkini.

Kehadiran murid-murid ke sekolah pada 3 Oktober akan datang telah pun diperincikan dari segala aspek keselamatan, risiko dan kebaikan. Pihak KPM amat menitikberatkan aspek ‘gelembung selamat’ untuk murid-murid bagi pengoperasian semula sekolah pada tahun 2021.

Dalam rancangan bual bicara yang disiarkan di BERNAMA TV itu, YBhg. Datin Sri Nor Zamani turut menjelaskan bahawa, “murid-murid tidak dipaksa untuk menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka, namun ibu bapa disarankan memaklumkan kepada pihak sekolah melalui surat bertulis agar kehadiran dan sebab ketidakhadiran dapat direkodkan secara formal. Walau bagaimanapun, sokongan dan kepercayaan daripada ibu bapa amat diharapkan agar anak-anak dapat memiliki akses pendidikan yang sewajarnya dengan segala langkah pencegahan yang telah ditetapkan.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.